Ajaran sesat dan penyalahgunaan agama sebagai alat manipulasi telah menjadi ancaman besar kepada keharmonian sosial dan pembangunan negara. Baru-baru ini, isu yang melibatkan Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) telah mencuri perhatian rakyat Malaysia, khususnya berhubung dakwaan penyebaran ajaran sesat, pemerdagangan manusia serta pelanggaran hak asasi kanak-kanak dan wanita.
Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kami memandang serius perkara ini. Siasatan menyeluruh sedang dijalankan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengetuai usaha tersebut. Beberapa individu yang terkait dengan kumpulan ini telah diheret ke mahkamah dan kini sedang dalam proses perbicaraan.
Untuk mengekang ancaman ini, kerajaan menjalinkan kerjasama erat dengan pelbagai agensi termasuk Jabatan Peguam Negara, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Pendidikan, dan Jabatan Agama Islam negeri-negeri. Fokus utama siasatan ialah untuk mengenal pasti punca, rangkaian, dan skop aktiviti kumpulan ini, baik di dalam mahupun di luar negara.
Hasrat Kerajaan, kita mahu menangkis ajaran sesat dan amalan ketaksuban ini daripada terus menular sehingga mengancam keselamatan negara. Namun, usaha ini dilaksanakan dengan penuh berhati-hati agar prinsip keadilan terpelihara, justeru melibatkan pelbagai agensi untuk memastikan ketelusan dan keseimbangan dalam proses siasatan.
Suka untuk saya ingatkan bahawa GISBH bukanlah entiti pertama yang berhadapan tindakan tegas kerajaan. Sebelum ini, gerakan seperti Pertubuhan Al-Arqam dan Rufaqa’ Corporation Sdn. Bhd. juga telah diharamkan kerana menyebarkan ajaran yang menyimpang daripada Islam.
Malah, GISBH dipercayai merupakan serpihan daripada kedua-dua kumpulan yang telah diharamkan tersebut, menggunakan modus operandi serupa iaitu berselindung di sebalik entiti perniagaan. Walhal, dalam senyap, mereka meneruskan penyebaran ajaran Aurad Muhammadiah yang telah difatwakan sesat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
Selain daripada aspek keagamaan, kebimbangan utama kerajaan adalah terhadap kebajikan wanita dan kanak-kanak. Sehingga kini, seramai 625 kanak-kanak telah berjaya diselamatkan daripada keadaan yang mencurigakan.
Seperti yang didedahkan oleh PDRM sebelum ini, siasatan mendapati ada antara mereka yang langsung tidak mengenali anak-anak sendiri, sementara sebahagian anak-anak ini pula tidak memiliki dokumen pengenalan diri. Situasi ini amat membimbangkan kerana ia membuka ruang kepada potensi eksploitasi, pengabaian hak, dan juga isu nasab pada masa hadapan.
Setelah penelitian rapi dibuat dan perbincangan terperinci dilakukan bersama pelbagai agensi, termasuk Pejabat Peguam Negara, kerajaan telah menggunakan pelbagai peruntukan undang-undang bagi memastikan keadilan ditegakkan dan perlindungan diberikan. Antara akta utama yang diaplikasikan adalah:
Akta Kanak-Kanak 2001 – Memberikan perlindungan menyeluruh kepada kanak-kanak daripada pengabaian dan penderaan.
Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 – Digunakan untuk menangani jenayah seksual dan melindungi kanak-kanak daripada sebarang bentuk eksploitasi.
Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) – Menangani elemen buruh paksa yang dikesan dalam siasatan.
Akta Anti Pengubahan Wang Haram (AMLA) – Digunakan untuk menjejaki dan menyiasat aliran kewangan yang mencurigakan.
Tidak cukup dengan itu, kita juga telah meminta kerjasama daripada badan siasatan antarabangsa memandangkan GISBH disyaki beroperasi di 18 buah negara. Oleh itu, kita telah mendapatkan bantuan melalui Mutual Legal Assistance (MLA) dengan negara-negara yang terlibat bagi memastikan tindakan tegas dapat diambil terhadap pelanggaran undang-undang yang dilakukan oleh kumpulan ini.
Menyelesaikan isu ini bukanlah perkara mudah, terutama apabila ia melibatkan elemen trauma, penderaan, dan eksploitasi terhadap kanak-kanak. Proses pemulihan memerlukan pendekatan holistik, merangkumi kepakaran dalam bidang psikologi, kebajikan sosial, dan pendidikan, bagi memastikan mereka mampu kembali menjalani kehidupan yang normal. Kerajaan juga berusaha memastikan kanak-kanak ini mendapat dokumen pengenalan yang sah serta hak mereka sentiasa terpelihara.
Seperti yang pernah dinyatakan oleh Plato, ‘The measure of a man is what he does with power.’ Atas prinsip inilah kuasa kerajaan digunakan untuk melindungi golongan yang tidak berdaya dan menegakkan keadilan, bukannya untuk menindas.
Yakinlah bahawa kerajaan tetap teguh dalam membanteras ajaran sesat serta melindungi rakyat daripada menjadi mangsa manipulasi agama oleh kumpulan atau individu yang tidak bertanggungjawab. Niat kerajaan adalah demi keselamatan negara semata-mata, dan langsung tidak bermotifkan politik. Sebaliknya, tindakan yang diambil berlandaskan komitmen untuk menegakkan undang-undang serta melindungi kepentingan masyarakat.
Saya memberi jaminan bahawa setiap siasatan dijalankan dengan teliti, menyeluruh, dan berasaskan bukti serta fakta yang sahih. Tiada ruang untuk prejudis atau ketidakadilan dalam proses ini.
Sebagai kesimpulan, saya menyeru kepada semua untuk terus memberikan kepercayaan kepada pihak berkuasa. Dengan keyakinan dan sokongan rakyat, kita mampu memastikan negara ini bebas daripada ajaran sesat yang merosakkan, seterusnya membina masyarakat yang harmoni berlandaskan nilai-nilai Islam yang sebenar.
Akhir kata, marilah kita merenung kata-kata yang diungkapkan Al-Ghazali bahawa “kebenaran mungkin lambat tiba, tetapi ia tidak akan pernah terhenti.’
Saifuddin Nasution
30 Oktober 2024
Ruangan Komen: