June 12, 2026

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Kita berikan tepukan penghargaan kepada PH Negeri Sembilan dan sekretariat yang menyusun atur acara pada malam ini.

Tidak Seperti biasa, malam ini saya mulakan ucapan dengan memetik satu pandangan yang saya kira sangat menarik. Petang tadi saya menghadiri satu persidangan anjuran Liga Muslim Dunia yang antara pengucapnya ialah Duli Yang Maha Mulia Raja Nazrin Shah, Sultan Perak.

Antara intipati ucapan baginda ialah mengenai mesej kepada anak muda. Tema yang dibawa ialah dunia bagaimana yang ingin kita wariskan kepada generasi muda.

Di dunia hari ini terdapat kira-kira 1.8 bilion anak muda. Separuh daripada pengundi  yang akan mengundi pada Ogos ini kita juga terdiri daripada golongan muda. Jadi persoalan yang dibangkitkan ialah, apakah bentuk dunia yang mahu kita wariskan kepada mereka?

Saya teRtarik dengan ucapan baginda kerana baginda menumpukan kepada satu perkara yang sangat penting, iaitu nilai bersama sebagai teras yang kekal dan abadi. Baginda memetik bahawa tradisi keagamaan mempunyai nilai-nilai yang sama. Ucapan baginda di dalam Bahasa Inggeris, saya bacakan terjemahan Bahasa Malaysia.

Al-Quran mengingatkan bahawa Allah SWT menjadikan manusia berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya manusia saling kenal-mengenal. Manusia dijadikan berbangsa-bangsa, bersuku-suku dan berlainan bahasa untuk tujuan saling mengenal antara satu sama lain. Melayu mengenali Cina, Cina mengenali India, India mengenali Siam, Siam mengenali Dayak, Dayak mengenali Iban. Melayu mengenali Jepun, Jepun mengenali Arab. Berbangsa-bangsa, bersuku-suku dan berlainan bahasa, tetapi tujuannya tetap sama, iaitu saling kenal-mengenal.

Kemudian baginda menyebut bahawa Injil memuliakan para pendamai. Buddha pula menegaskan bahawa kebencian tidak akan dapat dipadamkan oleh kebencian, sebaliknya hanya oleh kasih sayang. Kebencian tidak boleh dipadamkan dengan kebencian. Kebencian hanya boleh dipadamkan dengan kasih sayang. Tradisi Hindu pula menyapa unsur ketuhanan dalam diri manusia melalui ungkapan namaste. Confucius mengajarkan bahawa di bawah empat penjuru lautan, semua manusia adalah bersaudara.

Saya fikir mesej ini sangat kuat. Temanya dunia bagaimana yang ingin kita wariskan kepada generasi muda dimulakan dengan satu ajakan untuk mencari nilai-nilai persamaan. Nilai itu wujud dalam agama. Nilai itu wujud dalam tradisi dan budaya yang pelbagai. Kemudian baginda turut memetik satu hadis Nabi SAW bahawa manusia yang terbaik ialah manusia yang memberi kebaikan kepada orang lain. Manusia terbaik ialah manusia yang kehadirannya membawa kebaikan kepada orang lain.

Saudara-saudara sekalian, kenapa saya memilih tema ini dalam ucapan Peluncaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan pada malam ini? Kerana inilah antara kekuatan Pakatan Harapan apabila kita menawarkan pilihan politik kepada rakyat Malaysia yang berbilang kaum, berbilang budaya dan berbilang anutan agama. Ini adalah jawapan kepada politik identiti yang mengajak kita melihat sesuatu bangsa atau kaum dengan penuh prejudis dan prasangka. Tawaran politik Pakatan Harapan ialah tawaran yang lebih segar, lebih meyakinkan dan boleh dinilai dan diwarisi oleh generasi akan datang. Itulah mesej pertama saya pada malam ini. Saya mengambil intisarinya daripada ucapan Duli Yang Maha Mulia Raja Nazrin Shah petang tadi.

Saudara-saudara yang saya muliakan, kembali kepada kerja utama kita. Dari sekarang sehingga 1 Ogos, kita mempunyai pertaruhan melibatkan 36 kerusi Dewan Undangan Negeri di Negeri Sembilan. Kita memasuki pilihan raya ini dengan satu objektif yang sangat terang, crystal clear. Apa dia? Kita masuk pilihan raya untuk mengekalkan pemerintahan Pakatan Harapan di Negeri Sembilan. Kita masuk pilihan raya untuk menang dan terus memerintah.

Kita telah menyelesaikan pembahagian kerusi. Terima kasih kepada Tok Min. Kerusi terakhir yang diselesaikan ialah Sungai Lui. Sungai Lui ini janganlah terlalu diperdebatkan. Kalau kita menang Sungai Lui, kita menang 36-0 di Negeri Sembilan ini.  Yang penting kemenangan itu milik Pakatan Harapan. Berdasarkan penilaian kita, siapa sahaja yang bertanding di Sungai Lui mempunyai peluang yang sangat baik. Jadi buat apa kita hendak bergaduh sesama sendiri? Alhamdulillah, semuanya telah selesai.

Kalau pembahagian kerusi sudah selesai, maka fokus kita selepas ini hanyalah satu, iaitu jentera pilihan raya. Malam ini saya mahu melantik semua yang hadir dalam dewan ini sebagai juru kempen Pakatan Harapan yang bertauliah. Semua sekali. Yang pandai berucap, teruskan berucap. Yang bergerak dari rumah ke rumah, teruskan bergerak. Yang masuk ke kedai-kedai kopi dan bertemu rakyat, teruskan. Yang menjadi jentera media sosial, teruskan. Yang memasang bendera dan panji-panji parti, teruskan. Yang mendirikan khemah dan membantu urusan logistik, teruskan. Semua ada peranan masing-masing. Semua ada manfaat masing-masing. Sebab itu saya lantik semua yang hadir malam ini sebagai jentera pilihan raya Pakatan Harapan.

Saudara-saudara sekalian, di sini kita menawarkan pilihan kepada rakyat berdasarkan rekod pemerintahan Pakatan Harapan di bawah kepimpinan Tok Min. Terima kasih kepada Setiausaha Politik Tok Min. Pada mulanya saya faham tadi Tok Min menelefon pada saat akhir dan meminta supaya Setiausaha Politik beliau diberikan ruang untuk berucap terlebih dahulu. Saya tertanya-tanya juga, apa yang hendak disampaikan?

Apabila saya mendengar pembentangan tadi, barulah saya faham. Rupanya beliau mahu menceritakan success stories Negeri Sembilan. Saya fikir tidak mungkin Tok Min mahu mengangkat dirinya sendiri. Jadi apabila saya melihat angka-angka yang dibentangkan tadi, saya faham mesej yang ingin disampaikan.

Tetapi saudara-saudara sekalian, angka tidak mempunyai roh. Kita yang perlu meniup roh kepada angka-angka tersebut. Kita yang perlu mengolah dan menjelaskan mesej di sebaliknya. Apa maknanya apabila pelaburan masuk mencurah-curah ke Negeri Sembilan? Rakyat akan bertanya, apakah manfaat yang mereka peroleh? Apa maknanya apabila rizab negeri meningkat berkali-kali ganda? Rakyat mahu tahu bagaimana perkara itu memberi kesan kepada kehidupan mereka.

Sebab itu tugas kita bukan sekadar menyebut angka. Tugas kita ialah menghubungkan pencapaian kerajaan dengan kehidupan rakyat. Kita perlu membantu rakyat memahami bagaimana kejayaan ekonomi, kemasukan pelaburan, peluang pekerjaan dan peningkatan hasil negeri akhirnya memberi manfaat kepada mereka.

Atas sebab itulah kita melangkah ke pilihan raya kali ini dengan satu mesej yang jelas. Jentera kita mesti menyemarakkan dan menyebarkan kisah-kisah kejayaan Kerajaan Pakatan Harapan sepanjang tempoh memerintah Negeri Sembilan.

Tell the people. Tell the voters the success stories of the Government of Pakatan Harapan under the leadership of Tok Min together with the Pakatan Harapan team.

Sudah tentu dalam pilihan raya kita perlu menyerang. Kita perlu menjawab. Kita perlu menerangkan. Kita perlu memujuk. Semua itu adalah sebahagian daripada kemahiran berkempen yang akan kita gunakan. Tetapi yang paling penting ialah kita mempunyai rekod pencapaian yang boleh dibuktikan dan boleh dipertahankan di hadapan rakyat.

Saudara-saudara sekalian, kerana itulah saya tidak mahu menghabiskan masa untuk mengupas satu demi satu isu pada malam ini. Cukuplah sekadar saya merakamkan penghargaan dan terima kasih. Kalau beginilah semangat yang ditunjukkan dalam peluncaran jentera pilihan raya malam ini, saya cukup yakin dengan kesiapsiagaan kita.

Namun saya juga perlu berlaku adil kepada rakan-rakan di Johor. Ketika pelancaran jentera di Johor tempoh hari, notis yang diberikan tidak sampai pun 48 jam. Tetapi saya mahu memberikan penghargaan kepada Pakatan Harapan Johor. Kehadiran yang ditunjukkan pada malam tersebut sangat luar biasa. Dengan masa yang begitu singkat, mereka berjaya mengumpulkan kehadiran yang begitu ramai.

Malam ini Tok Min mempunyai hampir dua minggu untuk menggerakkan jentera. Sebab itu saya lihat dewan ini penuh. Bahagian bawah penuh. Bahagian atas penuh. Ini adalah petanda yang baik. Ia menunjukkan bahawa kita berada dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi pilihan raya.

Kita doakan agar dulang kemenangan akan menjadi milik kita. Kejayaan buat rakyat Negeri Sembilan dengan Pakatan Harapan kembali diberikan mandat untuk menjadi teraju pemerintahan Negeri Sembilan.

Sekian.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Ruangan Komen:

Loading...