JAWAPAN LISAN MENTERI DALAM NEGERI
[Diperkemas daripada verbatim jawapan YB Menteri Dalam Negeri – PERLU
DIBACA BERSAMA VIDEO JAWAPAN LISAN DI PARLIMEN]
23 JUN 2026
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Tan Sri Spek
Kota Melaka ingin tahu berapa banyak kes pengaihan dadah sintetik yahg direkodkan.
Jawapannya, pada tahun 2023, sebanyak 145,526 kes direkodkan. Pada tahun 2024,
sebanyak 192,857 kes direkodkan. Bagi tahun 2025, sebanyak 141,817 kes direkodkan.
Tan Sri Yang Dipertua, dadah sintetik yang paling banyak disalahgunakan di negara kita
sehingga merangkumi kira-kira 70 peratus daripada keseluruhan kes penyalahgunaan
dadah ialah dadah jenis ATS (Amphetamine-Type Stimulants).
Bila kita kumpulkan data (dadah sintetik) daripada Kementerian Kesihatan Malaysia,
AADK, PUSPEN dan juga PUSPEN swasta, kemudian kita lakukan pemetaan, didapati
keadaan paling serius adalah di negeri-negeri Pantai Timur. Sangat serius. Maknanya, di
jalur Pantai Timur, penggunaan ganja, heroin, ketum dan morfin tidak lagi menjadi pilihan
utama. Sebaliknya, mereka mencari ATS, syabu dan metamfetamin.
Yang terbaru, apabila pihak polis menjalankan operasi terhadap cecair vape, mereka
menemui satu lagi bahan yang dikenali sebagai fentanyl. Ini lebih parah. Kesannya
puluhan kali ganda lebih teruk daripada morfin dan boleh menyebabkan kematian.
Baiknya kerana, pada tahun 2025 ketika kita meminda Akta Penagih Dadah, fentanyl
sebagai bahan baharu telah dimasukkan ke dalam jadual di bawah Akta Dadah
Berbahaya dan juga Jadual 1. Apabila ia dimasukkan ke dalam jadual tersebut, tindakan
penguatkuasaan boleh diambil apabila bahan itu ditemui.
Untuk makluman Ahli Parlimen Kota Melaka, fentanyl ini belum mencapai tahap yang
serius. Ia sudah ada, tetapi belum berada pada tahap yang membimbangkan berbanding
dadah sintetik yang lain.
Kota Melaka ingin tahu, apakah langkah untuk mengatasi ancaman ini?
AADK mempunyai tiga fungsi utama, iaitu pencegahan, penguatkuasaan serta rawatan
dan pemulihan. Itu tugas utamanya.
Dari segi pencegahan, AADK sasarkan program komuniti yang melibatkan pemimpin
masyarakat. Antaranya ialah Program Kampung Aspirasi Bebas Dadah (KABD), Jelajah
Aspirasi Bebas Dadah (JABD) dan Sukarelawan SKUAD Antidadah.
Di institusi pendidikan pula, program yang dilaksanakan sangat banyak. AADK mendekati
sekolah, kolej dan universiti melalui Program Anak Muda Pemacu Harapan Aspirasi
(ALPHA), Eksplorasi Potensi Murid (EPM), Program Siswa Aktif, Gagasan Aspirasi
(SAGA). Bagi program intervensi, ia dilaksanakan melalui Program Keluarga Prihatin dan
Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD)
Dari segi penguatkuasaan, AADK sahaja tidak mampu melaksanakannya secara
bersendirian walaupun mempunyai fungsi tersebut. Oleh itu, AADK bekerjasama dengan
Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan beberapa agensi lain.
Ini menunjukkan,makluman kepada Ahli Parlimen bahawa usaha menangani masalah
dadah telah berlangsung lebih daripada empat dekad. Ancaman dadah pula sentiasa
berubah secara dinamik, daripada dadah konvensional kepada dadah sintetik yang jauh
lebih berbahaya.
Terima kasih.
SOALAN TAMBAHAN 1 KOTA MELAKA:
Penglibatan anak muda, sindiket penjualan
atas talian dan kes rampasan yang mungkin Malaysia menjadi pusat transit dan juga
pusat operasi sindiket antarabangsa.
Terima kasih.
MENTERI DALAM NEGERI:
Tan Sri, ada tiga soalan dalam satu soalan tambahan.
Saya hendak sebut begini. Ketika kita menjawab soalan ini, jumlah kes penyalahgunaan
dadah berdasarkan rekod terkini ialah 192,000 kes. Jika dibahagikan dengan jumlah
penduduk, bermaksud bagi setiap 100,000 rakyat Malaysia, seramai 560 orang terlibat
dengan dadah.
Kalau kita lihat mengikut daerah pula, daerah yang paling tinggi ialah Pendang, diikuti
Kuala Krai, Bachok, Besut dan Mersing. Apabila kita kumpulkan data ini, kayu ukurnya
ialah untuk mengetahui sama ada keadaan itu serius atau tidak.
Kategori umur mana yang paling ramai? Daripada 192,000 kes tadi, julat umur 15 hingga
39 tahun adalah yang paling ramai. Maknanya umur yang masih produktif. Julat umur ini
mewakili hampir 75 peratus daripada keseluruhan 192,000 kes tadi.
Keadaan ini turut tercermin dalam penjara. Penjara ada 41, kini menempatkan kira-kira
87,000 penghuni. Daripada setiap 100 penghuni, 70 orang adalah berkaitan dadah, sama
ada sebagai pesalah yang telah disabitkan atau masih dalam tahanan reman.
Kalau kita lihat seperti Penjara di Machang, hampir 100 peratus penghuninya berkaitan
kes dadah.
Saya hendak sebut bahawa berdasarkan data yang kita kumpulkan daripada empat
sumber iaitu Kementerian Kesihatan Malaysia, AADK, PUSPEN swasta (47) dan
Bahagian Narkotik Polis Diraja Malaysia, yang melibatkan tangkapan di bawah Seksyen
12(2) dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya, jumlah 192,000 kes ini adalah
berdasarkan rekod yang ada.
Tentulah naif jika kita mengatakan hanya 192,000 orang sahaja yang terlibat kerana yang
belum dilaporkan tentunya menjadikan keadaan lebih serius. Jadi, terima kasih kepada
Kota Melaka kerana membangkitkan perkara ini.
Dalam soalan tadi turut disebut sama ada Malaysia sudah menjadi hab pengedaran
dadah.
Fungsi Bahagian Narkotik Bukit Aman (PDRM) ialah menyekat bekalan. Jika bekalan
berjaya diboloskan dan ada yang terlibat, maka AADK pula memainkan peranan dari segi
penguatkuasaan, rawatan dan pemulihan.
Kalau saya hendak berkongsi statistik, pencapaian Bahagian Narkotik sentiasa
meningkat. Diukur dari segi nilai rampasan, jumlah serbuan, makmal dadah yang
dimusnahkan dan kumpulan jenayah terancang yang berjaya ditumpaskan. Semua itu
memang membanggakan.
Namun demikian, angka-angka di penjara, PUSPEN dan AADK tidak memberikan
gambaran bahawa keadaan semakin pulih.
Oleh sebab itu, fungsi ini tidak boleh hanya menjadi tanggungjawab AADK semata-mata.
AADK mempunyai 30 PUSPEN dan pelbagai ikhtiar telah dilaksanakan. Rekod mereka
juga membanggakan. Daripada setiap 100 orang yang menjalani rawatan dan pemulihan,
kira-kira 80 orang berjaya dipulihkan. Kadar kejayaannya baik.
Namun jika dilihat dari sudut ekosistem keseluruhannya, saya masih menganggap
ancaman dadah kekal sebagai musuh nombor satu negara.
Terima kasih.
SOALAN TAMBAHAN 2 LANGKAWI:
Sekiranya bahan New Psychoactive Substances
(NPS) ini terus memasuki pasaran, apakah yang akan berlaku kepada generasi akan
datang?
Terima kasih.
MENTERI DALAM NEGERI:
Terima kasih kepada Langkawi.
Sebelum saya menjawab soalan Langkawi, saya ingin kembali kepada soalan Kota
Melaka mengenai kaedah baharu pembelian dadah.
Sekarang ini pembelian boleh dibuat secara dalam talian. Platform-platform tersebut
berada di bawah kawal selia Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara
Hidup.
Namun platform berkenaan sering menyatakan bahawa mereka hanya menyediakan
platform dan tidak mengawal barang yang dijual atau dibeli oleh pengguna. Jadi apabila
kita meminta tindakan penguatkuasaan, mereka agak keberatan. Ini merupakan satu lagi
cabaran dari segi penguatkuasaan.
Apakah kita mempunyai undang-undang yang mencukupi ke arah itu? Saya
berpandangan bahawa undang-undang masih perlu dikemas kini.
Berhubung fentanyl yang disebut oleh Langkawi, seperti yang saya nyatakan tadi, ia
tergolong bahan baharu yang dikesan melalui tindakan penguatkuasaan terhadap cecair
vape. Apabila sampel dihantar ke makmal forensik, bahan ini berjaya dikenal pasti.
Keadaannya belum seteruk seperti di Amerika Syarikat dan Kanada. Namun kesannya
jauh lebih serius daripada morfin dan boleh memperlahankan sistem pernafasan.
Oleh sebab ia merupakan bahan baharu, tindakan yang telah kita ambil ialah
memasukkannya ke dalam jadual di bawah undang-undang berkaitan. Jika tidak
dimasukkan ke dalam jadual, penyiasatan tidak dapat diteruskan.
Hari ini, fentanyl telah dimasukkan ke dalam Jadual 1 Akta Dadah Berbahaya dan juga
jadual berkaitan di bawah Akta Penagih Dadah. Maknanya, dari sudut perundangan, kita
sudah mempunyai asas undang-undang untuk mengambil tindakan terhadap
penyalahgunaan fentanyl.
Sekali lagi saya ingin kembali (penguatkuasaan & kempen kesedaran) kepada segmen
umur 15 hingga 39 tahun yang mewakili kira-kira 75 peratus daripada mereka yang
terlibat dengan penyalahgunaan dadah sintetik.
Sebab itu saya memilih untuk berkongsi data-data ini.
Kesimpulannya hanya satu. Jika ada satu titik temu yang perlu kita capai bersama dalam
usaha memerangi masalah ini, ia adalah memastikan setiap keluarga dan setiap isi
rumah memainkan peranan dalam membendung penyalahgunaan dadah.
Terima kasih.
SOALAN TAMBAHAN 3 GELUGOR:
Adakah kerajaan bercadang meminda undangundang
berkaitan supaya lebih mencerminkan pendekatan pemulihan atau rehabilitative
approach berbanding pendekatan menghukum atau punitive approach?
Terima kasih.
MENTERI DALAM NEGERI:
Terima kasih kepada rakan saya, Yang Berhormat Gelugor.
Tidak syak lagi, sebab itulah pendekatan kerajaan kini beralih kepada melihat mereka
yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah sebagai pesakit yang perlu dipulihkan.
Buktinya, Parlimen telah meluluskan pindaan Akta Penagih Dadah yang
mendekriminalisasikan mereka yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah secara
kecil-kecilan.
Kita menetapkan bahawa jika seseorang datang secara sukarela ke PUSPEN untuk
mendapatkan rawatan, mereka tidak akan direkodkan sebagai mempunyai rekod
jenayah. Ini satu perubahan yang besar.
Jika mereka hadir secara sukarela untuk dipulihkan, tiada rekod jenayah direkodkan
terhadap mereka. Kita tidak bercakap tentang Seksyen 39A, 39B atau 39C.
Sebaliknya, kita memberi tumpuan kepada kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta
Dadah Berbahaya, iaitu pemilikan dadah dalam kuantiti kecil, serta Seksyen 15(1) yang
melibatkan penggunaan dadah.
Melalui pindaan Akta Penagih Dadah yang telah diluluskan oleh Dewan ini, AADK melalui
PUSPEN kini mempunyai kuasa untuk melaksanakan proses pemulihan secara lebih
cepat dan berkesan.
Saya sendiri baru-baru ini berada di Bukit Mertajam dan menerima sebuah keluarga dari
Langkawi yang datang membawa anak mereka sambil memohon supaya anak tersebut
dipulihkan. Dulu prosesnya memerlukan mereka mendapatkan pengesahan hospital
terlebih dahulu. Sekarang tidak lagi.
Mereka boleh terus dibawa ke PUSPEN dan ditempatkan selama dua minggu untuk
proses penilaian dan rawatan awal sebelum keputusan dibuat mengenai tempoh
pemulihan yang diperlukan. Ini merupakan pendekatan baharu yang tidak lagi melihat
mereka sebagai penjenayah.
Saya juga ingin menyebut bahawa secara purata terdapat kira-kira 400,000 laporan polis
direkodkan setiap bulan di seluruh negara.
Apabila laporan-laporan ini dianalisis, kes yang paling banyak direkodkan ialah yang
berkaitan dengan Seksyen 15(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 39C Akta Dadah
Berbahaya. (Kesalahan berulang)
Bagi seseorang yang terlibat dengan kesalahan di bawah Seksyen 15(1), analisis
menunjukkan mereka berpotensi terlibat dengan 29 jenis jenayah lain. Bagi kesalahan di
bawah Seksyen 12(2), mereka berpotensi terlibat dengan 11 jenis jenayah lain. Sebab
itu saya sering menyebut bahawa Seksyen 15(1) dan Seksyen 12(2) merupakan “lebuh
raya jenayah”.
Jika kita berjaya menyelesaikan masalah dadah, kita sebenarnya berjaya mengurangkan
pelbagai bentuk jenayah lain seperti mencuri, merompak, menyamun, mengugut dan
sebagainya.
Jadi untuk menjawab soalan Gelugor, ya, kerajaan telah melakukan anjakan dasar ke
arah pendekatan pemulihan.
Adakah ia sudah berjaya sepenuhnya? Belum. Jumlah mereka yang tampil secara
sukarela untuk mendapatkan rawatan masih belum mencapai tahap yang kita harapkan.
Namun kerajaan telah mengambil langkah mendekriminalisasikan kesalahan kecil
berkaitan dadah dan memperkukuh peranan AADK dalam usaha pemulihan.
Memang wujud perbezaan pendekatan antara AADK dan pihak polis. Bagi pihak polis,
dadah ialah jenayah yang perlu dikuatkuasakan. Bagi AADK pula, individu yang terlibat
dilihat sebagai subjek yang perlu dipulihkan.
Tugas kita adalah untuk mengharmonikan kedua-dua pendekatan tersebut.
Terima kasih.
MENTERI DALAM NEGERI
23 JUN 2026







Ruangan Komen: