AKPS perlu masa selaras tugas agensi penguatkuasaan – Saifuddin - Saifuddin Nasution
AKPS perlu masa selaras tugas agensi penguatkuasaan – Saifuddin
April 28, 2025


AKPS perlu masa selaras tugas agensi penguatkuasaan – Saifuddin

KULIM: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) yang diwujudkan bagi memperkukuh keselamatan sempadan negara memerlukan sedikit masa bagi mencapai keupayaan penuh susulan penyelarasan tugas antara agensi penguat kuasa yang digabungkan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata AKPS yang ditubuhkan secara rasmi pada 17 Oktober tahun lalu kini menghimpunkan pelbagai agensi yang sebelum ini bergerak secara berasingan, termasuk Jabatan Imigresen sebagai agensi tonggak, tanpa pengambilan baharu kakitangan.

“Apabila agensi yang dahulunya berfungsi secara berasingan kini bernaung di bawah satu bumbung dan satu arahan, sudah tentu memerlukan sedikit masa untuk menyesuaikan diri dalam melaksanakan satu fungsi operasi secara bersepadu.

“Namun kita yakin dalam satu tempoh yang munasabah aspek kawalan dan perlindungan sempadan negara akan dapat kita saksikan penambahbaikan daripada keadaan yang ada sekarang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Sambutan Aidilfitri Madani di Dataran Kulim, hari ini.

Operasi rintis AKPS bermula pada 1 Januari lalu di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang, Kelantan, sebelum diperluaskan ke 21 lagi pintu masuk termasuk di Kedah, Sabah, Sarawak, Pelabuhan Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Saifuddin berkata, secara keseluruhan terdapat 123 pintu masuk negara yang akan menempatkan anggota AKPS secara berperingkat dalam usaha memperkasa kawalan sempadan.

Beliau berkata, AKPS diwujudkan dengan tiga tujuan utama iaitu melancarkan urusan kawalan sempadan, meningkatkan kecekapan sistem penyampaian, serta memperkukuh aspek integriti dalam pengurusan sempadan.

“Matlamat pertama adalah memastikan pergerakan orang dan barangan di sempadan berjalan lancar. Matlamat kedua, penyampaian perkhidmatan lebih cekap apabila berurusan dengan satu agensi sahaja berbanding sebelum ini.

“Manakala yang ketiga, penubuhan AKPS diharap dapat menambah baik isu berkaitan integriti dalam kalangan pegawai dan anggota yang bertugas,” katanya.

Ruangan Komen:

Loading...