Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillahil-ladzi hadana lihadza, wa ma kunna linahtadiya lawla an hadanallahu.
Asyhadu an la ilaha illallah wahdahu la syarikalah, wa asyhadu anna Muhammadan ‘abduhu wa rasuluh. Amma ba‘du.
Yang Berbahagia Pengacara Majlis,
yang dikasihi Dato’ Awang Alik Jeman, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, sahabat saya Dato’ Dr. Syamsul Anwar Nasarah, Timbalan Menteri Dalam Negeri, para Timbalan Ketua Setiausaha termasuk YBrs. Tuan Fakhrul Razi bin Ab Wahab, rakan-rakan pengurusan tertinggi Kementerian Dalam Negeri,
serta seluruh warga KDN yang saya hormati sekalian.
Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) serta seluruh pasukan penganjur atas susun atur dan penganjuran perhimpunan kita pada hari ini. Terima kasih banyak. Kebiasaannya, kita memulakan tahun baharu di kompleks kita sendiri. Namun kali ini, Ketua Setiausaha bersetuju supaya saiz audiens diperbesarkan, dan sebab itulah kita berhimpun di sini pada hari ini. Terima kasih atas perancangan yang rapi dan tersusun.
Saya percaya sebahagian besar daripada kita telah meluangkan masa di hujung tahun lalu untuk berehat seketika, mengambil cuti, mengumpul semula tenaga dan memulakan tahun baharu ini dengan semangat yang segar. Tahun 2026 ini, kita mahu bergerak dengan lebih tangkas, lebih kemas dan lebih tersusun.
Setiap daripada kita ada azam masing-masing. Namun, jangan sampai azam tahun 2026 ini hanyalah untuk melaksanakan azam tahun 2025 yang tidak berjalan. Itu tidak boleh. Kita mesti sentiasa melihat ke hadapan. Saya meletakkan keyakinan bahawa semua kita telah bersedia untuk memulakan tahun ini dengan lebih agresif, lebih berfokus dan lebih berdisiplin. Cuti sudah berakhir. Kini masa untuk bekerja.
Menjelang tahun 2026, kita perlu menetapkan halatuju yang jelas, dan perkara ini telah dimulakan dengan baik oleh Ketua Setiausaha sebentar tadi. Pejam celik, pejam celik, Kerajaan MADANI kini memasuki tahun ketiga. Kita masih ingat keadaan negara pada sekitar November 2022 apabila Dato’ Seri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri ke-10. Ketika itu, negara baru sahaja melalui tempoh sukar pasca COVID-19, ekonomi bergerak perlahan dan landskap politik negara berada dalam keadaan yang rapuh dengan pertukaran Perdana Menteri yang kerap dalam satu penggal.
Keadaan ini memberi kesan kepada keyakinan pelabur. Pertumbuhan ekonomi pada waktu itu sekitar 3 peratus. Apabila pintu ekonomi dibuka semula dan pandemik berakhir, pertumbuhan melonjak kepada sekitar 8 peratus kerana asas yang rendah.
Bermula tahun 2023, pertumbuhan ekonomi menunjukkan pola yang lebih stabil, daripada sekitar 3.9 peratus, menurun kepada 3.6 peratus, kemudian meningkat kepada 5.1 peratus, dan seterusnya 5.5 peratus pada tahun lalu. Ini merupakan kayu ukur penting yang menunjukkan hala tuju ekonomi negara berada pada landasan yang betul.
Penting untuk kita memahami perkara ini kerana penjawat awam merupakan kumpulan pelaksana kepada segala dasar yang digubal oleh Jemaah Menteri. Perdana Menteri dan Jemaah Menteri boleh menetapkan dasar dan meluluskan hala tuju, tetapi pelaksanaannya terletak di tangan penjawat awam. Oleh itu, kejayaan ini bukan kejayaan individu, bukan kejayaan seorang Perdana Menteri, bukan kejayaan seorang Menteri Kewangan atau Jemaah Menteri semata-mata. Ini adalah kejayaan milik kita semua. Saya mahu perasaan ini disemai dan difahami bersama.
Tiga tahun lalu, Perdana Menteri telah menetapkan empat teras utama:
- Pertama ialah kestabilan politik. Tanpa kestabilan politik, negara tidak boleh bergerak. Perbezaan pendapat adalah lumrah dalam demokrasi, tetapi negara tidak boleh berada dalam keadaan porak-peranda dan kacau-bilau.
- Kedua ialah kemakmuran ekonomi, dengan usaha membina ekonomi yang lebih makmur melalui pembesaran saiz ekonomi supaya agihannya dapat dirasai oleh semua lapisan rakyat. Prinsip ini jelas, agar kekayaan tidak hanya berlegar dalam kalangan kelompok tertentu sahaja.
- Teras ketiga ialah keadilan sosial dan kebajikan rakyat. Dalam konteks inilah pelaksanaan subsidi bersasar RON95 atau BUDI 95 dilaksanakan. Ini merupakan satu keputusan yang betul dan berani. Warga asing tidak wajar menikmati subsidi.
Sebelum ini, hampir 900,000 warga asing memiliki lesen memandu dan boleh mengisi minyak bersubsidi. Dalam tempoh tiga bulan pelaksanaan, penjimatan sebanyak RM800 juta telah direkodkan. Sekiranya trend ini berterusan, penjimatan tahunan diunjurkan mencecah antara RM3 hingga RM3.5 bilion.
Daripada kira-kira 1.4 bilion liter petrol yang digunakan sebulan, sekitar 10 peratus adalah RON97 yang tidak disubsidi. Harga RON95 pula ditentukan melalui mekanisme Automatic Price Mechanism, dengan subsidi dibayar kepada syarikat minyak supaya harga pam kekal pada RM1.99 di kira-kira 4,000 stesen minyak di seluruh negara. Penjimatan hasil subsidi bersasar ini membolehkan kerajaan membuat keputusan besar, termasuk semakan gaji penjawat awam selepas lebih 12 tahun, dengan komitmen kewangan tambahan sekitar RM18 bilion setahun. Ini memerlukan keberanian politik dan keyakinan terhadap keupayaan negara, dan pada masa yang sama, kenaikan ini mesti disertai dengan peningkatan prestasi, kepantasan dan kualiti penyampaian perkhidmatan.
Saudara dan saudari sekalian,
Saya ingin menyentuh beberapa pencapaian agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri:
- Dalam tempoh setahun, nilai rampasan oleh AKPS telah mencecah RM82.1 juta. Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia pula mencatat nilai rampasan melebihi RM100 juta. Pencapaian ini menunjukkan keberkesanan penguatkuasaan apabila aset, keupayaan dan integriti digabungkan dengan baik.
-
Isu penjara pula merupakan antara isu paling kritikal yang perlu kita tangani secara berfokus. Pada masa ini, terdapat 43 buah institusi penjara di seluruh negara dengan kapasiti seramai 75,851 orang. Namun, jumlah penghuni dalam fasiliti penjara telah mencecah 84,379 orang setakat 31 Disember 2025. Keadaan ini jelas menunjukkan kesesakan yang serius. Kesesakan ini memerlukan pendekatan yang lebih berperikemanusiaan dan berfokus kepada pemulihan, khususnya melibatkan kumpulan pesalah di bawah Akta 39C yang merupakan penyumbang besar kepada kesesakan institusi penjara.
Dalam konteks ini, saya menghargai perancangan Jabatan Penjara yang memberi penekanan kepada pemulihan dalam komuniti, termasuk pembebasan berlesen, perintah kehadiran wajib dan program reintegrasi. Pada masa yang sama, Jabatan Penjara telah mencatat satu pencapaian yang sangat membanggakan apabila berjaya melahirkan 35 orang huffaz daripada kalangan banduan. Selain itu, 22 buah rumah perantaraan disediakan bagi membantu bekas banduan yang tidak diterima keluarga untuk kembali ke dalam masyarakat secara berperingkat dan bermaruah. - AADK pula memperluaskan pendekatan pemulihan dalam komuniti, dengan lebih ramai klien berada di luar institusi berbanding di dalam. Jabatan Pendaftaran Negara melalui inisiatif Menyemai Kasih Rakyat telah turun ke lapangan menyelesaikan kes rakyat yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri, termasuk kes satu keluarga tujuh beradik yang akhirnya menerima sijil kelahiran dan kad pengenalan, serta seorang bayi berusia setahun yang turut menerima sijil kelahiran pada hari yang sama.
- RELA pula terus memainkan peranan penting melalui kehadiran berterusan di lapangan. Dengan 157 daerah, empat syif rondaan sehari sepanjang 365 hari, jumlah rondaan mencecah sekitar 230,000 rondaan setahun, sekali gus meningkatkan rasa kehadiran dan keselamatan dalam kalangan masyarakat.
Saudara dan saudari sekalian,
Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Ketua Setiausaha dan seluruh warga KDN. Sebagai Menteri dan Timbalan Menteri, kami sedar bahawa dasar tidak akan berjaya tanpa pasukan pelaksana yang kuat, berdisiplin dan berintegriti. Masih ada ruang untuk penambahbaikan, itu lumrah. Yang kurang kita betulkan, yang baik kita pertahankan, dan yang belum tahu kita bimbing bersama.
Marilah kita teruskan tahun 2026 ini sebagai satu pasukan. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing. Kita gembeling seluruh kekuatan dan keupayaan agar Kementerian Dalam Negeri terus cemerlang dalam melaksanakan tugas hakikinya menjaga keselamatan dan ketenteraman awam. Mudah-mudahan segala usaha ini dikira sebagai amal soleh dan diberkati oleh Allah SWT.
Sekian,
wabillahi taufik walhidayah,
wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.







Ruangan Komen: