Alhamdulillah, terima kasih kepada moderator, penganjur dan rakan-rakan media yang hadir dalam sesi Luncheon Talk ini. Saya menghargai peluang untuk berkongsi secara terus beberapa pencapaian dan inisiatif utama Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang sedang dan telah dilaksanakan, khususnya yang memberi kesan langsung kepada rakyat serta mencerminkan keupayaan tadbir urus kementerian.
- Isu Kewarganegaraan
Pindaan Perlembagaan Persekutuan yang diluluskan pada tahun 2024 berkaitan kewarganegaraan anak yang lahir di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia merupakan satu perubahan dasar yang signifikan. Namun, pindaan ini tidak boleh dilaksanakan serta-merta tanpa persiapan pentadbiran yang rapi.
Pelaksanaannya memerlukan penggubalan Peraturan Kewarganegaraan 1964, penyediaan dalam dua versi bahasa, semakan di peringkat Peguam Negara, perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, pewartaan, serta penyelarasan dengan pejabat perwakilan Malaysia di luar negara dan sistem permohonan atas talian. Dengan semua proses ini disempurnakan, pelaksanaan dijangka bermula pada Jun tahun ini.
Dalam tempoh yang sama, KDN memberi keutamaan kepada penyelesaian permohonan lama yang tertunggak. Jumlah tunggakan berjaya dikurangkan daripada 49,000 kes pada Disember 2022 kepada sekitar 3,000 kes pada masa ini, dan KDN optimis baki ini dapat diselesaikan sepenuhnya menjelang suku kedua tahun ini.
- Reformasi Pintu Masuk Negara
Reformasi pintu masuk negara merupakan satu projek berskala besar yang melibatkan aspek operasi, keselamatan dan pengalaman pengguna. Ketika ini, sistem pelepasan imigresen bergantung kepada penyedia perkhidmatan yang berbeza, yang menimbulkan cabaran dari segi penyelarasan dan kelancaran operasi.
Berdasarkan analisis data, sekitar 75 peratus pengembara memasuki negara melalui pintu masuk utama iaitu KLIA Terminal 1, KLIA Terminal 2 serta Kompleks Sultan Abu Bakar dan Bangunan Sultan Iskandar di Johor. Oleh itu, KDN memutuskan untuk beralih kepada satu sistem tunggal bagi memastikan proses pelepasan yang lebih lancar, seragam dan selamat.
Sebagai sebahagian daripada reformasi ini, sebanyak 635 unit Autogate akan dipasang di seluruh pintu masuk negara termasuk KLIA, Kompleks Sultan Abu Bakar dan Bangunan Sultan Iskandar di Johor, Pulau Pinang, Kuching, Kota Kinabalu dan Langkawi.
Peralihan daripada sistem lama kepada sistem baharu dilaksanakan secara berperingkat melalui pendekatan ‘soft landing’. Proses percubaan atau try run sedang dijalankan secara berterusan dengan pemantauan rapi bagi mengenal pasti sebarang isu berkaitan sistem atau infrastruktur, serta tindakan mitigasi segera bagi memastikan tiada gangguan kepada operasi imigresen.
- Jenayah Penipuan Atas Talian
Jenayah penipuan atas talian menunjukkan trend peningkatan yang membimbangkan. Pada tahun 2024, kerugian direkodkan sekitar RM530 juta. Sebelum ini, terdapat kelompongan undang-undang yang membolehkan sindiket mengambil kesempatan dengan menggunakan akaun pihak ketiga.
Melalui pindaan Kanun Keseksaan di bawah subseksyen 424A hingga 424D, perbuatan membenarkan akaun digunakan sebagai akaun keldai kini diklasifikasikan sebagai kesalahan undang-undang. Pindaan ini membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil dengan lebih berkesan.
Sebagai langkah sokongan, Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) telah beroperasi 24 jam sehari sejak Julai 2024 bagi membolehkan tindakan pantas diambil untuk membekukan dan menyelamatkan dana mangsa.
- Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran
Usaha membanteras pemerdagangan orang dan penyeludupan migran merupakan antara keutamaan utama KDN kerana jenayah ini bersifat rentas sempadan, terancang dan melibatkan eksploitasi terhadap manusia. Malaysia sebelum ini berada pada kedudukan Tier 3 dalam Laporan Pemerdagangan Orang Jabatan Negara Amerika Syarikat, yang mencerminkan cabaran serius dari segi penguatkuasaan dan pematuhan kepada piawaian antarabangsa.
Melalui pendekatan yang lebih menyeluruh, KDN telah memperkukuh kerangka penguatkuasaan melibatkan siasatan, pendakwaan, sabitan serta perlindungan dan pemulihan mangsa. Hasilnya, Malaysia berjaya meningkatkan kedudukan daripada Tier 3 kepada Tier 2 selepas melalui fasa Tier 2 Watchlist. Penilaian ini mengambil kira keberkesanan penguatkuasaan undang-undang, kadar penangkapan dan sabitan, serta tahap pengurusan dan perlindungan mangsa.
Penting untuk difahami bahawa pemerdagangan orang dan penyeludupan migran merupakan dua kesalahan yang berbeza dari segi elemen dan pendekatan undang-undang. Kes penyeludupan migran tertakluk di bawah Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) dan diklasifikasikan sebagai kesalahan berat yang boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun. Pendekatan tegas ini mencerminkan komitmen negara dalam memerangi jenayah terancang serta memastikan Malaysia kekal diyakini di peringkat antarabangsa.
- Dokumen Perjalanan dan Reformasi Penjara
Dalam aspek dokumen perjalanan dan pengenalan diri, KDN sentiasa menilai keperluan untuk menambah baik ciri keselamatan selaras dengan perkembangan teknologi dan ancaman pemalsuan dokumen. Justeru, pada bulan Jun ini, pasport antarabangsa baharu akan diperkenalkan dengan ciri keselamatan yang lebih canggih bagi memastikan integriti dokumen perjalanan negara terus terpelihara.
Pasport Malaysia kini berada pada kedudukan yang tinggi, top 10, dari segi kebolehpercayaan dan kemudahan perjalanan tanpa visa. Walau bagaimanapun, penambahbaikan ini dilaksanakan bukan kerana kelemahan sedia ada, tetapi sebagai langkah proaktif bagi memastikan Malaysia sentiasa berada selangkah ke hadapan dalam aspek keselamatan dokumen.
Selain itu, MyKad baharu dengan ciri keselamatan yang dipertingkatkan juga akan diperkenalkan. Langkah ini penting bagi memperkukuh sistem pengenalan diri negara serta mengurangkan risiko penyalahgunaan identiti.
- Reformasi Jabatan Penjara dan Pendekatan Tahanan Rumah
Reformasi Jabatan Penjara merupakan antara agenda penting KDN dalam memastikan sistem keadilan jenayah negara bukan sahaja berfungsi dari sudut hukuman, tetapi juga berkesan dalam mengurangkan pengulangan jenayah serta menyokong keselamatan masyarakat secara menyeluruh.
Pada masa ini, kadar residivisme bagi banduan yang menjalani hukuman pemenjaraan adalah sekitar 12 peratus, iaitu kadar dua digit yang menunjukkan cabaran sebenar dalam memastikan bekas banduan tidak kembali melakukan kesalahan selepas dibebaskan.
Namun, KDN mendapati bahawa pendekatan pemulihan di luar institusi penjara melalui mekanisme seperti Perintah Kehadiran Wajib, Pembebasan Berlesen dan perol menunjukkan hasil yang jauh lebih memberangsangkan. Bagi setiap 800 individu yang mengikuti program pemulihan di luar penjara, hanya seorang sahaja didapati mengulangi kesalahan. Ini bersamaan dengan kadar residivisme sekitar 0.0 peratus, satu penurunan yang amat ketara berbanding kadar dua digit bagi hukuman pemenjaraan konvensional.
Perbezaan ketara ini membuktikan bahawa pendekatan pemulihan dan integrasi semula ke dalam masyarakat adalah lebih berkesan dalam jangka panjang. Justeru, reformasi penjara dilaksanakan berasaskan data dan hasil sebenar, bukan sentimen atau pertimbangan politik.
Dalam konteks ini, cadangan penggubalan undang-undang berkaitan tahanan rumah perlu difahami sebagai sebahagian daripada usaha sistemik untuk mengurangkan kesesakan penjara, khususnya melibatkan tahanan reman dan pesalah yang tidak tergolong dalam kategori kesalahan berat. Pendekatan ini bukan bertujuan untuk memberi kelebihan atau layanan istimewa kepada mana-mana pihak, sebaliknya untuk memastikan sistem keadilan berfungsi secara adil, berkadar dan berkesan.
Tahanan rumah, jika dilaksanakan, akan tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang jelas, kawalan dan pemantauan yang ketat, serta kriteria kelayakan yang ditetapkan. Pendekatan ini membolehkan penjara memberi tumpuan kepada pesalah berisiko tinggi, sementara pesalah berisiko rendah melalui proses pemulihan yang lebih sesuai dengan keperluan keselamatan dan kepentingan awam.
Secara keseluruhan, reformasi Jabatan Penjara dan penerokaan pendekatan tahanan rumah mencerminkan komitmen KDN untuk membina sistem pemulihan yang berasaskan bukti, berperikemanusiaan dan berorientasikan hasil, tanpa menjejaskan prinsip keadilan dan keselamatan negara.
Sebagai penutup, segala inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian Dalam Negeri ini berpaksikan kepada proses yang teratur, keputusan berasaskan data serta tanggungjawab institusi. Setiap pembaharuan dibuat dengan mengambil kira implikasi undang-undang, operasi dan keselamatan negara, bukan untuk kepentingan mana-mana pihak.
KDN akan terus memastikan setiap dasar dilaksanakan secara berperingkat, dipantau rapi dan ditambah baik berdasarkan hasil sebenar, demi menjamin keselamatan negara serta kesejahteraan rakyat. Terima kasih.







Ruangan Komen: