Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, dan salam Malaysia Madani.
Yang Berusaha Tuan Muhammad Shahrul Ikram Yaacob, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri,
Yang Berusaha Datuk Ruji Ubi, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri,
Yang Berusaha Datuk Hajah Rosida Jaafar, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri,
Dr. Alan Vernon, Penasihat Kanan UNHCR Geneva,
Yang Berusaha Dr. Mizan Mohammad Aslam, Ketua Pengarah IDFR,
Yang Berusaha Dato’ Mohd Suki, Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia,
Yang Berusaha Mejar Jeneral Datuk Abdul Rahim Mohamad, Ketua Pengarah APMM,
Yang Berusaha Komisioner Polis Dato’ Seri Mohd Shuhaily, Pengarah Keselamatan dan Ketenteraman Awam PDRM,
Yang Dihormati wakil-wakil UNHCR, SUHAKAM, UNICEF, NGO, serta para hadirin sekalian yang saya hormati.
Terima kasih atas penganjuran simposium yang sangat signifikan ini. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan prinsip kemanusiaan, Malaysia telah mengambil pelbagai langkah alternatif terhadap penahanan kanak-kanak pelarian tanpa penjaga. Usaha ini bukanlah satu perkara baharu, tetapi ia terus diperkuatkan melalui kerjasama dengan pelbagai pihak, termasuk UNHCR dan NGO berkaitan.
Bermula tahun 2017, dasar kerajaan telah diubah: kanak-kanak pelarian tanpa penjaga tidak lagi ditahan di depot tahanan Imigresen. Sebaliknya, mereka disalurkan kepada NGO yang berdaftar sebagai alternatif kepada penahanan. Ini adalah pendekatan yang lebih berperikemanusiaan, selaras dengan prinsip Malaysia Madani.
Kementerian Dalam Negeri juga telah menyatakan komitmen untuk meminda Akta Imigresen bagi memasukkan peruntukan khusus mengenai alternatif kepada penahanan. Kita sedang meneliti kerangka undang-undang untuk memastikan terdapat kuasa statutori yang membenarkan penempatan alternatif secara rasmi, dengan kawal selia yang sewajarnya.
Malaysia juga sedang memuktamadkan National Action Plan on Alternatives to Detention (ATD). Pelan ini menjadi dokumen dasar utama, dirangka dengan sokongan pelbagai kementerian, agensi, dan pertubuhan antarabangsa. Melalui pelan ini, Malaysia menyasarkan untuk menyediakan laluan pelindungan dan penempatan sementara yang lebih sistematik dan selamat bagi kanak-kanak pelarian.
Hadirin yang saya hormati,
Kita harus melihat isu ini dalam konteks yang lebih luas. Ancaman keselamatan berkait pelarian semakin meningkat, termasuk elemen penyeludupan manusia, pemerdagangan orang, eksploitasi seksual, dan kemasukan elemen ekstremisme. Ini bukanlah tanggapan semata-mata — kita telah menyaksikan kes-kes yang mengancam keselamatan negara. Maka sebab itu, sebarang pendekatan yang bersifat kemanusiaan perlu diseimbangkan dengan kepentingan keselamatan negara.
Saya ingin menyentuh isu yang melibatkan negara Bangladesh sebagai antara negara sumber pelarian. Dalam satu pertemuan bilateral antara saya dengan Ketua Penasihat Kerajaan Bangladesh, Prof. Dr. Yunus, kami membincangkan isu pemantauan pelarian, kawalan sempadan, serta pilihan raya dan struktur pemerintahan interim negara tersebut. Ini penting kerana ramai pelarian Rohingya di Malaysia berasal dari kem pelarian Cox’s Bazar di Bangladesh. Maka, kerjasama dua hala dalam pengurusan pelarian sangat penting untuk memastikan pemantauan dan penempatan semula dapat dilakukan dengan lebih berkesan.
Selain itu, saya ingin maklumkan bahawa elemen-elemen pengintipan asing turut menyusup dalam kalangan pelarian, seperti yang dibongkar dalam beberapa kes siasatan keselamatan kebelakangan ini. Malaysia tidak akan bertolak ansur terhadap sebarang bentuk pencerobohan keselamatan dan akan terus memperketat prosedur saringan di pintu masuk negara.
Akhir kata, saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran simposium ini. Semoga sesi libat urus, perkongsian pengalaman dan perbincangan selama dua hari ini akan menghasilkan satu dokumen cadangan yang menyeluruh dan praktikal untuk diguna pakai oleh kerajaan.
Saya ucapkan selamat bersidang dan tahniah kepada semua.
Sekian, wa billahi taufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
YAB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail
Menteri Dalam Negeri
20 Ogos 2025
Hotel Dorsett, Putrajaya
Ruangan Komen: