Kami melancarkan Parti Keadilan Padang Serai dengan jumlah anggota 999 orang. Mudah untuk diingati—sembilan, sembilan, sembilan. Pada 29 November 1999, kita menyertai pilihan raya umum yang pertama. Ketika itu, KEADILAN baru sahaja berusia tujuh bulan. Umur tujuh bulan sudah masuk pilihan raya, dan saya menjadi calon KEADILAN pertama di Padang Serai. Cikgu Razak tahu, Abang Man pun tahu. Ramai kawan lama yang membantu ada di sini.
Jadi, saya kalah tetapi tidak banyak. Saya kalah dengan Lim Bee Kau, Naib Ketua Wanita MCA Kebangsaan. Saya kalah dengan 21,000 undi sahaja. Tipis sangat—21,000, tidak banyak. Sebelum itu, Lim Lay Hoon menang. Selepas itu, pada tahun 1999, saya lawan dengan Lim Bee Kau, dan saya kalah. Tahun 2004, saya bertanding di sini sekali lagi. Dapatlah mengurangkan 2,000 undi jadi 19,000. Alhamdulillah. Tetapi itu hanyalah permulaan.
Saya juga mengetuai rundingan kerusi pada masa itu di Kedah bersama Dr. Rahman, Datuk Syed Azmi, arwah Cikgu Pa yang mewakili PAS, Pak Cup, dan Datuk Phahrolrazi. Rundingan kerusi ketika itu mudah: kawasan majoriti Melayu di utara diberikan kepada PAS, dan kawasan campuran kepada KEADILAN. Kedah Selatan—Kulim Bandar Baharu, Padang Serai, Merbok, dan Sungai Petani—merupakan kawasan kubu kuat Barisan Nasional.
Tun Daim menang di Merbok dengan majoriti 14,000 undi, Kadir Sheikh Fadzir menang di Kulim Bandar Baharu dengan majoriti 18,000, dan Padang Serai pula dimenangi MCA dengan majoriti 21,000. Kawasan-kawasan inilah yang diberikan kepada KEADILAN untuk bertanding. PAS pula mengambil kawasan seperti Kuala Kedah, Baling, dan Padang Terap.
Saya masih ingat ketika kami mahu berbincang mengenai Padang Terap, kami pergi ke Kampung Borhan untuk bertemu Ustaz Fadzil. Kalau hendak berbincang dengan Ustaz Fadzil, perlu bersabar. Semasa berbincang, ayam masuk ke dapur, dan Ustaz uruskan ayam dahulu. Selepas itu, hujan turun, jadi dia mengambil kain di jemuran. Waktu sebenar berbincang hanyalah setengah jam.
Jika ditanya kembali, adakah saya menyesal? Tidak sama sekali. Saya tidak terkesan langsung, bahkan bersyukur. Maksudnya, pada tahun 1999 saya kalah teruk, tahun 2004 kalah lagi. Tetapi, pada tahun 2008, Padang Serai menang dengan majoriti 14,000 undi. Selepas itu, kita tidak berpatah balik lagi.
Hari ini, majlis makan malam ini dianjurkan oleh rakan-rakan AMANAH. AMANAH ini boleh dianggap sebagai adik bongsu dalam Pakatan Harapan. Adik bongsu dari segi usia parti, tetapi aktivis-aktivisnya adalah orang lama. Parti ini masih baru, tetapi penggeraknya sangat berpengalaman. Oleh itu, AMANAH ditubuhkan untuk mengimbangi pihak sebelah sana yang membawa pendekatan Islam konservatif, sementara kita membawa pendekatan Islam dengan konsep Rahmatan lil Alamin. Walaupun terdapat perbezaan pandangan politik, kita tidak akan mengabaikan prinsip ‘amar makruf nahi mungkar’. Dalam politik, keadilan tetap menjadi asas perjuangan kita.
Selepas AMANAH ditubuhkan, hanya dalam masa seminggu, iaitu pada 16 September, kita melancarkan Pakatan Harapan. Ketika itu, AMANAH baru sahaja berusia tujuh hari—masih baby, merah lagi. Tetapi kita tahu, walaupun parti ini baru, pendokong dan penggeraknya adalah orang lama yang sangat berpengalaman.
Tidak ada siapa yang memberi harapan kepada Pakatan Harapan. Mereka memperlekeh kita dengan berkata, “Ketua hangpa siapa?” dan kita jawab, “Ketua kami duduk dalam penjara Sungai Buloh, dan di luar pula isterinya, Dr. Wan Azizah.” Mereka berkata lagi, “Semasa Anwar duduk di luar pun hangpa tak boleh kalahkan Barisan Nasional. Apatah lagi Anwar duduk di dalam.”
Namun, kita terus membina kekuatan. Pada ketika itu, Dr. Mahathir bermasalah dengan UMNO, begitu juga Muhyiddin dan Mukhriz. Mereka menulis kepada kita, dan kita bincang dalam Majlis Presiden. Soalan pertama ialah, adakah kita akan menerima mereka? Jawapan ketika itu ialah, terima! Kita menerima mereka sebagai anggota penuh, bukan sekadar rakan dalam electoral pack. Mereka menghantar wakil ke Majlis Presiden, dan kita menerima Dr. Mahathir sebagai Pengerusi Pakatan Harapan.
Kita mengikat kerjasama ini dengan satu perjanjian bertulis yang sangat terperinci. Saya masih simpan salinan asalnya, lengkap dengan tandatangan semua pimpinan—Tan Kok Wai, Mat Sabu, Dr. Mahathir, Muhyiddin Yassin, dan Dr. Wan Azizah. Semua asas yang mendokong kerjasama kita, termasuk tentang Islam sebagai agama Persekutuan, peranan institusi Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, serta komitmen untuk membanteras rasuah dan melawan kleptokrasi, dimasukkan dalam perjanjian ini.
Kita juga menyepakati bahawa kepimpinan Dr. Mahathir adalah tempoh transisi. Semua ini dipersetujui bersama. Saksi kepada keputusan ini masih hidup, dan fakta ini boleh disemak bila-bila masa.
Namun, seperti yang disebut tadi, Peristiwa Sheraton menjadi titik hitam. Kita tidak mahu mengungkit lama-lama, kerana kita mahu move on. Hari ini, Dr. Mahathir memuat naik video menyatakan hasrat untuk bertemu dengan Anwar. Dia berkata, kalau Anwar tolak, Anwar akan dilihat sombong dan angkuh. Kalau Anwar terima, penyokong kita pula mungkin berkata, “Sudahlah Anwar, jangan lagi dengan Mahathir.”
Anwar sentiasa berjiwa besar, bersedia untuk berbincang. Tetapi kita tahu, dalam politik, persepsi itu penting. Kita akan teruskan perjuangan tanpa terkalih tumpuan kita kepada pilihan raya ini.
Semalam, di Ipoh, kita telah membentangkan manifesto. Walaupun tidak dilancarkan sepenuhnya, kita telah jelas dengan hala tuju kita. Semua perkara dalam manifesto itu sudah ada dalam kepala kita. Esok, kita akan melancarkan sepenuhnya.
Menuju kepada pilihan raya ini, saya ingin simpulkan dengan tiga perkara utama:
Yang pertama, benar—Pakatan Harapan tidak ada pilihan lain, kita mesti mengukuhkan asas kuasa (consolidate power base). Ini tonggak kita. Tiga parti ini, empat parti dengan akur ini, kita kukuhkan sepenuhnya. Kemudian, pimpinan kita memutuskan bahawa kita juga akan ada kerjasama pilihan raya (electoral pack) dengan MUDA dan PSM.
Saya faham reaksi di bawah ini. Ada yang setuju, ada yang tidak. Sekarang, dalam dunia ini, kalau tidak setuju pun, mereka hentam sahaja di media, dalam Facebook—hentam. Jadi, kita dalam organisasi, parti yang kita anggotai ini, ada ketuanya. AMANAH ada Abang Mat, Salahuddin, Khalid, Dr. Zul, Hasbi, dan Aiman Athirah. Mereka ini wakil dalam Pakatan Harapan. KEADILAN ada Rafizi, Nurul Izzah, Chang Lih Kang, Saifuddin, Adam Adli, dan Fadlina.
DAP ada ketuanya. Sekarang ini Anthony Loke, Lim Guan Eng, Nga Kor Ming, Kulasegaran, Gobind, Kelvin, dan Teo Nie Ching—semua ada dalam itu. Jadi, pandangan kita, bila MUDA menulis surat secara rasmi, kita bincang. Dalam perbincangan itu ada pros and cons, ada yang setuju dan ada yang tidak. Pada akhirnya, ketua mesti membuat keputusan.
Tentang MUDA, apa keputusannya? Kita kata, “Hang nak minta jadi anggota penuh Pakatan Harapan? Kita kata, kita terima hang sebagai rakan electoral pack, iaitu sekadar kerjasama pilihan raya. Kami masuk, jangan masuk. Hang masuk, kami tak letak calon.” Itu keputusan. Bila keputusan diumumkan, oh! Telefon mula berbunyi dengan macam-macam perkara.
Yang ini juga masalah. Kita sendiri kena belajar disiplin diri. Kalau semua orang pakat tembak atas alasan kebebasan berhujah, apa akan jadi? Hangpa lah jadi ketua pula kalau begitu. Tidak semua keputusan akan mengikut selera kita. Tidak semua. Jadi, perkara pertama, kita kukuhkan asas kuasa. Rundingan kerusi selesai, cuma tinggal MUDA dan PSM dalam dua atau tiga hari ini.
Saya telah berhubung dengan Aru, Setiausaha PSM, dan bertemu Saddiq. Saya sudah memberitahu Steven Sim, ketua perunding, dan juga Salahuddin. Saya telah maklumkan kepada Chang Lih Kang dari KEADILAN bahawa mereka perlu menyelesaikan rundingan ini dalam dua atau tiga hari. MUDA mahu kawasan mana, PSM mahu bertanding di mana—selesaikan. Jika tidak selesai, ia akan sampai ke tangan Anwar Ibrahim, Mat Sabu, Anthony Loke, dan Madius untuk keputusan akhir.
Yang kedua, PRU kali ini kita dihantui oleh latar belakang kalah di Sabah, Sarawak, Johor, dan Melaka. Maka pilihan raya ini, kita juga mungkin habis—itulah gambaran yang diberikan. Tetapi pilihan raya ini dinamik, sentiasa berubah.
Kita nampak mereka seperti satu saf yang kukuh, tetapi sebenarnya tidak. Sebab itu, dalam konteks kita, jika Datuk Mahfuz bertanding di Pokok Sena, KEADILAN dan DAP mesti bekerja seolah-olah Datuk Mahfuz adalah calon KEADILAN dan calon DAP. Jika Datuk Mahfuz menang mewakili AMANAH, itu dianggap KEADILAN menang dan DAP menang. Kemenangan ini akan mencerahkan peluang kita ke Putrajaya.
“Kita mesti ada semangat itu. Bagus, sebati betul. Politik gabungan memang tidak mudah. Nak sampai ke tahap ini sangat susah.”
Saya bertanding, menang atau kalah, Abang Man adalah wakil calon saya. Abang Man, pada 2013 kalah. Pada 2018 pun, masih Ustaz Man. Kalau saya mahu mudah, saya akan pilih Cikgu Samsul. Dia ini, kalah atau menang, sentiasa ada dengan saya. Saya kata kepadanya, “Cikgu Samsul, ambil lima kupang, pi kerat telinga kawan tu, bawa balik bagi kat aku.” Dia sanggup lakukan.
Sama juga dengan ketua DAP Kulim Bandar Baharu, Saudara Seow. Dia, bapa dia orang Pokok Sena. Rumah keluarga mereka berada di depan tokong Pokok Sena, dekat rumah Cikgu Mahmud. Bapa dia seorang cikgu. Dulu semasa kecil, saya membeli barang di kedai runcit mereka menggunakan buku 555. Bapa saya seorang pemandu bas dan menerima gaji dua minggu sekali. Jadi, bila tidak ada duit, kami beli barang seperti gula, beras, dan lain-lain di situ secara hutang. Dua minggu sekali, bapa saya akan datang untuk melangsaikan hutang.
Kini, anak kepada keluarga itu menjadi ketua DAP Kulim Bandar Baharu. Dunia ini kecil. Jadi, mudah untuk kami berinteraksi satu sama lain. Ini sebabnya, consolidate power base dan penyatuan adalah perkara yang sangat penting.
Akhir sekali, perkara ketiga dalam pilihan raya ini ialah kita mesti mendekati rakyat. Jika saya mendapat watikah pada 5 haribulan, saya mesti memastikan saya dapat bertemu dengan semua 41 daerah mengundi di Kulim Bandar Baharu. Saya mesti cuba mendapatkan sokongan semua pihak. Sebagai seorang ahli politik yang sudah lama, saya tahu di mana kawasan kekuatan saya—di Serdang, Selama, dan Bagan Samak. Saya juga tahu di mana kelemahan saya—di Sungai Tengas, Permatang Kerat Telunjuk, dan Lindungan Raja.
Nama kampung di Kulim ini memang menarik. Ada Permatang Kerat Telunjuk, Sungai Tengas—semuanya unik. Tetapi nama-nama ini tidaklah sepelik di Sabah, seperti Kampung Pengelat Besar. Pernah dengar?
Saya pernah berucap di sana, dan sangat kekok apabila harus memberi salutation seperti, “Ketua Kampung Pengelat Besar, Tuan Imam Pengelat Besar, dan sekalian anak-anak kariah Pengelat Besar.” Bayangkanlah. Kampung itu pula bersebelahan dengan Kampung Pengelat Kecil.
Di Kulim ini, saya mesti sampai ke semua kawasan. Sama juga dengan Cikgu Razak dan kawan-kawan di Padang Serai, Karupaya, dan lain-lain. Kita tidak boleh selama-lamanya bertahan di kawasan Lunas dan kemudian tewas di kawasan lain seperti Merbah Pulai. Begitu juga dengan saya. Kalau kita menang di Kulim tetapi kalah di Bandar Baharu, itu tidak boleh diterima.
Dulu Yeoh bertanding di kawasan ini. Dia menang besar di Kulim tetapi calon kita di Bandar Baharu, Azmi Daim, kalah. Mujurlah jumlah undi Yeoh yang besar dapat menutup kekalahan di Bandar Baharu. Namun, kita tidak boleh bergantung pada keadaan seperti ini lagi.
Perdana Menteri turun ke Bandar Baharu untuk melancarkan jentera Barisan Nasional Kedah. Ini adalah strategi untuk menyerang kawasan kita—kawasan Setiausaha Agung Pakatan Harapan. Tindakan ini menunjukkan betapa pentingnya kawasan ini bagi mereka.
Oleh itu, pada 26 haribulan nanti, kita akan membawa Dr. Wan Azizah ke Bandar Baharu. Saya memohon kepada Muslimat AMANAH untuk hadir pada majlis tersebut. Program ini akan diadakan pada jam 8 malam di bilik gerakan kita di Bandar Baharu.
Semasa kempen pilihan raya nanti, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga akan datang ke Kulim. Saya telah bercakap dengan beliau, dan beliau berjanji untuk hadir di kawasan ini antara 5 November hingga 19 November. Kita akan mengadakan program di Taman Kenari, di mana terdapat lebih 9,000 pengundi.
Taman Kenari adalah kawasan campuran, dengan masyarakat Melayu, Cina, dan India. Lokasi ini menjadi penyumbang besar kepada kemenangan kita sebelum ini, dan saya yakin ia akan terus memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan. Selepas Kulim, Datuk Seri Anwar akan bergerak ke Pokok Sena bersama Datuk Mahfuz.
Keputusan beliau untuk bertanding di Tambun menunjukkan keberanian dan komitmen. Kalau beliau mahu selamat, beliau boleh memilih kawasan seperti Port Dickson, Bandar Tun Razak, atau Gombak, yang dianggap selamat. Tetapi beliau memilih untuk bertanding di kawasan yang mencabar, seperti Tambun, untuk membantu mencipta gelombang kemenangan di Perak.
Seperti kata pepatah, “Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.” Tidak guna menjadi popular jika hanya bermain di kawasan selamat. Langkah beliau ini memberikan inspirasi kepada kita semua.
Kita mesti memahami bahawa politik adalah perjuangan jangka panjang. Saya sendiri pernah mengalami kekalahan besar, dengan 21,000 undi pada tahun 1999 dan 19,000 undi pada tahun 2004. Tetapi, pada tahun 2008, kita berjaya mengubah keadaan dan menang dengan majoriti 14,000 undi di Padang Serai.
Selepas itu, kita terus melangkah ke hadapan tanpa menoleh ke belakang. Jika kita hanya memilih untuk bertanding di kawasan selamat, sesiapa pun boleh melakukannya. Tetapi perjuangan ini bukan sekadar untuk mencari kemenangan mudah.
Sekarang, fokus kita adalah bertemu rakyat dan menjelaskan isu-isu utama seperti kos sara hidup yang meningkat, kadar inflasi yang semakin membimbangkan, dan nilai ringgit yang jatuh. Hari ini, nilai ringgit berbanding dolar AS ialah RM4.73. Ini memberi kesan besar kepada harga barang import, terutama makanan yang banyak dibeli dalam dolar AS.
Saya baru sahaja mewakili Malaysia ke Geneva bersama Datuk Mahfuz untuk menghadiri perbincangan mengenai inflasi global, keselamatan makanan (food security), dan kos sara hidup. Kami turut berjumpa dengan pakar-pakar ekonomi serta wakil dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu seperti WTO dan FAO.
Selepas itu, kami ke Kigali, Rwanda, untuk menghadiri Inter-Parliamentary Union Conference. Walaupun perjalanan jauh dan mengambil masa 36 jam penerbangan, pengalaman di sana sangat memberi kesedaran. Rwanda, dengan populasi 10 juta, pernah melalui tragedi besar pada tahun 1994, apabila konflik etnik menyebabkan 1 juta nyawa terkorban dalam masa 100 hari.
Tragedi di Rwanda mengingatkan kita tentang bahayanya politik perkauman. Ketika itu, konflik berlaku antara etnik Hutu dan Tutsi, di mana majoriti Hutu membunuh minoriti Tutsi. Dalam masa 100 hari sahaja, 1 juta nyawa terkorban.
Anak-anak kecil berumur dua hingga tiga tahun ditanam hidup-hidup di dalam lubang besar hanya kerana mereka berketurunan Tutsi. Di sekatan jalan raya, polis dan tentera kerajaan bersama puak Hutu memeriksa kad pengenalan. Jika mereka Tutsi, mereka dihukum mati serta-merta—dengan parang, kapak, atau senjata lain.
Peristiwa ini sangat menyedihkan. Selepas perang tamat, Rwanda memulakan proses reconciliation. Presiden Paul Kagame memperkenalkan pelbagai usaha untuk memperbaiki hubungan antara mangsa dan pelaku. Ini bukan tugas mudah, tetapi ia perlu dilakukan untuk membawa negara mereka ke hadapan.
Apa yang berlaku di Rwanda menjadi peringatan kepada kita. Malaysia adalah negara yang dihuni oleh pelbagai kaum dan agama—Melayu, Cina, India, dan lain-lain. Kita harus hidup dalam semangat kasih sayang, saling menghormati, dan menjunjung nilai perpaduan.
Pakatan Harapan membawa mesej ini dalam perjuangan kita. Kita tidak akan menggunakan politik perkauman untuk mendapat sokongan. Sebaliknya, kita akan terus mempertahankan keharmonian dan perpaduan rakyat Malaysia.
Jadi, begitulah. Saya sudah lama tidak berucap panjang begini kerana kebanyakan masa saya bekerja di belakang tabir. Tetapi malam ini, kerana Cikgu Razak yang menjemput, saya rasa terpanggil untuk bercakap.
Saya juga ingin berterima kasih kepada semua yang hadir malam ini. Saya telah berjanji dengan Cikgu Razak untuk turut membantu semasa kempen di kawasan Padang Serai nanti. Saya ditugaskan untuk membantu kawasan utara, termasuk Perak Utara, Kedah, Perlis, dan Pulau Pinang, dalam tempoh 14 hari kempen.
Rutin kami memang sangat padat. Kami bermesyuarat sepanjang hari untuk menyelesaikan isu calon dan susunan strategi. Saya sering tidak cukup tidur, tetapi ini adalah sebahagian daripada perjuangan. Kami juga harus memastikan setiap watikah siap, lengkap dengan tandatangan Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan disemak untuk dihantar kepada Suruhanjaya Pilihan Raya.
Walaupun kerja ini berat, saya merasa tenang. Saya yakin dengan trend sokongan yang kita perolehi sekarang, khususnya daripada pengundi Melayu. Kita mesti memastikan momentum ini tidak terganggu. Setiap peluru mesti digunakan dengan bijak, tanpa kesilapan.
InshaAllah, dalam masa sebulan, kita akan melihat Kedah menjadi penyumbang besar kepada kemenangan Pakatan Harapan. Saya berharap kita dapat mempertahankan semua kawasan yang telah kita menangi seperti Pokok Sena, Alor Setar, Kuala Kedah, Gurun, Sungai Petani, Merbok, Padang Serai, dan Kulim Bandar Baharu.
Kita juga harus bekerja keras untuk menawan kembali kawasan seperti Kubang Pasu, Jerlun, Langkawi, Baling, dan Jerai. Jika Pakatan Harapan melangkah ke Putrajaya, saya mahu Kedah menjadi penyumbang terbesar dari segi jumlah kerusi Parlimen.
Sekali lagi, terima kasih kepada kawan – kawan yang hadir, yang jemput malam ini. Terima kasih banyak – banyak cikgu Razak, saya janji semasa kempen nanti pun untuk turut ikut membantu di kawasan Padang Serai. Saya ditugaskan kawasan utara – Perak Utara, Kedah, Perlis, Pulau Pinang untuk ikut membantu dalam masa 14 hari kempen dan jadual itu pun dah mula sekarang. Sekali lagi terima kasih banyak kepada semua. Mudah – mudahan Allah Taala anugerahkan dulang kemenangan kepada kita pada 19 haribulan nanti. Aqulu qauli haza wa astaghfirullah al-Azim li walakum. Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Ruangan Komen: