Saya dibesarkan dalam keluarga yang sederhana, di mana ibu bapa saya sangat mementingkan pendidikan serta telah menerapkan nilai integriti kepada keluarga kami sejak kecil. Hasilnya, sekitar tahun 1983, saya melanjutkan pengajian dalam bidang Sains Pertanian di Universiti Putra Malaysia.
Pada tahun 1986, ketika berusia 23 tahun, saya menyertai UMNO, sebuah parti yang ketika itu menjadi lambang perjuangan bangsa Melayu. Bakat kepimpinan saya mendapat perhatian dan seterusnya dilantik menjadi Exco Pemuda UMNO pada tahun 1995. Pada masa yang sama, saya turut memegang jawatan sebagai Setiausaha Pemuda UMNO Malaysia, sebuah peranan yang memberi saya peluang untuk berkhidmat dan memahami denyut nadi rakyat.
Namun, perjuangan saya dalam UMNO tidak kekal lama. Pada tahun 1998, saya memilih untuk bersama Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk mendokong perjuangan reformasi yang berpegang teguh kepada prinsip keadilan.
Keputusan meninggalkan UMNO adalah sukar, tetapi ia adalah perlu ketika itu dan saya tekad untuk memiih bersama dengan rakan pejuang reformasi untuk Parti Keadilan Nasional (yang kemudiannya menjadi Parti Keadilan Rakyat).
Menyahut Cabaran Reformasi
Saya masih ingat kata-kata nasihat daripada pejuang rakyat yang lebih senior daripada saya. Katanya, perjuangan untuk menegakkan keadilan bukanlah jalan yang mudah. Kata-kata itu kini terbukti benar sepanjang liku perjalanan politik saya, menjadi penguat semangat di setiap langkah dan cabaran yang ditempuh
Berpandukan nasihat itu, saya meneruskan perjalanan politik saya dan pada tahun 2000, kepimpinan parti memilih saya untuk mewakili PKR di Pilihan Raya Kecil Lunas, Kedah. Alhamdulillah, kemenangan di kerusi tersebut bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi juga bukti nyata sokongan rakyat terhadap agenda reformasi. Kejayaan ini mengukuhkan lagi semangat perjuangan, menjadi simbol harapan bagi rakyat yang menginginkan perubahan.
Rentetan daripada pengalaman tersebut, perjuangan politik saya diteruskan apabila dipilih bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 dan berjaya memenangi kerusi Parlimen Machang di Kelantan. Kejayaan ini memberi saya peluang untuk terus berkhidmat di peringkat nasional. Namun, pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2013, saya tewas ketika bertanding di Parlimen Kulim-Bandar Baharu. Walau bagaimanapun, semangat saya tidak luntur, dan saya berjaya merebut kembali kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, memperkukuh tekad saya untuk terus berjuang demi rakyat dan negara.
Pengalaman saya dalam Kabinet Kerajaan bermula pada 2018 apabila saya diberi amanah oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri untuk memimpin Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). Pelantikan ini memberikan saya peluang untuk memperkukuhkan dasar-dasar yang melibatkan kepentingan rakyat, terutamanya dalam aspek peraturan perdagangan, perlindungan pengguna, serta kestabilan harga barangan.
Melangkah ke Hadapan
Hari ini saya diberi tanggungjawab pula untuk memegang jawatan sebagai Menteri Dalam Negeri di dalam Kabinet Malaysia Madani sejak 2022.
Sejak diberi amanah ini, saya bertekad untuk terus memberi komitmen penuh dalam memastikan negara ini lebih aman, menguatkuasakan undang-undang secara adil, dan memperkukuh kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan. Tanggungjawab saya adalah untuk memastikan bahawa undang-undang berfungsi sebagai pelindung rakyat, dan bukan sebagai alat untuk menindas, demi mencipta negara yang lebih sejahtera dan terjamin keselamatannya.