ISU TERKAIT SUHAKAM – PENGGULUNGAN PERBAHASAN DI DEWAN RAKYAT OLEH YB DATUK SERI SAIFUDDIN NASUTION, MENTERI DALAM NEGERI, 24 JULAI 2025 - Saifuddin Nasution
July 24, 2025

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Yang di-Pertua, para Senator yang saya hormati sekalian.

Terima kasih atas kesempatan untuk saya memberikan penggulungan mewakili Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam sesi ini.

Saya memulakan ucapan ini dengan merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) atas pembentangan Laporan Tahunan 2023. Laporan tersebut mengandungi 31 isu yang berkait secara langsung dengan KDN, termasuk teguran dan cadangan penambahbaikan. Lima tonggak utama yang dikenal pasti
adalah: 1. Kewarganegaraan 2. Keselamatan 3. Pengurusan tahanan (lokap, depo, penjara, imigresen) 4. Kebajikan anggota 5. Hak pelarian

1. Isu Kewarganegaraan
Berkaitan isu anak tidak sah taraf, anak angkat, anak terdampar, dan anak yang lahir di luar negara – saya maklumkan bahawa untuk tahun 2024, KDN mensasarkan 17,000 permohonan kewarganegaraan diselesaikan. Namun, kita berjaya membuat keputusan terhadap 20,701 permohonan. Bagi tahun 2025, sasaran adalah 20,000 permohonan dan setakat Jun, 10,416 telah diputuskan. Daripada jumlah itu, 70% adalah melibatkan anak tidak sah taraf dan anak angkat. Ini membuktikan komitmen kita terhadap golongan ini.

2. Pindaan SOSMA dan POCA
Pindaan kepada Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA sedang dirangka. Pada bulan Ogos, KDN akan mengemukakan kertas dasar kepada Jemaah Menteri. Antara perkara utama yang akan dikaji adalah Seksyen 13 berkaitan bailable dan non-bailable offences serta pengurangan senarai 73 kesalahan di bawah SOSMA – setakat ini, 13 kesalahan dikenal pasti untuk dikeluarkan.

3. Kesesakan Penjara dan Reintegrasi
Kapasiti penjara kita ialah 76,311, manakala jumlah banduan semasa adalah 83,808 – melebihi kapasiti. Sebanyak 35% daripadanya ialah tahanan reman dan 65–70% melibatkan kesalahan berkaitan dadah. Untuk menangani isu ini, KDN melaksanakan program Perintah Pembebasan Berlesen (PBBL), pusat reintegrasi, dan kolaborasi dengan 796 majikan melalui program Corporate Smart Internship. Program ini telah menunjukkan kadar residivisme yang sangat rendah, hanya 1 daripada 8,000 yang kembali melakukan jenayah.

4. Isu Pelarian dan UNHCR
Keberadaan pelarian dan peranan UNHCR juga dibangkitkan. Sehingga kini, proses pendaftaran pelarian dilakukan sepenuhnya oleh UNHCR tanpa semakan silang oleh agensi kerajaan. Ini menjadi satu keprihatinan kerana proses verifikasi adalah penting untuk menjamin keselamatan negara. Walaupun dasar kita membenarkan lawatan UNHCR ke depo imigresen, ia mestilah dipohon secara rasmi. Pada tahun 2024 dan 2025, hanya satu permohonan lawatan diterima dan diluluskan setiap tahun.

5. Alternatif kepada Tahanan Reman dan Penggunaan “Device”
Cadangan penggunaan alat pemantauan elektronik sebagai alternatif kepada tahanan reman telah diluluskan pada peringkat dasar oleh Jemaah Menteri. Proses kini di peringkat pembangunan draf pindaan undang-undang bersama Jabatan Peguam Negara, dengan pertimbangan mentafsirkan “alat berlenggu” merangkumi peranti pemantauan elektronik.

6. Pengurusan Pekerja Asing dan Teguran SUHAKAM
KDN melaksanakan saringan keselamatan dan penguatkuasaan bayaran levi, sementara pengurusan menyeluruh pekerja asing berada di bawah bidang kuasa Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Ekonomi. Bilangan pekerja asing dibenarkan dalam negara ditetapkan pada 2.5 juta, dan setakat ini terdapat 2.145 juta pekerja asing sah di bawah Pas Lawatan Kerja Sementara.

7. Penambahbaikan Lokap dan Pemeriksaan Kesihatan
Sebagai usaha penambahbaikan, KDN telah melaksanakan projek rintis pemeriksaan kesihatan terhadap Orang Kena Tahan (OKT) sebelum dimasukkan ke lokap di tiga balai polis (Seri Alam, Pengkalan Chepa, dan Sentral Ipoh). Pemeriksaan dilakukan oleh doktor bertauliah untuk menjamin kesihatan tahanan dan rekod yang lebih sistematik.

8. Hak Kebebasan Berhimpun dan Penyerahan Memorandum
KDN menyambut baik cadangan untuk mewujudkan kawasan khusus untuk serahan memorandum oleh rakyat kepada wakil rakyat. Kita terbuka untuk bekerjasama dengan pihak pentadbiran Parlimen bagi memastikan hak berhimpun dilaksana dalam ruang yang menghormati institusi Parlimen.

Kementerian Dalam Negeri terus komited untuk menjaga keselamatan rakyat dan pada masa yang sama memastikan keadilan sosial dan hak asasi manusia diberi tempat yang sewajarnya. Segala cadangan dan teguran daripada Dewan ini akan diambil perhatian demi memperkukuh dasar serta pelaksanaan yang lebih baik di masa akan datang.

Sekian, terima kasih.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Ruangan Komen:

Loading...