Saya akan tegur Anwar jika abai parti – Saifuddin - Saifuddin Nasution
Saya akan tegur Anwar jika abai parti – Saifuddin
June 16, 2025

JOHOR BAHRU – Ketua Setiausaha Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menegaskan komitmennya untuk terus berpegang kepada prinsip walaupun berisiko kehilangan jawatan dalam kerajaan.

Berucap pada Kongres Nasional PKR yang berakhir hari ini, Saifuddin pendirian tegas terhadap keperluan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meluangkan masa bersama parti dan tidak hanya menumpukan kepada urusan kerajaan semata-mata.

“Saya akan keras menegur Anwar kalau tidak buat janji untuk luangkan masa bersama parti. Kalau tidak buat, maka ada jurang antara percakapan dan tindakan.

“Saya akan jadi yang pertama menegur Anwar kalau itu tidak berlaku,” katanya di hadapan perwakilan parti.

Menurutnya, kesetiaan terhadap perjuangan dan integriti dalam kepimpinan adalah lebih penting daripada kedudukan atau jawatan dalam kerajaan.

“Saya bukan ada apa dah, bertanding banyak kali kalah daripada menang. Kalah bertanding (Parlimen), Anwar bagi peluang terajui satu kementerian penting,” ujarnya.

Namun Menteri Dalam Negeri itu berkata, kepercayaan yang diberikan oleh Anwar untuk mengurus kementerian yang besar itu tidak akan mengekangnya daripada menyuarakan pandangan yang jujur dan membina terhadap kepimpinan.

“Tapi bagi kementerian penting pun saya nak beritahu, saya pegang kepada janji untuk bangkit dan tegur, sekalipun akan membawa kepada saya hilang jawatan, saya tidak ada masalah,” tegas beliau.

Ucapannya mendapat perhatian ramai perwakilan kerana menunjukkan kematangan politik dan keberanian menyuarakan kebenaran walaupun dalam kalangan kepimpinan tertinggi parti.

Dalam pada itu, Saifuddin Nasution berkata, Anwar harus memulakan aktiviti memujuk kembali pemimpin yang kalah pada pemilihan semalam untuk terus memperkukuhkan kembali parti.

Jelasnya, pemilihan yang berakhir semalam menyebabkan ada yang luka parah dan tersinggung maka usaha untuk menarik balik mereka yang kecewa perlu dimulakan dari sekarang.

“Pemilihan parti akan ada yang luka parah, akan ada yang tersinggung, Datuk Seri pikul tugas berat untuk pujuk balik.

“Ada yang terbakat hati kita tidak nampak, tapi tugas Datuk Seri sebagai bapa kepada Nurul Izzah, bapa kepada kami semua,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Ruangan Komen:

Loading...