Kerajaan Malaysia Madani Komited Bentuk Generasi Bebas Dadah - Saifuddin Nasution
November 28, 2024

Pada 17 November lalu, saya bersama Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Fadhlina Sidek, telah merasmikan Kempen Anti Dadah di Sekolah Peringkat Kebangsaan 2024 yang berlangsung di Sekolah Kebangsaan Permatang Pasir, Bandar Baharu, Kedah.
Program ini merupakan manifestasi kerjasama erat antara Kementerian Pendidikan dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan kesedaran tentang bahaya dadah, tetapi juga membina ketahanan diri pelajar agar menjadi generasi masa depan yang bebas daripada ancaman gejala ini.
Saya ingin merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada Kementerian Pendidikan, khususnya di bawah kepimpinan Yang Berhormat Fadhlina Sidek, atas komitmen dan sokongan padu mereka terhadap aspirasi murni ini. Kerjasama strategik antara kementerian seperti ini adalah contoh terbaik bagaimana sinergi pelbagai pihak dapat memperkukuh usaha membanteras dadah secara bersepadu. Pendidikan awal di peringkat sekolah bukan sahaja menyedarkan pelajar tentang risiko dadah tetapi juga membentuk jati diri yang kuat untuk menolak pengaruhnya.
Setiap kali kita merujuk kepada statistik penyalahgunaan dadah di kalangan rakyat Malaysia terutamanya remaja sekolah, ia amat membimbangkan kita. Fenomena ini bukan sekadar meragut masa depan anak-anak kita tetapi turut memusnahkan institusi keluarga dan akan memberi kesan buruk kepada pembangunan negara.

Penyalahgunaan dadah tidak mengenal latar belakang dan jika tidak dibendung, ia boleh menjadi krisis nasional yang meragut potensi anak muda. Oleh itu, kempen seperti ini dilihat sebagai platform penting untuk mendidik pelajar mengenai bahaya penyalahgunaan dadah, risiko serta membina kekuatan dalaman agar mampu menolak pengaruh negatif sejak usia muda.
Dalam ucapan saya semasa majlis tersebut, saya menegaskan bahawa usaha membanteras dadah memerlukan sokongan bersepadu daripada semua pihak. Pendidikan awal di peringkat sekolah adalah kunci utama pencegahan, kerana tempoh ini merupakan fasa penting dalam pembentukan sikap, nilai, dan identiti pelajar. Justeru, kita memperkenalkan pelbagai modul pendidikan di bawah kempen ini, termasuk sesi interaktif dan ceramah motivasi, untuk memperkasa pelajar dengan pengetahuan mengenai bahaya dadah.
Pada majlis yang sama, saya turut melancarkan Program MEKAR DIDIK, sebuah inisiatif di bawah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Program ini memberi fokus kepada menangani isu keciciran di sekolah akibat ketiadaan dokumen pengenalan diri, seperti sijil kelahiran, kad pengenalan, dan sijil kewarganegaraan.
Masih terdapat kanak-kanak di Malaysia yang menghadapi kesukaran untuk bersekolah kerana isu ini. Melalui MEKAR DIDIK, kerajaan menyediakan bantuan menyeluruh untuk memastikan semua kanak-kanak mendapat dokumen sah agar mereka dapat meneruskan pendidikan tanpa halangan.
Ketiadaan dokumen bukan sahaja menjejaskan peluang pendidikan tetapi turut menjadikan kanak-kanak ini rentan terhadap pelbagai risiko sosial, termasuk eksploitasi dan penyalahgunaan dadah. MEKAR DIDIK bukan sekadar program dokumentasi, tetapi sebuah langkah holistik untuk menyelamatkan generasi muda daripada kitaran kemiskinan dan kerentanan sosial.
Sebagai Menteri Dalam Negeri, saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan Madani sentiasa komited dalam usaha membanteras dadah secara lebih agresif dan terancang. Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan secara rentas jabatan yang diketuai oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Kerajaan tidak hanya fokus kepada langkah menghukum penagih tetapi turut mempergiat usaha pencegahan dan pemulihan untuk bekas penagih, memberi peluang kedua agar mereka dapat kembali menyumbang kepada masyarakat. Dengan pendekatan holistik ini, saya yakin kita mampu membina masa depan yang lebih cemerlang untuk generasi akan datang. Insya-Allah, usaha ini akan terus diperkukuh demi memastikan Malaysia bebas daripada ancaman dadah dan menjadi sebuah negara yang maju serta bermaruah.
Akhir sekali, saya menyeru semua pihak, terutamanya ibu bapa dan guru, untuk bersama-sama mendukung usaha ini. Setiap anak adalah amanah serta aset negara, dan menjadi tanggungjawab kita memastikan mereka mendapat peluang terbaik untuk berjaya.
Kepada para pelajar, jadikanlah pendidikan sebagai benteng utama dalam menghadapi cabaran kehidupan. Jangan sesekali biarkan pengaruh dadah merampas impian dan masa depan anda. Ingatlah, kejayaan anda adalah cerminan kekuatan sebuah bangsa.
Dadah kekal sebagai musuh nombor satu negara, dan kita tidak akan berkompromi dalam memerangi ancaman ini. Saya memberi jaminan bahawa Kementerian Dalam Negeri akan terus memperkukuh usaha ini dengan penuh dedikasi dan iltizam. Namun, kejayaan tidak akan dicapai tanpa kesungguhan, ketabahan, dan sokongan padu daripada seluruh lapisan masyarakat.
Ayuhlah, kita berganding bahu memastikan masa depan Malaysia terus bersinar dengan generasi muda yang cemerlang, berintegriti, dan bebas daripada cengkaman gejala dadah.
Saifuddin Nasution
17 November 2024

Ruangan Komen:

Loading...