Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua, dan sahabat saya dari Batu Gajah atas soalan yang sangat penting.
Jabatan Penjara Malaysia di bawah Kementerian Dalam Negeri terus komited melaksanakan Program Corporate Smart Internship (CSI) sebagai pendekatan progresif dalam pemulihan banduan. Malah, kami menggunakan istilah “prospek” bagi menggantikan label “banduan”, sebagai sebahagian daripada usaha memulihkan maruah mereka dan menyediakan peluang kedua.
Melalui inisiatif seperti parol, Program Pelepasan Secara Berlesen (PBSL) dan Penghuni Bebas Lesen – termasuk untuk pelajar di Sekolah Henry Gurney – para prospek ini diberi peluang menyertai komuniti dengan sokongan pekerjaan yang bersesuaian. Mereka tidak lagi terkurung di sebalik tembok penjara, sebaliknya menjalani proses pemulihan berasaskan komuniti.
Sehingga kini, sebanyak 789 syarikat telah menjalin kerjasama dengan Jabatan Penjara, menawarkan pekerjaan kepada 7,051 prospek dalam lima sektor utama iaitu:
- Perkhidmatan
- Perladangan
- Pembuatan
- Pertanian
- Pembinaan
Jumlah ini dijangka meningkat kepada 8,500 dalam masa terdekat. Sebagai contoh, syarikat Guthrie bersetuju mengambil 644 prospek, melatih mereka, malah memberikan Sijil Penuaian (Harvesting Certificate). Shopee juga akan mengambil 350 prospek untuk pelbagai peranan dalam syarikat mereka.
Cabaran utama adalah persepsi masyarakat dan majikan. Maka, kementerian melaksanakan strategi berterusan bagi memperbetulkan persepsi bahawa penjara bukan lagi hanya tempat hukuman, tetapi juga sebuah “teaching factory” dan pusat “work-based learning”.
Setakat ini, Jabatan Penjara mengendalikan 35 institusi latihan TVET, dengan program seperti:
- Sijil Kemahiran Malaysia (SKM)
- Sijil Kompetensi Pembinaan
- Program Upskilling Agro-Mas PEKA MADANI (bidang pertanian, penternakan, perikanan)
- Program STEP@Industry (latihan industri untuk prospek)
Bagi merangsang penglibatan majikan, kami sediakan:
- Insentif pengecualian cukai
- Insentif khas di bawah Program Daya Kerja 3.0 PERKESO – RM600 sebulan selama 3 bulan bagi setiap prospek yang diambil bekerja
- Hebahan melalui One Stop Centre – majikan diberi pilihan prospek sedia ada dalam negara tanpa perlu bergantung kepada pekerja asing
Melalui pendekatan menyeluruh ini, prospek akan lebih bersedia menyesuaikan diri dengan masyarakat dan sekali gus mengurangkan residivisme (pengulangan kesalahan jenayah).
Sebagai contoh, daripada setiap 800 prospek yang dibebaskan, hanya seorang sahaja yang kembali semula ke penjara. Ini membuktikan kejayaan pendekatan yang holistik dan manusiawi ini.
Menjawab soalan tambahan dari Batu Gajah, sebanyak 19,361 prospek telah menerima sijil kemahiran TVET melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB). Latihan ini melibatkan enam bidang utama:
- Makanan
- Perkhidmatan
- Pembuatan
- Fabrik
- Pertanian/Perladangan
- Penternakan
Mereka keluar penjara dengan kemahiran, dengan sijil yang diiktiraf, dan disambut baik oleh majikan – bukan lagi diheret dalam putaran ganas masyarakat yang meminggirkan bekas banduan.
Menjawab soalan Kota Bharu pula, kita terbuka untuk meneliti amalan baik antarabangsa, termasuk pendekatan parol terus ke komuniti sejurus selepas hukuman dijatuhkan. Di Malaysia, kita masih sedang membina kekuatan dalaman termasuk dari aspek kewangan dan perjawatan. Namun, kerjasama dengan institusi agama juga menunjukkan kejayaan besar, seperti di Penjara Kajang di mana terdapat 35 Huffaz al-Quran yang berjaya menghafaz 30 juzuk semasa dalam tahanan.
Akhir kata, pendekatan inklusif dan kemanusiaan ini bukan sahaja membina semula individu, tetapi menyumbang kepada keselamatan dan kemakmuran negara.
Terima kasih.
Ruangan Komen: