Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam sejahtera dan Salam Malaysia Madani.
Tuan Yang di-Pertua,
Terima kasih atas ruang yang diberikan. Saya mohon untuk menyekalikan jawapan ini kerana isu yang sama turut dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat Kota Bharu dan Kepong pada 4 Ogos, serta Kubang Pasu pada 7 Ogos 2025.
Saya juga merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat Petaling Jaya atas soalan yang dikemukakan.
Tuan Yang di-Pertua,
Isu yang dibincangkan ini, sama ada dinamakan ‘kaunter setting’, ‘flying passport’, ‘U-turn’, atau ‘phantom travellers’ – semuanya merujuk kepada salah laku tidak berintegriti yang mencemarkan imej negara, khususnya terhadap agensi utama seperti Jabatan Imigresen Malaysia dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).
Bagi pihak Kementerian Dalam Negeri, saya ingin menegaskan bahawa kami mengamalkan dasar toleransi sifar terhadap sebarang bentuk salah laku. Tiada ruang untuk mana-mana pegawai atau individu yang cuba memanipulasi sistem imigresen demi kepentingan peribadi.
Tuan Yang di-Pertua,
Individu yang sering terlibat dalam manipulasi seumpama ini telah dikenal pasti dan dimasukkan dalam senarai suspek. Mereka telah dikenakan sekatan keluar negara tanpa pengecualian, sama ada permintaan itu datang daripada Jabatan Penjara, Jabatan Insolvensi, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Mahkamah, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Kastam, atau agensi berkaitan. Ini turut melibatkan ejen pekerja asing dan individu yang mempunyai isu peribadi tertentu.
Langkah-Langkah Penambahbaikan oleh KDN
Kementerian telah merangka beberapa inisiatif utama bagi memperkukuh sistem dan menutup ruang kepada salah laku:
- Pendigitalan Perkhidmatan Imigresen melalui Autogate
Kami sedang meluaskan penggunaan sistem Autogate yang akan meminimumkan interaksi fizikal dan mengurangkan kuasa budi bicara pegawai di pintu masuk negara.- Sebanyak 635-unit Autogate akan dipasang di 123 pintu masuk utama, termasuk KLIA1, KLIA2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, Kota Kinabalu, Pulau Pinang dan pintu masuk di Johor.
- Pelaksanaan bermula Disember 2025, dan rollout penuh dijangka selesai pada Mac 2028.
- Sistem ini berasaskan teknologi biometrik, termasuk pengecaman wajah (facial recognition), imbasan iris dan cap jari.
- Penggunaan Kamera Badan (Body-Worn Camera)
Kami sedang menjalankan projek perintis pemasangan kamera badan untuk pegawai imigresen, khususnya di KLIA.
-
- Sasaran semasa ialah sebanyak 614 unit, dengan perolehan dimulakan pada September 2025.
- Advance Passenger Screening System (APSS)
Sistem saringan awal penumpang ini akan diperkenalkan bagi meningkatkan kawalan sebelum individu menaiki penerbangan ke Malaysia.
-
- Komponen utama termasuk Advance Passenger Information (API).
- Sepuluh syarikat penerbangan pertama dijangka melaksanakan sistem ini menjelang akhir tahun 2025.
- Melalui sistem ini, data penumpang boleh disaring sebelum mereka tiba di Malaysia.
- Latihan & Kesedaran Integriti
- Sebanyak 185 kursus kesedaran antirasuah telah dilaksanakan melibatkan kerjasama SPRM, PDRM dan agensi berkaitan, bagi memperkukuh integriti dalam kalangan pegawai imigresen dan penguat kuasa.
Tindakan Terhadap Pegawai Terlibat
Tuan Yang di-Pertua,
Setiap risikan dan tangkapan akan disusuli dengan siasatan dalaman oleh agensi berkaitan, khususnya AKSEM. Jika terdapat bukti prima facie:
- Tindakan disiplin akan diambil berdasarkan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
- Hukuman termasuklah amaran, denda, penurunan gaji, penangguhan pergerakan gaji atau tindakan buang kerja.
- Sekiranya wujud elemen jenayah seperti rasuah, kes akan diserahkan kepada SPRM dan PDRM.
- Pegawai yang disiasat turut dipindahkan ke unit berisiko rendah sepanjang tempoh siasatan.
Sebagai rekod, pada tahun 2023 sahaja, seramai 26 pegawai telah dibuang kerja atas pelbagai kesalahan.
Untuk kes 50 orang ‘phantom travellers’ yang telah dikenal pasti:
- 2 telah didakwa di mahkamah.
- 48 lagi sedang dalam proses tindakan oleh SPRM yang melibatkan syor pendakwaan, siasatan dalaman serta penyediaan kertas siasatan tatakelola.
Tuan Yang di-Pertua,
Saya ingin mengulangi komitmen tegas kerajaan terhadap dasar toleransi sifar terhadap jenayah dan rasuah, tanpa mengira pangkat atau pengaruh individu. Kementerian Dalam Negeri akan terus bertindak tegas dan telus bagi memastikan integriti sistem imigresen negara sentiasa terpelihara.
Sekian, terima kasih Tuan Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Dewan yang mulia.
Ruangan Komen: