Langkah Tegas Kementerian Dalam Negeri Tangani Isu Counter Setting - Saifuddin Nasution
  • enquiries@saifnasution.com
January 2, 2025

Isu counter setting, yang merujuk kepada amalan tidak berintegriti di kaunter pintu masuk negara, adalah cabaran serius yang memerlukan tindakan tegas dan bersepadu.

Amalan ini bukan sahaja melibatkan unsur rasuah tetapi juga membuka ruang kepada sindiket jenayah terancang yang mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.

Sebagai peneraju utama dalam memastikan keselamatan negara, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memandang serius perkara ini dan komited untuk melaksanakan langkah-langkah menyeluruh bagi membendung gejala tidak sihat ini daripada terus berlaku.

Amalan ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana ia mencemarkan nama baik institusi penguatkuasaan negara dan merosakkan kepercayaan rakyat. Oleh itu, KDN menekankan keperluan untuk menambah baik sistem tatakelola, memperkukuh integriti dan memperhebat penguatkuasaan. Dalam ucapan saya di Dewan Rakyat pada 16 Oktober lalu, saya tegaskan bahawa KDN menggariskan tiga langkah strategik utama sebagai fokus tindakan untuk membendung isu ini.

Langkah pertama melibatkan usaha berterusan untuk membanteras sindiket yang membawa masuk pekerja asing secara haram. Ini dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta agensi penguatkuasa lain.

Alhamdulillah, sehingga Oktober tahun ini, kerjasama ini telah menghasilkan kejayaan besar apabila 47 sindiket jenayah berjaya ditumpaskan dan 1,285 tangkapan dibuat, melibatkan ahli sindiket serta pendatang asing tanpa izin (PATI).

Selain itu, pemeriksaan di pintu masuk negara diperketatkan. Pegawai imigresen kini bertugas dengan keutamaan untuk memastikan hanya mereka yang memenuhi syarat sahaja dibenarkan masuk ke negara ini. Untuk mereka yang gagal memenuhi kriteria, sebanyak 25,214 notis penolakan masuk (NTL) telah dikeluarkan sehingga September tahun ini.
Langkah ini penting untuk memastikan pintu masuk negara tidak lagi menjadi ruang bagi aktiviti penyeludupan manusia atau undang-undang lain sewenang-wenangnya dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab. Yang penting bagi KDN adalah kami komited untuk pastikan kedaulatan negara terus terpelihara daripada ancaman pihak luar.

Langkah kedua adalah dengan melakukan pemantauan yang ketat terhadap pegawai yang bertugas di kaunter Imigresen. Pelbagai pendekatan telah diperkenalkan antaranya termasuk pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) yang dilengkapi audio dan visual untuk memantau aktiviti di kaunter secara langsung.

Penyelia juga diarahkan untuk melakukan lawatan mengejut secara berkala bagi memastikan kepatuhan terhadap peraturan.

Selain itu, bagi mengurangkan risiko manipulasi, pegawai imigresen tidak dibenarkan membawa alat telekomunikasi semasa bertugas. Pemeriksaan badan turut dilakukan sebelum dan selepas waktu bertugas. Pendekatan ini bertujuan memastikan pegawai menjalankan tugas dengan penuh integriti dan bebas daripada sebarang pengaruh luar.

KDN juga menubuhkan pasukan khas yang melakukan rondaan di kawasan kaunter bagi mengesan aktiviti mencurigakan. Contohnya, pengembara yang sengaja melengahkan masa selama berjam-jam tanpa urusan sebenarnya sedang menunggu isyarat daripada sindiket untuk mengetahui kaunter mana yang mereka perlu lalui.

Melalui rondaan ini, 6,694 orang pengembara telah disekat daripada memasuki Malaysia kerana gagal memenuhi syarat seperti tiada alamat destinasi yang jelas atau tidak membawa wang yang mencukupi untuk memasuki negara ini.

Langkah ketiga dan yang terakhir adalah menerusi penggunaan teknologi terkini. Ia adalah antara langkah utama yang diambil KDN untuk menangani isu ini secara lebih holistik. Sistem saringan awal penumpang (advance passenger screening system) yang sedang dimuktamadkan akan membolehkan JIM menyaring pengembara sebelum mereka tiba di Malaysia. Melalui sistem ini, senarai penumpang dapat diakses lebih awal, membolehkan proses pengesahan dilakukan secara proaktif.

Pada masa yang sama, KDN sedang menaik taraf sistem CCTV di kaunter pemeriksaan dengan teknologi terkini bagi memastikan pemantauan lebih berkesan. Dengan penambahan fungsi audio dan visual, segala bentuk komunikasi dan tindakan di kaunter dapat direkodkan untuk tujuan pemantauan dan audit.

Yakin dan percayalah bahawa KDN tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang bentuk pelanggaran integriti. Isu counter setting bukan sahaja mencabar kredibiliti institusi penguatkuasaan, tetapi juga memberi kesan langsung terhadap keselamatan negara. Oleh itu, KDN mengambil langkah-langkah drastik untuk memastikan amalan ini dapat dihapuskan sepenuhnya.

Sebagai Menteri Dalam Negeri, saya ingin memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa kementerian ini akan terus memperkukuh integriti, mengukuhkan penguatkuasaan dan memanfaatkan teknologi untuk memastikan pengurusan imigresen berada pada tahap terbaik. Setiap langkah yang diambil dan direncanakan merupakan komitmen kami untuk membina sistem yang lebih telus, berkesan dan berdaya tahan.

Justeru, saya menyeru dan meminta semua pihak, termasuk agensi penguatkuasa dan masyarakat umum, untuk bersama-sama memainkan peranan dalam memerangi isu ini.

Kepercayaan rakyat adalah asas kepada kejayaan KDN dan kami bertekad untuk terus berusaha tanpa henti demi memastikan setiap ancaman terhadap integriti dan keselamatan negara dapat diatasi pada tahap yang maksimum.

Saya yakin dan percaya, dengan usaha berterusan, sokongan rakyat dan kolaborasi strategik antara agensi, kita mampu memastikan Malaysia terus menjadi sebuah negara yang aman, selamat dan bermaruah. Insya-Allah.

Saifuddin Nasution

30 Disember 2024

Ruangan Komen: