Menjawab pertanyaan Ledang.
Jawapan Menteri Dalam Negeri:
Laporan Kehilangan dan Siasatan Awal
Amri Che Mat dilaporkan hilang pada 25 November 2016.
Manakala Koh Keng Joo dilaporkan hilang pada 13 Februari 2017.
Menyusuli laporan kehilangan itu, pihak polis telah membuka kertas siasatan di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan berhubung mencolek dan melarikan seseorang dengan niat untuk mengurungnya secara sulit dan salah.
Bagi kes Amri Che Mat, pihak polis telah mengambil keterangan daripada 80 orang saksi. Seorang suspek, Saiful Abzan bin Seni, tidak memberi kerjasama untuk hadir dalam inkuiri SOHAKAM. Waran tangkap telah dikeluarkan dan suspek juga telah disenaraihitamkan.
Bagi kes Raymond Koh, polis telah membuka siasatan di bawah Seksyen 385 Kanun Keseksaan. Sebanyak 39 keterangan saksi telah diambil dan seorang suspek, Lam Chang Nam, telah dituduh di bawah Seksyen 385 dibaca bersama Seksyen 511 dan dihukum denda RM7,000 serta 18 bulan penjara.
Inkuiri Awam SOHAKAM dan Pasukan Petugas Khas
SOHAKAM telah membuat pendengaran awam dan mengeluarkan laporan pada 3 April 2019. Sebulan selepas itu, pada 8 Mei 2019, Jemaah Menteri mengarahkan Kementerian Dalam Negeri menubuhkan Pasukan Petugas Khas untuk menyiasat laporan pendengaran awam SOHAKAM berhubung kehilangan Amri dan juga Raymond Koh.
Laporan Pasukan Petugas Khas kemudiannya selesai pada 13 Mac 2020.
Permohonan Akses Laporan PPK oleh Isteri Amri
Pada 16 Ogos 2021, isteri Amri telah memohon untuk memeriksa dan mendapatkan salinan laporan Pasukan Petugas Khas. Mahkamah kemudiannya membenarkan permohonan ini.
Pada 9 Mei 2023, ketika Kerajaan Madani telah ditubuhkan, saya mengemukakan perkara ini kepada Jemaah Menteri. Jemaah Menteri bersetuju bahawa kerajaan tidak perlu merayu keputusan mahkamah. Dengan itu, isteri Amri diberi peluang memiliki laporan tersebut untuk tujuan proses undang-undang.
Keputusan Mahkamah Tinggi pada 5 November
Berdasarkan dapatan mahkamah, Polis Diraja Malaysia telah gagal menjalankan siasatan sewajarnya. Dalam penghakiman bertulis, mahkamah menyebut berlaku pelanggaran hak di bawah Perkara 5, 8 dan 160 Perlembagaan Persekutuan berkaitan kebebasan diri, perlindungan yang sama rata dan hak lain yang berkaitan.
Isteri Amri diberikan pampasan sebanyak RM3.3 juta meliputi ganti rugi, ganti rugi teladan dan kos. Polis turut diarahkan menyiasat kes ini semula dan melaporkan perkembangannya kepada Peguam Negara setiap dua bulan.
Bagi kes Raymond Koh, mahkamah turut memutuskan kerajaan gagal menjalankan siasatan sewajarnya. Mahkamah mengarahkan kerajaan membayar RM37 juta. Polis juga diarahkan mengemukakan Raymond Koh dan, jika gagal, kerajaan diperintahkan membayar RM10,000 sehari sehingga keberadaan Koh Keng Joo didedahkan dengan pasti. Ini merupakan satu penghakiman tanpa had masa.
Tindakan Susulan oleh Kerajaan
Kerajaan menghormati prinsip kedaulatan undang-undang dan komited untuk mencari kebenaran serta menegakkan keadilan. Pihak polis telah menubuhkan pasukan penyiasat baharu yang diketuai oleh seorang pegawai berpangkat ACP. Pasukan ini akan meneliti semua kertas siasatan awal, laporan SOHAKAM, laporan Pasukan Petugas Khas dan mendapatkan keterangan baharu. Mana-mana pihak yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu pihak polis.
Rayuan oleh Peguam Negara
Peguam Negara telah mengumumkan keputusan untuk mengemukakan rayuan. Prinsip keadilan sejagat memberi hak kepada semua pihak untuk merayu. Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang kerajaan meneliti penghakiman dan berpendapat terdapat asas untuk merayu, termasuk perkara-perkara yang berkaitan komitmen kewangan.
Tindakan ini tidak bermaksud kerajaan memandang rendah isu nyawa atau hak kebebasan. Ia adalah selaras dengan prinsip undang-undang yang terpakai.
Terima kasih Tuan Yang DiPertua.







Ruangan Komen: