Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Malaysia MADANI.
Yang saya hormati Timbalan Menteri, YB Dato’ Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah,
Ketua Setiausaha Kementerian, YBhg. Datuk Awang Alik bin Jeman,
Ketua Polis Negara, YBhg. Datuk Seri Mohamad Khalid bin Haji Ismail,
Seluruh kepimpinan kanan, warga kerja KDN, serta tetamu yang saya hormati sekalian.
Alhamdulillah, kita diberikan ruang dan kesempatan oleh Allah SWT untuk berhimpun dalam majlis perhimpunan bulanan bagi Jun 2025 ini. Saya ingin merakamkan ucapan penghargaan kepada Datuk KSU dan pasukan urus setia yang telah menyusun program ini dengan baik.
Ucapan saya hari ini ingin saya mulakan dengan menyambung sedikit cerita simbolik yang telah disampaikan oleh Datuk KSU tadi, mengenai seorang tukang rumah yang membina rumah terakhirnya secara sambil lewa, namun akhirnya rumah itu dihadiahkan untuk dirinya sendiri.
Pesan daripada kisah itu begitu mendalam: setiap amanah yang kita laksanakan, lakukanlah dengan sepenuh hati. Janganlah hanya kerana kita sudah hampir berpindah atau bersara, kerja kita dibuat ala kadar. Kerana hasilnya nanti akan kembali kepada diri kita sendiri.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Saya juga ingin menyentuh perkara yang lebih strategik. Hari ini, tumpuan utama saya adalah mengenai penyediaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang sedang dimuktamadkan oleh semua anggota Jemaah Menteri.
Saya ingin tekankan bahawa dalam dokumen RMK13 ini, satu elemen yang saya anggap sebagai “pillar” (rukun) – iaitu penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence – AI) mesti diangkat sebagai pilar utama pembangunan negara.
Kenapa AI? Kerana unjurannya sangat jelas. Menjelang tahun 2030, sumbangan AI terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjurkan mencecah RM530 bilion. Di peringkat ASEAN pula, AI dijangka menyumbang sehingga 18% pertumbuhan ekonomi.
Kita tidak boleh ketinggalan.
Di KDN sendiri, sejak hujung tahun lepas, kita telah memulakan inisiatif KDN for AI – satu gerakan untuk memperkenalkan AI sebagai alat bantu tugas, bukan sekadar teknologi. Beberapa agensi telah memulakan langkah ini – termasuk ROS, Penjara, RELA dan JPN – dengan pelbagai bengkel, taklimat, dan latihan.
AI bukan untuk menggantikan penjawat awam. Tetapi penjawat awam yang mahir AI akan menggantikan mereka yang enggan berubah.
Saudara dan saudari,
Saya juga ingin menekankan satu perkara yang sangat penting berkaitan prestasi pelaksanaan projek dan perbelanjaan pembangunan.
Sering kali kita mendengar soalan: “Kenapa prestasi belanja rendah?”
Jawapannya adalah pada proses yang lambat dan birokrasi yang panjang. Daripada penyediaan spek, pelantikan perunding, semakan JKR, sehinggalah kepada Value Assessment di Kementerian Ekonomi – semuanya memakan masa yang panjang.
Maka di sinilah AI boleh memainkan peranan besar untuk mempercepatkan proses kerja, memotong masa menunggu, dan melancarkan kelulusan dengan data yang lebih tepat dan segera.
Saudara-saudari yang saya kasihi,
Saya juga tidak dapat menutup ucapan ini tanpa menyentuh satu peristiwa yang mengecewakan. Baru-baru ini, seorang wartawan menyiarkan laporan palsu yang mengaitkan Ketua Polis Negara dengan parti politik. Ini adalah tuduhan tidak berasas.
Saya ingin tegaskan – kebebasan media bukan bermaksud kebebasan untuk menyebarkan maklumat palsu. Apabila laporan palsu seperti ini tersebar, ia merosakkan kepercayaan masyarakat terhadap institusi penting seperti PDRM.
Saya menyokong tindakan tegas dan berlandaskan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang menyalahguna kebebasan media untuk menyemai kebencian dan memburukkan institusi negara.
Akhir kata,
Saya ingin menyampaikan tahniah kepada semua penerima Anugerah Langkah Sihat Putrajaya. KDN berjaya meraih tempat ketiga di peringkat kementerian dan ini membuktikan semangat kebersamaan serta budaya hidup sihat dalam kalangan kita.
Begitu juga dengan pelancaran awal sistem eROSES 2.0 oleh ROS – saya anggap ini sebagai contoh terbaik bagaimana digitalisasi dan penggunaan teknologi dapat memudahkan urusan rakyat.
Mari kita terus bergerak ke hadapan dengan semangat integriti, inovasi dan kepantasan.
Saya percaya, jika kita bergerak seiring dengan perubahan, kita akan jadi pemimpin dalam transformasi sektor awam.
Sekian, wabillahi taufik wal hidayah. Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Ruangan Komen: