MAJLIS KONVOKESYEN SIJIL KEMAHIRAN MALAYSIA (SKM) JABATAN SUKARELAWAN MALAYSIA (RELA) TAHUN 2025, 5 NOVEMBER 2025 - Saifuddin Nasution
November 5, 2025

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam sejahtera dan Salam Malaysia MADANI.

Alhamdulillahi alladzi anzala ‘ala ‘abdihil kitab wa lam yaj‘al lahu ‘iwaja.
Arsalahu bil huda wa dinil haq li yuzhirahu ‘ala dini kullih, wa kafa billahi syahida.
Ashhadu an la ilaha illallah, wahdahu la syarikalah, wa ashhadu anna Muhammadan ‘abduhu wa rasuluh.

Terima kasih kepada saudara dan saudari pengacara majlis.

Saya mulakan ucapan dengan mengalu-alukan kehadiran yang berbahagia Datuk Haji Mahzan Mahyuddin, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri.
Saya juga ingin mengalu-alukan kehadiran Timbalan Ketua Pesuruhjaya RELA, yang mewakili kepimpinan tertinggi RELA buat masa ini. Belum ada pelantikan Ketua Pengarah baharu, maka kehadiran beliau hari ini amat bermakna dalam majlis bersejarah ini.

Turut saya hormati, Profesor Dr. Masrulizam bin Mohd Ibrahim, Dekan Sekolah Pengajian Siswazah, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Terima kasih, Prof, atas dokongan dan sokongan kuat pihak universiti yang membolehkan majlis gilang-gemilang ini dapat kita sempurnakan.

Saya juga merakamkan penghargaan kepada Tuan Haji Umar bin Madawi, Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia,
serta semua ketua jabatan, pegawai kanan, dan hadirin yang kita raikan hari ini — terutama para graduan Sijil Kemahiran Malaysia Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Tahun 2025.

Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua.

Penghargaan Kepada Kepimpinan RELA dan Rakan Strategik

Ucapan saya pada petang ini ringkas, tetapi padat dengan makna.
Saya tahu kita sudah bersama sejak jam satu tengah hari, dan sekarang sudah hampir jam empat.
Maka saya cuba sampaikan secara singkat, namun tertib.

Pertama sekali, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh kepimpinan RELA di semua peringkat. Kepimpinan seperti Datuk Lokman, mantan Ketua Pesuruhjaya RELA, dan juga Datuk Yahya, serta kepimpinan kini — tanpa pandangan jauh dan semangat mereka, mustahil program seperti ini dapat dilaksanakan.

Kerajaan boleh menggubal dasar dan memperkukuh kedudukan TVET (Technical and Vocational Education and Training) di negara ini, tetapi tanpa komitmen agensi pelaksana, kejayaan tidak akan tercapai. Hari ini, berkat kepimpinan dan dedikasi RELA, para anggotanya bukan sahaja berkhidmat dengan cemerlang, tetapi juga bergraduan dengan sijil kemahiran profesional yang diiktiraf negara. Tahniah dan syabas kepada semua!

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).
Di sinilah terhimpunnya tenaga pakar yang membangunkan silibus khusus untuk RELA — bersesuaian dengan keperluan agensi dan realiti lapangan. Hasilnya, anggota kita bukan hanya memahami teori, tetapi juga terlatih dalam kemahiran sebenar.
Graduasi bukan penamat, tetapi permulaan perjalanan panjang untuk menimba ilmu dan menambah nilai diri.

Penghargaan Kepada Keluarga Graduan

Kepada kaum keluarga para graduan, saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih. Sokongan moral dan pengorbanan saudara-saudari sekalian telah membolehkan para anggota RELA menumpukan sepenuhnya kepada modul latihan kemahiran ini. Majlis hari ini bukan sahaja penghargaan untuk para graduan, tetapi juga untuk keluarga yang sentiasa menjadi tulang belakang kejayaan mereka.

Amanat Kepada Para Graduan

Manusia dijadikan oleh Allah SWT dengan tiga komponen utama — akal, jasad, dan roh.

1. Akal, jika dididik dan diasuh, menjadikan manusia bijak dan pintar.
2. Jasad, jika dilatih dan digilap, menjadikan manusia mahir dan cekap.
3. Roh, jika dibimbing dan disucikan, melahirkan manusia yang memiliki kebijaksanaan dan hikmah.

Hari ini, para graduan RELA membuktikan bahawa gabungan ketiga-tiganya menghasilkan insan yang seimbang — berilmu, berketerampilan dan berakhlak.

Saya sempat bertanya semasa menyampaikan sijil tadi — warna biru, ungu, hijau, dan kuning pada jubah para graduan melambangkan pelbagai bidang kemahiran,
termasuk latihan keselamatan, pengurusan pejabat, kawalan senjata, dan pengurusan syarikat keselamatan.

Semua ini membuktikan bahawa kemahiran yang diperoleh bukan sekadar teknikal, tetapi bernilai tinggi untuk negara.

Peranan RELA Dalam Industri Keselamatan

Hari ini kita juga berbangga kerana industri keselamatan negara berkembang pesat.
Terima kasih saya ucapkan kepada Dato’ Ubai, Presiden Persatuan Industri Keselamatan Malaysia (PIKM), yang turut hadir.

Industri keselamatan kini bernilai sekitar RM12 bilion setahun, dengan lebih 1,200 syarikat keselamatan berdaftar di seluruh negara.

Peranan RELA amat signifikan dalam ekosistem ini, terutama dalam menjaga kawasan larangan, lokasi strategik, dan aset penting negara. Maka sijil kemahiran kawalan keselamatan yang dimiliki para graduan ini memberikan nilai tambah yang sangat besar kepada RELA sebagai agensi dan kepada individu yang berkhidmat di dalamnya.

Komitmen KDN Menyokong RELA dan Program TVET

Sebagai Menteri Dalam Negeri, saya ingin menegaskan semula komitmen penuh KDN untuk terus memberi dokongan kepada RELA agar program seperti ini dapat diteruskan dan diperluas kepada lebih ramai anggota.

Di peringkat nasional, Jawatankuasa Kabinet TVET dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi,
yang sentiasa menekankan agar peluang latihan kemahiran diperluaskan dan dijayakan di semua peringkat.

Saya berharap agar RELA terus menyemarakkan program TVET, bukan sekadar di peringkat anggota tahun pertama, tetapi juga di peringkat pegawai kanan dan pengurusan.
Saya yakin di bawah bimbingan Prof. Dr. Masrulizam dan pasukan UTeM,
latihan akan diteruskan dengan semangat tidak jemu-jemu untuk memperkasakan seluruh keluarga besar RELA.

Penutup

Saya berjanji untuk berucap ringkas, dan walaupun baru enam minit, saya telah menyentuh pelbagai perkara penting. Namun semuanya berpaksikan satu tujuan — bahawa kita semua, sama ada di atas pentas mahupun di bawah, mahu menjadi insan yang terbaik, yang menyumbang secara bermakna kepada negara tercinta ini.

Semoga segala usaha kita diberkati Allah SWT, dan semoga negara ini terus kekal aman, sejahtera, serta dirahmati-Nya.

Sekian, terima kasih. Wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Ruangan Komen:

Loading...