Keselamatan Negara, Kebajikan Rakyat Adalah Manifestasi Belanjawan 2025 - Saifuddin Nasution
November 28, 2024

Belanjawan 2025 yang telah dibentangkan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim pada 18 Oktober yang lalu bukanlah sekadar dokumen perancangan kewangan semata-mata, tetapi saya melihatnya sebagai satu manifestasi janji kerajaan kepada rakyat Malaysia.
Sebuah janji untuk memperkukuh keselamatan, menjamin kesejahteraan rakyat, dan memacu negara ke arah masa depan yang lebih gemilang. Bagi saya, keselamatan negara adalah keutamaan tertinggi kepada kejayaan ekonomi dan keharmonian sosial. Tanpanya, segala usaha untuk membangunkan negara tidak akan tercapai.
Dengan tekad dan kesungguhan yang tidak berbelah bahagi, saya komited untuk memastikan Kementerian Dalam Negeri mampu untuk menterjemahkan setiap inisiatif yang telah dirancang. Sama ada menerusi belanjawan tahunan atau strategi jangka panjang di bawah aspirasi Malaysia Madani, keselamatan negara tetap menjadi keutamaan.
Salah satu tonggak utama untuk melindungi kedaulatan negara adalah dengan senantiasa menjaga keselamatan sempadan. Dengan penerapan teknologi terkini dan sistem pengawasan moden, kita tidak hanya bersikap reaktif terhadap ancaman tetapi juga bersedia mengatasinya secara proaktif.
Ancaman keselamatan di era globalisasi seperti pemerdagangan manusia turut menjadi perhatian khusus. Justeru, agensi seperti PDRM, Jabatan Imigresen, dan Kastam sentiasa mengukuhkan kerjasama dengan rakan strategik antarabangsa untuk menangani isu ini secara berkesan.
Sebagai langkah tambahan, kerajaan juga mencadangkan pembaharuan undang-undang untuk memastikan negara kekal aman dan makmur. Dalam setiap tindakan, prinsip keadilan untuk semua tetap menjadi keutamaan.
Rakyat adalah pemegang taruh terbesar dalam memastikan keselamatan negara kekal terjamin. Oleh itu, amat penting bagi setiap badan keselamatan untuk terus aktif menganjurkan program libat urus bersama komuniti. Langkah ini bukan sahaja memperkukuh hubungan antara rakyat dan pihak berkuasa, tetapi juga meningkatkan kesedaran masyarakat tentang tanggungjawab bersama dalam menjaga keamanan.
Namun, di sebalik semua usaha ini, perkara yang paling utama adalah kebajikan dan martabat anggota keselamatan kita. Pasukan PDRM, Imigresen, dan penguatkuasa lain adalah tulang belakang kepada keselamatan negara. Tanpa dedikasi dan pengorbanan mereka, segala perancangan dan strategi hanya akan kekal sebagai dokumen.
Oleh itu, di bawah aspirasi Malaysia Madani, Kerajaan sentiasa memberi perhatian khusus kepada golongan ini. Antaranya adalah dengan meningkatkan kemudahan, ganjaran serta peluang pembangunan kerjaya untuk anggota keselamatan kita. Matlamatnya jelas, kita mahu anggota keselamatan kita bukan sahaja memiliki kemahiran tinggi tetapi juga merasa bangga menjadi sebahagian daripada sistem yang melindungi negara.
Secara keseluruhan, Belanjawan 2025 dengan tema Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera mencerminkan aspirasi besar untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih maju melalui inovasi teknologi dan sistem digital yang telus serta efisien. Dengan kecekapan pentadbiran dan penggunaan sumber yang optimum, keselamatan negara tidak lagi hanya menjadi reaksi kepada ancaman tetapi berperanan sebagai pemangkin pembangunan yang holistik.
Justeru, saya menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama mendukung visi ini. Keselamatan bukan milik eksklusif kerajaan semata-mata, tetapi tanggungjawab bersama setiap individu.
Malaysia kini berdiri di ambang kebangkitan baru dan saya percaya dengan perpaduan yang terjalin kita mampu mengukir sejarah yang akan dikenang generasi akan datang. Marilah kita jadikan Belanjawan 2025 sebagai simbol kemajuan, sebagai tanda bahawa Malaysia bukan sahaja selamat tetapi bersedia menjadi peneraju dalam arena global. Inilah masanya kita mencipta sebuah naratif baru iaitu naratif kebangkitan Malaysia sebagai sebuah negara yang dihormati dan disegani dunia. Insya-Allah.

Saifuddin Nasution
10 November 2025

Ruangan Komen:

Loading...