March 7, 2026

UCAPAN ALU-ALUAN

YB DATUK SERI SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL

MENTERI DALAM NEGERI

MAJLIS BERBUKA PUASA BERSAMA YAB PERDANA MENTERI

Islah MADANI: Memurni Jiwa, Membangun Ummah

Batalion Kedua Pasukan Gerakan Am (PGA), Kulim, Kedah

7 Mac 2026 (Sabtu)

17 Ramadan 1447H

 

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Pengerusi majlis,

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.

Yang Amat Berhormat Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah.

Yang Berhormat Dr. Mohamad Taufiq Johari, Menteri Belia dan Sukan.

Yang Berbahagia Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara.

Yang Berbahagia Datuk Seri Khalid Ismail, Ketua Polis Negara.

Yang Berbahagia Datuk Haji Norizan Khazali, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah.

Seterusnya para tetamu yang dihormati sekalian.

Alhamdulillah, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah rahmat dan izin-Nya kita dapat berkumpul pada petang ini bagi menjayakan Majlis Berbuka Puasa Bersama Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, yang pada hari ini dianjurkan dengan tuan rumahnya Pasukan Polis Diraja Malaysia serta diuruskan bersama oleh Jabatan Perdana Menteri dan Kementerian Dalam Negeri.

Pertama sekali saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan juga Yang Amat Berhormat Menteri Besar Kedah atas kesudian hadir bersama kita pada petang ini. Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Jawatankuasa Penganjur yang telah menyusun atur majlis ini dengan begitu baik sekali.

Bagi kami di Kementerian Dalam Negeri, tentunya kami amat bersyukur kerana dalam bulan Ramadan ini, ini merupakan antara acara besar yang turut dihadiri oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri. Yang pertama ialah pada 1 Ramadan yang lalu apabila kami menerima notis kira-kira jam 10 malam, kurang daripada 24 jam, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri hadir ke Kementerian Dalam Negeri dan meluangkan hampir tiga jam berdialog bersama warga KDN. Kami amat menghargai kesediaan tersebut.

Datuk Seri,

Pada kesempatan ini izinkan saya menyampaikan tiga perkara.

Pertama, sepanjang bulan Ramadan ini Kementerian Dalam Negeri turun ke seluruh negara di bawah tema penerapan nilai-nilai murni. Kita memberikan tugasan kepada kesemua 11 agensi di bawah KDN supaya tidak sekadar menganjurkan majlis berbuka puasa di pejabat masing-masing, tetapi turun ke lapangan bersama masyarakat.

Saya sendiri baru pulang dari Melaka. Di sana Jabatan Imigresen menjadi tuan rumah kepada program KDN turun padang. Jabatan Penjara pula melaksanakan program bersama banduan yang sedang menjalani hukuman. Mereka dibawa ke pusat latihan Kem Bina Negara dan diberikan peluang bekerja. Hasil pendapatan yang mereka peroleh daripada pekerjaan tersebut diserahkan kepada keluarga mereka sama ada isteri ataupun ibu bapa mereka. Maknanya mereka ini disabitkan kesalahan dan menjalani hukuman penjara, tetapi kita berikan ruang supaya mereka dapat bekerja dan hasil pendapatan itu disalurkan kepada keluarga mereka. AADK pula menganjurkan program sahur bersama di Bachok, Kelantan. Polis Diraja Malaysia pula melaksanakan program sahur di IPD Sepang. Jadi KDN ini memang turun merata-rata di seluruh negara.

Baik, itu yang pertama.

 

Yang kedua, Datuk Seri.

Selepas tiga tahun, saya amat jelas apakah harapan Datuk Seri kepada KDN, khususnya kepada pasukan polis. Datuk Seri sudah tidak lagi mempunyai kesabaran untuk terus bertolak ansur dalam soal penguatkuasaan undang-undang. Saya amat memahami perkara tersebut.

Datuk Seri juga telah memberikan tanggungjawab yang sangat besar kepada agensi bongsu kami iaitu Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS). Dalam melaksanakan tugas tersebut, anggota-anggota kita terdedah kepada pelbagai ancaman termasuk ancaman tembakan.

Selain itu, komponen penting dalam penguatkuasaan kita ialah GDNKA, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Unit Tindakan Khas (UTK). Nilai rampasan hasil penguatkuasaan sepanjang tahun lalu sahaja melebihi RM7 bilion. Ini merupakan satu peningkatan yang sangat luar biasa. Nilai rampasan RM7 bilion ini tidak datang bergolek begitu sahaja. Ia hasil daripada penggemblengan sumber, perancangan yang teliti serta komitmen tinggi anggota-anggota kita di lapangan.

Daripada jumlah RM7 bilion itu, di kawasan batalion utara ini sahaja, dengan kekuatan kira-kira 500 anggota PGA, nilai rampasan dari Januari hingga Disember tahun lalu serta sehingga Februari tahun ini telah melebihi RM270 juta. Ini di kem ini sahaja. Kalau kita bersungguh-sungguh menyahut hasrat Datuk Seri dan menunjukkan angka-angka seperti ini, maka tanggungjawab moral kita ialah menjaga kebajikan anggota.

Datuk Seri telah memperuntukkan RM100 juta kepada Kementerian Dalam Negeri bagi tujuan pembaikan kuarters anggota. Daripada jumlah tersebut, saya telah menarik RM780,000 untuk membaiki dua blok kuarters di sini. Peruntukan ini telah diluluskan di bawah Rolling Plan 1 sebelum Datuk Seri hadir ke sini lagi. Ini kita lakukan supaya anggota kita tidak pulang daripada operasi dalam keadaan letih tetapi terpaksa tinggal di rumah yang tidak diselenggara dengan baik.

Namun Datuk Seri, masalah yang lebih besar di kem ini ialah sistem perpaipan yang sudah terlalu uzur. Sejak kem ini dibina pada tahun 1984, sistem paipnya sudah sangat lama dan sering menyebabkan gangguan bekalan air. Di sini juga terdapat MRSM dan ramai anak-anak anggota yang belajar di kawasan ini. Jadi gangguan bekalan air ini memang sangat merimaskan.

Saya telah memaklumkan perkara ini kepada Ketua Polis Negara dan saya berani membawa perkara ini kepada Datuk Seri kerana jika kita menjanjikan komitmen untuk memenuhi harapan Perdana Menteri, maka pasukan kita juga harus menunjukkan prestasi yang lebih cemerlang sebagai balasan kepada komitmen tersebut. Anggaran kos bagi membaiki keseluruhan sistem perpaipan ini adalah sekitar RM10 juta. Selain itu terdapat juga keperluan untuk kerja-kerja pendawaian semula bagi unit-unit kuarters di kem ini yang melibatkan perbelanjaan sekitar RM8.7 juta.

Jika perkara ini dapat diselesaikan, ia akan memberikan manfaat besar kepada anggota kita kerana kem ini merupakan antara kekuatan utama kita di zon utara. Jadi secara ringkasnya Datuk Seri, kami berjanji akan terus meningkatkan penguatkuasaan dan angka rampasan RM7 bilion itu adalah bukti kepada usaha tersebut. Di kem ini sahaja rampasan telah melebihi RM270 juta dalam tempoh setahun lebih. Jika angka-angka ini masih belum cukup meyakinkan untuk Datuk Seri mempertimbangkan permohonan ini di tengah kekangan kewangan kerajaan, tetapi sekiranya ada ruang untuk diberikan keutamaan, saya berharap pertimbangan dapat diberikan kepada perkara ini terlebih dahulu.

Yang lain seperti cat dan pagar itu boleh kita bincangkan kemudian dengan Datuk Johan atau Datuk Azmi. Tetapi yang ini kalau Datuk Seri boleh sambut, maka majlis kita pada hari ini akan menjadi lebih sempurna.

 

Datuk Seri,

Saya sebut tadi. Yang pertama, ucapkan terima kasih mengalu-alukan kehadiran semua tetamu. Yang kedua, mengalu-alukan komitmen Datuk Seri kepada KDN seawal 1 Ramadan dan sekarang. Saya tahu tak mudah untuk Datuk Seri di tengah kekangan masa. Semalam pun saya sempat lagi hadir mesyuarat dengan Datuk Seri. Cerita pasal jenayah siber dan segala macam.

Buat panggilan pula kepada His Highness Mohammed bin Zayed, Perdana Menteri Qatar, Sheikh Hamad dan segala macamlah pemimpin. Bercakap pula dengan pemimpin Iran. Sedangkan Datuk Seri kena tahu, Datuk Seri ini Cuma Perdana Menteri Malaysia dengan penduduknya 32 juta sahaja. Negeri kecil. Tak boleh nak garang sangat juga.

Tapi Datuk Seri tunjukkan keberanian itu. Dalam Parlimen ketika kita kemukakan usul mengutuk serangan Israel ke atas Iran, kita mendapat dokongan penuh seluruh ahli Parlimen di negara kita. Tak ada langsung beza pendapat kalau soal pendegasan kerajaan dalam isu yang sedang bergolak sekarang.

Datuk Seri susuli pula dengan membuat panggilan kepada pemimpin-pemimpin negara Teluk termasuk pemimpin Iran sendiri. Ini bukan calang-calang untuk kita lakukan. Walaupun Malaysia hanya sebuah negara dengan jumlah penduduk sekitar 32 juta orang, Datuk Seri tetap menunjukkan keberanian dalam menyatakan pendirian negara kita di peringkat antarabangsa.

Di Parlimen baru-baru ini apabila kerajaan mengemukakan usul mengutuk serangan Israel ke atas Iran, usul tersebut mendapat sokongan penuh daripada seluruh ahli Parlimen tanpa sebarang perbezaan pendapat. Datuk Seri juga mengambil langkah susulan dengan menghubungi para pemimpin negara-negara Teluk termasuk pemimpin Iran sendiri. Ini bukan perkara kecil dan bukan sesuatu yang mudah untuk dilakukan.

Oleh sebab itu kita juga harus memainkan peranan kita sebagai rakyat Malaysia. Dalam masa yang sama KDN akan terus memperkukuhkan penguatkuasaan khususnya dalam aspek keselamatan sempadan, jenayah rentas sempadan serta aktiviti penyeludupan. Saya juga telah memaklumkan kepada Ketua Polis Negara bahawa jika momentum rampasan yang melebihi RM7 bilion sebelum ini dapat dikekalkan dan dipertingkatkan lagi, maka kita tidak boleh mengendurkan usaha tersebut.

Apabila tiba masanya nanti, jika terdapat kekurangan dari segi kebajikan anggota atau keperluan logistik, saya akan memberanikan diri untuk mengemukakan perkara tersebut kepada Perdana Menteri agar dapat dipertimbangkan.

Begitulah isi ucapan saya pada petang ini.

Sekian.

Wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Terima kasih.

Ruangan Komen:

Loading...