Saifuddin akui hubungan Pusat-Kedah semakin baik - Saifuddin Nasution
Saifuddin akui hubungan Pusat-Kedah semakin baik
November 10, 2024

ALOR SETAR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail senada dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berhubung hubungan kerajaan Persekutuan dan negeri Jelapang Padi itu yang semakin baik.

Beliau yang juga Pengerusi Bersama Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Kedah turut berterima kasih kepada Sanusi atas usaha yang dimainkan pentadbiran di peringkat negeri dalam menjalinkan kerjasama demi kebaikan banyak pihak.

“Saya ucap terima kasih kepada sahabat saya Datuk (Seri) Sanusi, kalau dia ada usaha ke arah itu, segak, cantik semua keadaan itu, saya nampak tidak ada masalah di pihak kami, saya ucap tahniah dan syabas atas kenyataan dia itu,

“Keadaan (antara kerajaan Persekutuan dan Kedah juga) koi (semakin) segak (baik), kalau orang Kedah kata koi segak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Baitul Mahabbah Darul Aman di Kampung Sematang, Kuala Kedah pada Ahad.

Pada Khamis, Sanusi mengakui hubungan antara kerajaan negeri pimpinannya dengan Kerajaan Persekutuan bertambah baik terutama membabitkan projek-projek pembangunan di negeri Jelapang Padi demi manfaat keseluruhan penduduknya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri turut sekali lagi membuat permohonan maaf secara terbuka kepada mana-mana pihak yang tersinggung atas percakapan dan perbuatannya sebelum ini.

Tambahnya, sikap ‘dingin’ dan ‘keras’ yang ditampilkan beliau sebelum ini juga reaksi balas terhadap ‘serangan’ bertali arus yang diterima terutama ketika kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos tahun lalu.

Ruangan Komen:

Loading...