IPCC Dan IPFC Jadikan PDRM Terus Berintegriti, Berakauntabiliti - Saifuddin Nasution
December 10, 2024

Kepercayaan terhadap institusi penguatkuasaan undang-undang bukan sahaja perlu dipelihara, tetapi juga diperbaharui mengikut keperluan masyarakat. Apatah lagi apabila ia melibatkan pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang merupakan agensi penguatkuasaan terbesar di negara ini.

Pasukan PDRM ini cukup sinonim dengan rakyat Malaysia terutamanya dalam perkara menjaga keselamatan negara. Faktornya, mungkin didorong oleh keberadaan pasukan ini yang ditubuhkan sekian lama iaitu sejak Mac 1807 yang bermakna kewujudannya kini telah mencecah hampir 217 tahun.

Bagi memastikan pasukan PDRM ini terus terpelihara dan cara pelaksanaan tanggungjawabnya kekal relevan, Kerajaan telah memperkenalkan Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC) yang dikuatkuasakan pada Julai 2023.

Ini adalah sebahagian daripada tonggak reformasi institusi agar ia lebih inklusif. Susulan daripada itu, pada 3 Disember 2024 lalu, Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan pula inisiatif Police, Friends, and Collaborators (IPFC). Pengenalan IPFC ini adalah satu elemen baharu dalam usaha merapatkan jurang antara pihak polis dan masyarakat.

Penubuhan IPCC adalah respons Kerajaan terhadap masyarakat sivil yang memberi peluang kepada pasukan PDRM melaksanakan tugas serta tanggungjawab mereka dengan baik. Penubuhan suruhanjaya ini menerusi Akta 829 akan memperkasakan lagi akauntabiliti institusi PDRM selain memperkukuhkan keyakinan rakyat terhadap sistem penguatkuasaan undang-undang negara.

Melalui reformasi ini, kerajaan menunjukkan bahawa keadilan adalah asas utama kepada pentadbiran agensi penguatkuasaan. Seperti yang ditegaskan oleh ahli falsafah Inggeris, Jeremy Bentham, beliau menekankan bahawa The power of the law must not only be just, but must be seen to be just. Dengan memberikan kuasa penyiasatan bebas kepada IPCC, keadilan bukan sahaja ditegakkan tetapi dilihat secara jelas oleh masyarakat.

Inisiatif IPFC pula diperkenalkan bagi melengkapkan usaha IPCC dengan mengukuhkan hubungan antara pihak polis dan masyarakat. IPFC bertindak sebagai jambatan komunikasi untuk menggalakkan dialog terbuka, meningkatkan persefahaman dan mewujudkan sinergi positif.

Melalui projek komuniti dan sesi perbincangan, IPFC memperlihatkan pihak polis bukan hanya sebagai penguatkuasa undang-undang tetapi juga sebagai rakan strategik kepada masyarakat dalam memupuk keamanan.

Dalam konteks ini, kolaborasi ini penting untuk membina hubungan yang lebih erat antara polis dan rakyat, terutamanya dalam usaha menangani isu-isu keselamatan secara kolektif.

Apa pun, satu elemen penting yang perlu kita ketahui adalah bahawa IPCC tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada PDRM atau bahasa mudahnya polis kepada polis. Sebaliknya, IPCC juga boleh menjadi rakan strategik kepada pasukan PDRM untuk membantu memperkukuhkan profesionalisme dan integriti institusi ini.

IPCC bukan sahaja tempat aduan masyarakat terhadap salah laku polis, tetapi juga platform untuk pegawai dan anggota PDRM melaporkan masalah dalaman, termasuk isu kebajikan dan tekanan kerja.

Aduan ini menjadi sumber data penting bagi pihak pengurusan untuk mengenal pasti cabaran yang dihadapi oleh pegawai dan anggota mereka. Dengan cara ini, IPCC membantu memastikan kesejahteraan anggota polis diuruskan dengan lebih sistematik, seterusnya meningkatkan moral pasukan.

Harus diingat bahawa usaha untuk meningkatkan akauntabiliti bukanlah satu ancaman, tetapi ia adalah peluang untuk memperkukuh kepercayaan rakyat dan meningkatkan prestasi institusi.
Bagi memperkukuhkan pelaksanaannya, Kerajaan sedang merancang untuk memperluaskan mandat IPCC dengan menganjurkan lebih banyak sesi pendidikan, dialog interaktif, dan bengkel bersama masyarakat serta PDRM. Langkah ini bertujuan mempererat hubungan, meningkatkan kesedaran, dan memastikan setiap pihak memahami peranan mereka dalam menjayakan inisiatif ini.

Saya yakin dan percaya, menerusi sokongan dan dokongan daripada semua pihak, reformasi institusi penguatkuasaan yang sedang dilaksanakan kepada di dalam pasukan PDRM ini mampu menjadi model serta contoh ikutan kepada rakan negara serantau di Asia Tenggara mahupun di negara-negara lain. Insya-Allah.

Saifuddin Nasution
5 Disember 2024

Ruangan Komen:

Loading...