December 11, 2025

Tuan Yang Dipertua,

Terima kasih atas ruang yang diberikan untuk saya menjelaskan isu berkaitan pendaftaran kelahiran dan kematian di Sabah dan Sarawak, yang berdepan beberapa cabaran unik berbanding Semenanjung Malaysia.

Untuk makluman Dewan, proses pendaftaran di kedua-dua negeri ini sering terkesan oleh faktor geografi. Banyak penempatan terletak di kawasan pedalaman yang sukar diakses, ada yang memerlukan perjalanan jauh melalui sungai, jalan balak atau laluan tanah merah. Keadaan ini menyebabkan sebahagian besar penduduk tidak dapat hadir ke pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dalam tempoh masa yang ditetapkan di bawah peruntukan undang-undang.

Selain isu jarak dan akses, terdapat juga cabaran berkaitan dokumentasi asas. Sebahagian penduduk di kawasan pedalaman tidak memiliki dokumen sokongan yang lengkap untuk membuktikan identiti diri atau hubungan kekeluargaan. Kekurangan dokumen ini menjadikan proses pengesahan lebih rumit, kerana JPN perlu memastikan setiap maklumat adalah sahih sebelum sesuatu pendaftaran boleh direkodkan.

Tuan Yang Dipertua,

Bagi menangani cabaran ini, beberapa langkah penambahbaikan telah dan sedang dilaksanakan oleh JPN.

Pertama, peluasan program outreach dan pendaftaran bergerak.
Pegawai JPN turun ke kampung, rumah panjang dan kawasan terpencil bagi menjalankan pendaftaran di lapangan. Inisiatif ini amat membantu penduduk yang tidak dapat melakukan perjalanan jauh ke pejabat JPN.

Kedua, memperkukuh kerjasama dengan pemimpin masyarakat.
Ketua kampung, penghulu dan pemimpin komuniti berperanan membantu JPN dalam proses pengesahan identiti, terutama bagi mereka yang tidak mempunyai dokumen lengkap. Kerjasama ini mempercepatkan semakan dan memastikan ketepatan maklumat.

Ketiga, penggunaan sistem digital dan proses kerja yang ditambah baik.
JPN meningkatkan penggunaan teknologi untuk mempercepat semakan, memudahkan perekodan maklumat dan mengurangkan kelewatan dalam proses pengesahan.

Keempat, penempatan pegawai tambahan dan latihan khusus.
Kawasan yang dikenal pasti mempunyai kadar lewat daftar yang tinggi diberi keutamaan melalui penambahan keanggotaan serta latihan khusus berkaitan prosedur verifikasi.

Tuan Yang Dipertua,

Kerajaan komited memastikan setiap kelahiran dan kematian direkodkan secara sah demi menjamin hak rakyat kepada dokumen identiti, akses pendidikan, kesihatan serta perkhidmatan asas yang lain. Usaha penambahbaikan yang sedang berjalan ini akan diteruskan bagi memastikan liputan perkhidmatan JPN lebih menyeluruh dan berkesan di Sabah dan Sarawak.

Sekian, terima kasih.

Ruangan Komen:

Loading...