Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua.
Kalau Tuan ke Negeri Kedah,
Banyak rumah berlantai papan;
Bangun sudah, soal pun sudah,
Sekarang masa dengar jawapan.
Sebelum itu, izinkan saya mengalu-alukan kehadiran tetamu di Dewan pada hari ini. Seramai 50 orang hadir dari Alor Sena, Berseri, Perlis, terdiri daripada warga emas Pusat Aktiviti Warga Emas Durrani. Mereka ini telah bersara dan mempunyai pelbagai latar belakang pekerjaan. Selamat datang saya ucapkan.
Saya juga gembira melihat sahabat saya dari Saratok yang kesihatannya semakin baik dan semakin pulih. Alhamdulillah.
Tuan Yang di-Pertua, walaupun negara kita telah maju dan membangun, masih terdapat kes dalam kalangan rakyat yang tidak memiliki sijil kelahiran dan juga MyKad. Ini adalah satu kenyataan. Apabila perkara ini berlaku, kehidupan mereka menjadi sukar. Anak-anak sukar bersekolah. Apabila sakit dan memerlukan rawatan, kos menjadi tinggi.
Apabila saya memulakan tugas, pegawai memaklumkan bahawa isu ini perlu diberikan keutamaan. Saya bersetuju. Saya merakamkan penghargaan kepada sahabat saya dari Larut. Seawal 12 Oktober 2021, perbincangan telah diadakan dengan Kerajaan Sarawak dan keputusan diambil untuk menubuhkan pasukan petugas khas. Pada hemat saya, keputusan itu tepat, cuma ketika itu belum sempat dioperasikan.
Apabila saya memulakan tugas, saya berbincang dengan Ketua Menteri Sarawak, Premier Sarawak, dan persetujuan dicapai. Keputusan Jemaah Menteri dibuat pada Oktober 2021 dan pelaksanaan dimulakan pada Julai 2023. Pasukan petugas khas ditubuhkan dan dilaksanakan di Saratok.
Sejak itu, kita tidak menoleh ke belakang. Semalam, saya kembali dari Sarawak selepas menghadiri mesyuarat pasukan petugas khas yang pertama bagi tahun ini. Ini maklumat terkini.
Tugas pasukan petugas khas ini satu sahaja, iaitu mengumpulkan semua permohonan penduduk Sarawak yang tinggal di kawasan pedalaman. Untuk sampai ke kawasan ini, ada yang perlu menggunakan kenderaan pacuan empat roda, bot merentas arus deras dan ada kalanya helikopter.
Sehingga semalam, sebanyak 13,224 permohonan telah dikumpulkan. Pasukan petugas khas ini diletakkan sepenuhnya di bawah Jabatan Premier Sarawak.
Peranan Kementerian Dalam Negeri adalah melalui Jabatan Pendaftaran Negara menerusi inisiatif MEKAR, Menyemai Kasih Rakyat. Pegawai tidak menunggu di pejabat. Mereka turun ke lapangan, ke rumah panjang dan mencari sendiri individu yang tidak memiliki dokumen.
Hasilnya, dari Julai 2023 hingga Julai 2025, sebanyak 13,224 permohonan dikumpulkan. Daripada jumlah ini, 12,509 telah diputuskan dan baki 715 masih dalam proses. Baki ini juga akan diselesaikan kerana pasukan petugas khas mempunyai tempoh hayat sehingga Julai 2025. Namun, semalam Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Sarawak bersetuju melanjutkan tempoh pelaksanaan sehingga 31 Disember 2025.
Yang Berhormat Saratok bertanya sama ada proses ini terikat dengan birokrasi Putrajaya. Jawapannya tidak. Jika prosedur biasa, individu tanpa dokumen perlu hadir ke pejabat dan pegawai menunggu di kaunter. Dalam pendekatan ini, prosedurnya berbeza. Kita mencari mereka.
Di Sarawak dan Sabah, pendaftaran kelahiran perlu dibuat dalam tempoh 40 hari, manakala di Semenanjung 60 hari. Disebabkan jarak yang jauh, tempoh ini sering tidak dipatuhi. Maka pasukan petugas khas mengumpulkan data, memproses permohonan dan akhirnya mengeluarkan MyKad serta sijil kelahiran. Itulah hasil akhirnya.
Di Saratok, sejak pasukan ini bermula, sembilan program outreach telah dilaksanakan bersama Jabatan Pendaftaran Negara. Secara keseluruhan, sebanyak 1,117 program dilaksanakan. Pada tahun 2023, 236 program; tahun 2024, 204 program; tahun 2025, 404 program; dan sehingga minggu kedua dan ketiga Januari tahun ini, tujuh program telah dilaksanakan.
Ini menunjukkan kesungguhan kerajaan membantu penduduk pedalaman yang tidak memiliki dokumen.
Usaha ini bukan sahaja tanggungjawab moral untuk membawa mereka ke arus perdana, tetapi juga komitmen antarabangsa negara di bawah Matlamat Pembangunan Mampan, khususnya berkaitan dokumentasi dan status rakyat.
Terima kasih.
SOALAN TAMBAHAN â Saratok
Terima kasih atas jawapan Yang Berhormat Menteri. Ramai dalam kalangan guru besar, khususnya di kawasan pedalaman Sarawak, tidak menyedari kewujudan undang-undang khas berkaitan perkahwinan campur dengan peribumi Sarawak, di mana jika salah seorang ibu bapa berstatus bumiputera Sarawak, anak turut dianggap peribumi Sarawak.
Soalan saya khusus kepada Sarawak. Adakah Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Pendidikan akan menggunakan pendekatan Sarawak di bawah Ordinan Tafsiran (Pindaan) 2022, yang menetapkan jika salah seorang ibu bapa adalah bumiputera Sarawak, anak-anak secara automatik berstatus bumiputera Sarawak dan layak menerima pendidikan seperti warga negara Malaysia yang lain?
JAWAPAN YB MENTERI DALAM NEGERI
Terima kasih Saratok. Saya sahkan isu ini turut dibincangkan dalam pasukan petugas khas. Namun, terma rujukan keutamaan kita adalah menyelesaikan individu tanpa dokumen, bukan isu akses ke universiti.
Sarawak mempunyai inisiatif tersendiri, termasuk pendidikan percuma. Rakyat Sarawak amat memerlukan status âKâ. Namun apabila kita membuka lebih 13,000 kes, isu yang timbul adalah pelbagai. Bukan sahaja ketiadaan dokumen pengenalan diri, malah ada yang tidak mempunyai sijil kelahiran langsung. Ada yang lahir di Sarawak tetapi bersempadan dengan Kalimantan.
Terdapat juga kategori MyKHAS, iaitu kaedah sementara apabila individu langsung tidak mempunyai dokumen. Kita keluarkan kad hijau terlebih dahulu bagi membolehkan pencarian ibu bapa dan pengesahan lanjut.
Jika isu berkaitan akses pendidikan, tahun lalu kita bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan. Dalam sistem pendidikan arus perdana kini terdapat 12,000 pelajar yang telah bersekolah walaupun belum mempunyai dokumen pengenalan diri. Kita membantu menyelesaikannya.
Apabila ditanya mengapa tidak mendaftar kelahiran, pelbagai jawapan diterima. Ada yang tidak tahu. Ada yang suami dipenjarakan. Ada yang suami berada di pusat dadah. Ada yang tidak mampu dari segi kewangan. Ini menunjukkan masih terdapat kelompok masyarakat yang tidak mempunyai maklumat bahawa pendaftaran kelahiran segera adalah satu keperluan asas.
Melalui inisiatif ini, termasuk di Sarawak dan Saratok, kita permudahkan akses mereka kepada pendidikan dalam arus perdana, termasuk pengeluaran MyKid kepada kanak-kanak yang layak.
Terima kasih.
(Diperkemas daripada verbatim jawapan YB Menteri Dalam Negeri)







Ruangan Komen: