Jaminan Keselamatan Negara Adalah Komitment Berpanjangan KDN - Saifuddin Nasution
November 27, 2024

Malaysia sedang melalui era perubahan yang dinamik, dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terus memainkan peranan utama dalam memastikan keselamatan negara, keutuhan institusi dan keharmonian masyarakat terus terjaga.

Kerana itulah, setiap lapisan keluarga KDN perlu faham dan sentiasa maklum mengenai aspirasi dan matlamat Kerajaan hari ini. Ia supaya setiap apa yang dirancang dan dilaksanakan oleh jabatan dan agensi di dalam KDN sentiasa selari dengan apa yang diimpikan oleh Kerajaan.

Kerana itulah, himpunan bulanan yang mengumpulkan seberapa ramai pegawai dan anggota di bawah KDN dijadikan amalan penganjurannya. Ia bukan sekadar acara rutin tetapi ia adalah platform untuk menyatukan misi dan visi kita ke arah membentuk Malaysia Madani yang lebih utuh.

Pada majlis perhimpunan bulanan September lalu, saya mengajak semua warga KDN merenung pencapaian kita bersama, menghadapi cabaran semasa dengan keberanian dan merancang langkah yang lebih strategik demi masa depan negara.

Saya telah menekankan bahawa, KDN tidak hanya berfungsi sebagai penguatkuasa undang-undang. Lebih daripada itu, kita adalah penjaga kepada maruah dan kebajikan setiap individu di tanah air tercinta ini.

Keprihatinan ini diterjemahkan melalui pelbagai inisiatif seperti peningkatan keupayaan kawalan sempadan, penguatkuasaan terhadap jenayah transnasional dan pembaharuan dalam pengurusan warga asing yang rata-ratanya merupakan tanggungjawab agensi serta jabatan di bawah KDN.

Sebagai contoh, program pemulihan banduan yang inovatif, termasuk peluang pendidikan tinggi dalam penjara, telah membuka ruang kedua bagi mereka yang ingin membina hidup baru.

Ini bukan hanya membantu individu, tetapi juga memberi impak positif kepada keluarga dan komuniti mereka. Pendekatan sebegini melambangkan keprihatinan kita terhadap pembinaan semula kehidupan insan.

Selain itu, KDN telah meningkatkan daya tahan negara terhadap ancaman pemerdagangan manusia. Langkah berani ini disokong oleh teknologi terkini dan kerjasama strategik dengan badan antarabangsa. Hasilnya, Malaysia terus diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai negara yang tegas memerangi jenayah ini sambil kita menjaga hak asasi manusia.

Apa pun, dalam merealisasikan hasrat ini, tidak ada gunanya sekiranya kita hanya mementingkan mengenai hasil kerja semata-mata. Sebaliknya, kebajikan warga KDN juga perlu menjadi agenda penting Kerajaan supaya ia seimbang.

Sebab itulah, semasa diberi mandat untuk memegang jawatan ini, saya berazam untuk cuba turun padang semampu yang mungkin untuk melihat sendiri kebajikan setiap warga KDN.

Ini memberi peluang kepada saya untuk berbincang dengan petugas di pelbagai lapisan, kerana saya percaya bahawa suara anda adalah nadi kementerian ini. Kita tidak akan mencapai apa-apa tanpa usaha kolektif setiap individu di kementerian ini.

Setiap kali berjumpa warga KDN, setiap kali itulah saya berpesan supaya kita semua terus bersatu hati. Jangan sesekali kita lupa bahawa setiap cabaran yang dihadapi adalah peluang untuk menjadi lebih baik. Tugas kita bukan mudah, tetapi dengan kebersamaan dan tekad, tidak ada apa yang mustahil.

Pada masa yang sama, kita perlu sentiasa mendekati masyarakat dengan hati yang terbuka. Bukan semua masalah dapat diselesaikan dengan kekerasan undang-undang tetapi ada masanya kita perlu menjadi pendengar yang baik, mencari solusi yang menyembuhkan, bukan menghukum.

Akhir sekali, sekali lagi ingin saya ingatkan bahawa keselamatan dan keharmonian negara ini adalah amanah yang diwariskan kepada kita. KDN sebagai duta keselamatan negara perlu pikul tanggungjawab besar ini. Dan tetapi saya yakin dengan kebolehan serta integriti yang ada, kami mampu untuk melaksanakannya dengan penuh dedikasi. Insya-Allah.

Saifuddin Nasution
1 Oktober 2024

Ruangan Komen:

Loading...