June 23, 2026

JAWAPAN LISAN MENTERI DALAM NEGERI
[Diperkemas daripada verbatim jawapan YB Menteri Dalam Negeri – PERLU
DIBACA BERSAMA VIDEO JAWAPAN LISAN DI PARLIMEN]

23 JUN 2026

 

JAWAPAN

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) ini telah kita luluskan
bersama-sama di Dewan Rakyat dan kemudiannya di Dewan Negara. Bermula 1 Januari
2025, AKPS mula beroperasi.

Untuk konteks Yang Berhormat Semporna dan Ahli-ahli Yang Berhormat sekalian,
sebelum kita membentangkan undang-undang tersebut, sesi libat urus khusus bersama
Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak telah diadakan. Dalam sesi tersebut, kita
menjelaskan bahawa apabila akta ini diluluskan secara dasar, dari segi operasinya
terdapat tiga jaminan yang sangat jelas.

Yang pertama, pelaksanaan AKPS tidak menghakis sebarang kuasa Kerajaan Negeri
Sabah dan Sarawak, termasuk hak-hak istimewa Sabah dan Sarawak seperti yang
termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Yang kedua, apabila AKPS beroperasi, ia hanya melibatkan agensi-agensi Kerajaan
Persekutuan dan tidak sama sekali menyentuh aspek perjawatan serta sumber manusia
di bawah Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak.

Yang ketiga, AKPS tidak mengambil apa-apa hasil yang menjadi hak Kerajaan Negeri
Sabah dan Sarawak di pintu-pintu masuk negeri.
Inilah yang kita sampaikan semasa taklimat kepada kedua-dua kerajaan negeri tersebut
(Sabah & Sarawak).

Maksudnya, apabila AKPS dilaksanakan, kita akan menghormati kuasa-kuasa Kerajaan
Negeri Sabah dan Sarawak sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan.

Yang kedua, ia hanya melibatkan agensi-agensi Kerajaan Persekutuan dan tidak
mengganggu fungsi agensi Kerajaan Negeri Sabah.

Yang ketiga, dari segi operasi, kita akan mengharmonikan peranan antara agensi
Persekutuan dan agensi negeri.

Kerajaan Negeri Sabah, setelah taklimat diberikan, ada mengemukakan beberapa
maklum balas.

Antara yang boleh saya highlight ialah berkaitan Seksyen 6(3). Seksyen ini melibatkan
kuasa imigresen negeri. Sebagai contoh, jika Ketua Menteri mahu mengenakan
arahan not to land atau sekatan terhadap seseorang daripada memasuki Sabah.
Kaedah yang diamalkan sekarang ialah Jabatan Ketua Menteri memaklumkan kepada
Pengarah Imigresen Sabah dan tindakan boleh boleh dilaksanakan di pintu masuk.
Walaupun AKPS diwujudkan, kuasa itu kekal seperti susunan yang diamalkan sekarang.
Begitu juga di bawah Seksyen 9. Untuk makluman Yang Berhormat Semporna, kuasa
untuk menguatkuasakan peranan agensi Kerajaan Negeri juga kekal.

Sekiranya berlaku pelanggaran di pintu masuk yang melibatkan bidang kuasa agensi
Kerajaan Negeri, agensi tersebut masih boleh menjalankan siasatan dan proses
pendakwaan sebagaimana yang dilaksanakan pada masa ini.

Jadi, kebimbangan yang wujud itu sebenarnya telah dijawab melalui peruntukanperuntukan
yang jelas memberi jaminan bahawa walaupun AKPS diwujudkan, ia tidak
menghakis sebarang hak istimewa Negeri Sabah mahupun kuasa pihak berkuasa negeri.
Itulah yang membawa kepada kenyataan terbaharu Kerajaan Negeri Sabah.
Pada masa yang sama, saya juga perlu memberikan kredit kepada Kerajaan Negeri
Sabah.
Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu berada di bawah AKPS. Begitu juga
Lapangan Terbang Sandakan dan Lapangan Terbang Tawau.
Bagi pintu masuk laut pula, Dermaga Tawau, Dermaga Kota Kinabalu, Dermaga
Sandakan, Dermaga Kudat, Dermaga Lahad Datu dan Dermaga Kuala Sipitang juga
berada di bawah AKPS.

Walau bagaimanapun, terdapat juga permintaan daripada Kerajaan Negeri Sabah
supaya beberapa pintu masuk tertentu kekal di bawah Jabatan Imigresen Malaysia.
Jadi apakah langkah yang kita ambil?

Kementerian Dalam Negeri telah mengadakan perbincangan bersama Kerajaan Negeri
Sabah kerana perkara ini bukanlah persoalan perbezaan dasar.

Dari segi prinsip, tiada perbezaan pandangan mengenai keperluan mewujudkan AKPS.
Namun dari sudut operasinya, Kerajaan Negeri Sabah berpendapat beberapa
proses fine-tuning masih perlu dilakukan.

Jika perlu, mereka juga meminta supaya kita meneliti keperluan untuk meminda akta
sedia ada bagi mewujudkan beberapa peruntukan yang dapat memberikan kejelasan
yang lebih baik.

Terima kasih.

 

SOALAN TAMBAHAN 1 SEMPORNA:

Kebimbangan dari segi perlembagaan dan juga MA63.

JAWAPAN MDN:

Terima kasih, Yang Berhormat Semporna.

Berhubung keprihatinan Yang Berhormat mengenai sama ada Kerajaan Persekutuan
akan menghormati hak-hak Negeri Sabah dan Sarawak sebagaimana termaktub dalam
Perlembagaan, jawapannya ialah YA. Kita telah mengulangi perkara ini berkali-kali. Jika
perkara ini tidak diselesaikan terlebih dahulu, sudah tentu Rang Undang-Undang tersebut
tidak mungkin dapat dibentangkan dan diluluskan. Proses itu telah pun kita lalui.
Jadi, isu ini bukan lagi soal dasar, tetapi soal pelaksanaan dan operasi.

Jaminan Perlembagaan itu jelas. Saya telah menyebutnya tadi dan tidak mahu
mengulanginya lagi. Kemudian dari segi keperluan mewujudkan agensi baharu ini, saya
sempat membaca Hansard perbahasan Yang Berhormat pagi tadi. Yang Berhormat telah
memberikan sokongan penuh semasa perbahasan mengenai keperluan mewujudkan
AKPS.

Empat justifikasi yang diberikan ialah:
Pertama, membantu memudahkan pergerakan orang dan barangan (people and goods
mobility).

Kedua, mengatasi isu integriti.

Ketiga, meningkatkan kutipan hasil.

Keempat, tidak boleh bertolak ansur aspek keselamatan.

Sebelum ini, satu pintu masuk dikendalikan oleh lebih 20 agensi. Contohnya Kompleks
Sultan Abu Bakar dan Bangunan Sultan Iskandar yang telah lama beroperasi.
Sekarang, fungsi tersebut diselaraskan di bawah satu agensi. Maka isu red tape dan
kerenah birokrasi yang sering dibangkitkan dapat ditangani.

Walau bagaimanapun, AKPS baru beroperasi lebih kurang setahun. Proses
membiasakan pelbagai agensi untuk beroperasi di bawah satu bumbung sememangnya
memerlukan masa.

Kita mempunyai model yang berjaya. ESSCOM berjaya menggabungkan pelbagai
agensi di bawah satu struktur. Begitu juga Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia
(APMM) yang menghimpunkan 11 hingga 12 agensi di bawah satu bumbung dan kini
berfungsi dengan baik dalam menjaga lebih 600,000 kilometer persegi perairan negara.
AKPS juga telah kita luluskan bersama-sama.

Pada masa ini, Kerajaan Negeri Sabah meminta beberapa perkara diberikan
pertimbangan supaya pelaksanaannya dapat berjalan dengan lebih lancar tanpa
menjejaskan bidang kuasa Kerajaan Negeri Sabah. Bagi Sarawak, setakat ini tiada isu
yang dibangkitkan.

Yang Berhormat, undang-undang merupakan sesuatu yang dinamik. Ketika kita
menggubal undang-undang tersebut, kita berpandangan bahawa itulah penyelesaian
terbaik pada ketika itu. Namun setelah menerima maklum balas daripada pihak
berkepentingan, adakah terdapat keperluan untuk kita melihat semula beberapa
perkara? Jawapannya, ya.

Kita telah memaklumkan kepada Kerajaan Negeri Sabah supaya menyatakan secara
khusus perkara-perkara yang memerlukan penambahbaikan bagi membolehkan
kerajaan negeri turut serta secara lebih berkesan dalam pelaksanaan AKPS demi
mencapai objektif yang telah ditetapkan.

Justeru, saya tidak menolak kemungkinan terdapat keperluan untuk meminda beberapa
peruntukan dalam akta induk yang sedia ada. Tiada masalah dari segi itu.

Yang penting, jaminan Perlembagaan Persekutuan mengenai hak-hak Sabah dan
Sarawak tetap terpelihara. Begitu juga pembahagian bidang kuasa antara agensi
Persekutuan dan agensi negeri. Kita tidak akan mencerobohi bidang kuasa tersebut.
Sebagai contoh, kawalan aktiviti di pintu masuk sempadan Sabah yang melibatkan kuasa
Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Pertanian dan agensi-agensi negeri yang lain
akan terus berjalan seperti biasa. Perkara itu tidak diganggu.

Begitu juga Seksyen 9 yang saya sebutkan tadi. Agensi negeri masih mempunyai kuasa
penguatkuasaan berdasarkan undang-undang negeri yang berkuat kuasa.
Mereka boleh menjalankan siasatan dan seterusnya membawa kes kepada proses
pendakwaan sebagaimana yang dilaksanakan sekarang. Perkara itu kekal.
Jadi, terdapat kejelasan dari sudut tersebut.

Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri Sabah berpandangan masih terdapat satu atau
dua perkara yang memerlukan penjelasan lanjut. Perkara-perkara ini sedang diperhalusi
dan dijernihkan melalui perbincangan antara Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian
Dalam Negeri dan Kerajaan Negeri Sabah.

Terima kasih.

 

SOALAN TAMBAHAN 2 KOTA BHARU:

Ancaman kepada pegawai AKPS dan kekangan pembekalan alat keselamatan (senjata) & integriti.

JAWAPAN MDN:

Terima kasih, Kota Bharu.

Kota Bharu ingin mengetahui apakah langkah susulan yang telah kita ambil selepas
insiden di Bukit Kayu Hitam tempoh hari.

Saya telah menulis kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri mengenai keperluan
untuk AKPS dilengkapi dengan persenjataan yang diperlukan.

AKPS terdiri daripada beberapa agensi yang sebelum ini tidak mempunyai kemahiran
menggunakan senjata api. Jika melibatkan komponen polis, sudah tentu mereka
mempunyai kemahiran tersebut. Namun terdapat juga anggota daripada agensi lain yang
tidak mempunyai latihan atau kemahiran menggunakan senjata api.

Walau bagaimanapun, saya telah mengemukakan perkara ini dan Perdana Menteri telah
memberikan kelulusan serta-merta berserta peruntukan sebanyak RM22 juta.

Peruntukan tersebut adalah bagi melengkapkan AKPS dengan persenjataan dan
kelengkapan yang difikirkan sesuai serta munasabah berdasarkan tugasan mereka di
sempadan.

Berhubung isu integriti, saya telah menyebut tadi bahawa isu integriti dan tarikan kepada
perlakuan rasuah selalunya berkait rapat dengan proses yang panjang, red tape dan
kerenah birokrasi.

Jika kawalan sempadan melibatkan lebih 20 agensi yang beroperasi secara berasingan,
melalui satu proses demi satu proses, keadaan itu boleh menjadi antara faktor yang
mendorong kepada perlakuan yang tidak diingini.

Namun apabila fungsi tersebut diselaraskan di bawah satu agensi sahaja iaitu AKPS, kita
dapat mengurangkan kerenah birokrasi.

Ini merupakan antara formula terbaik bagi mengurangkan ruang dan tarikan kepada
perlakuan rasuah yang berkaitan dengan isu integriti.

Jadi terdapat dua pertimbangan utama dalam perkara ini.
Pertama, red tape dan birokrasi dapat dikurangkan dengan mengecilkan bidang kuasa
pelbagai agensi yang mengawal pintu masuk negara di bawah satu struktur arahan.

Kedua, kita perlu memberi ruang kepada AKPS untuk beroperasi dan membuktikan
keberkesanannya.

Dalam tahun pertama operasinya sahaja, AKPS telah mencatatkan beberapa kejayaan
penting.

Antaranya ialah kejayaan menahan cubaan penyeludupan dadah bernilai puluhan juta
ringgit di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang yang melibatkan destinasi ke
Singapura.

Selain itu, AKPS turut berjaya menahan pelbagai barang yang cuba diseludup masuk ke
negara ini melalui pintu-pintu masuk utama.

Di pelabuhan pula, melalui kerjasama dengan agensi-agensi lain, pelbagai kontena yang
membawa e-waste dan barangan terlarang berjaya dikesan dan disekat daripada
memasuki negara.

Di Pelabuhan Klang misalnya, operasi tersebut kini berada di bawah seliaan AKPS. Banyak lagi kisah kejayaan yang telah dicatatkan sepanjang tempoh setahun penubuhannya.

Justeru, jika ditanya sama ada keputusan mewujudkan AKPS adalah keputusan yang betul, walaupun terdapat kebimbangan mengenai pertindihan fungsi, saya yakin ia merupakan keputusan yang tepat.
Jika ditanya sama ada AKPS kini sedang bergerak ke arah yang betul? Jawapannya
adalah YA.

Adakah terdapat keperluan untuk membuat pindaan bagi menangani kebimbangan yang dibangkitkan oleh pihak-pihak berkepentingan yang lain?
Jawapannya juga ya.

Kita akan melakukan apa sahaja yang perlu selagi hasil akhirnya dapat memenuhi
matlamat asal penubuhan AKPS.

Terima kasih.

MENTERI DALAM NEGERI
23 JUN 2026

Ruangan Komen:

Loading...