February 3, 2026

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillahil-ladzi hadana lihadza, wa ma kunna linahtadiya lawla an hadanallahu.

Asyhadu an la ilaha illallah wahdahu la syarikalah, wa asyhadu anna Muhammadan ‘abduhu wa rasuluh.

Yang Berbahagia Pengerusi Majlis,

Yang Berbahagia Datuk Awang Alik Jeman,

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri,

Yang Berbahagia Komisioner Polis Datuk Seri Muhammad Sohaili Md Zin,

Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia,

Yang Berbahagia Timbalan-Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri,

Yang Berbahagia Datuk Halim, Datuk Mazan dan Tuan Fakhrul Razi,

Rakan-rakan pengurusan tertinggi kementerian, serta seluruh warga besar Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia yang saya hormati sekalian.

Alhamdulillah, saya memanjatkan setinggi tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana pada hari ini kita dapat menghimpunkan keluarga besar AKPS dalam satu sesi libat urus dan amanat yang amat bermakna. Ini merupakan satu agensi yang masih muda usianya, namun besar amanahnya, dan tinggi harapan yang diletakkan ke atas bahu seluruh warganya.

Sesungguhnya, saya mengikuti secara dekat penubuhan AKPS ini sejak dari awal. Apabila saya melangkah masuk ke Kementerian Dalam Negeri pada 5 Disember 2022, antara taklimat terawal yang saya terima adalah berkaitan keperluan Malaysia mempunyai sebuah agensi tunggal yang bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kawalan sempadan negara. Kajian ini dipimpin oleh satu pasukan yang diketuai oleh Tan Sri Borhan, dan daripada situlah bermulanya langkah penting ke arah penubuhan AKPS.

Hasil kajian tersebut telah dibawa ke peringkat Jemaah Menteri, dan seterusnya diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dalam ucapan Belanjawan di Parlimen bahawa Malaysia akan menubuhkan sebuah agensi kawalan sempadan tunggal, sepertimana yang telah lama dilaksanakan di negara-negara lain seperti Singapura melalui ICA, Australia melalui Australian Border Force, dan Amerika Syarikat melalui US Border Control.

Dalam tempoh yang singkat selepas pengumuman tersebut, Kementerian Dalam Negeri mengangkat kertas ke Jemaah Menteri, menggubal rang undang-undang yang diperlukan, dan daripada keadaan “tiada”, maka lahirlah AKPS. Penubuhan ini bukan sekadar menambah satu lagi agensi, tetapi merombak keseluruhan falsafah kawalan sempadan negara.

Empat prinsip utama telah digariskan sejak awal. Pertama, menyelaraskan fungsi kawalan sempadan yang sebelum ini dilaksanakan oleh pelbagai agensi di bawah satu arahan tunggal. Kedua, memastikan kelancaran pergerakan manusia dan barangan di pintu masuk negara secara lebih cekap dan sistematik. Ketiga, memperkukuh keselamatan negara melalui kawalan sempadan yang lebih berintegriti. Keempat, menangani isu-isu kebocoran, ketirisan dan salah guna kuasa secara lebih berkesan.

Saudara-saudari yang saya hormati,

AKPS kini berusia lebih sedikit setahun. Jika diumpamakan, ia masih di peringkat bertatih. Namun dalam tempoh yang singkat ini, AKPS telah menunjukkan pencapaian yang membanggakan. Agensi ini turut menerima perhatian dan kepercayaan yang sangat tinggi daripada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri sendiri, termasuk dalam aspek pelantikan kepimpinan tertinggi dan pemantauan hala tuju strategiknya.

Namun kita tidak boleh terus terperangkap dengan nostalgia penubuhan. Tahun kedua dan seterusnya menuntut kita untuk bergerak lebih pantas, lebih matang dan lebih berani memenuhi harapan yang diletakkan. Masih terdapat cabaran yang perlu ditangani, termasuk isu perjawatan, pembangunan sumber manusia dan pemantapan struktur operasi. Hal-hal ini sedang diberi perhatian secara berterusan oleh pihak kementerian bersama Jabatan Perkhidmatan Awam.

Dalam masa yang sama, AKPS mempunyai kelebihan besar kerana ia dibina dalam era moden. Ini memberikan ruang yang luas untuk mempelajari dan menyesuaikan amalan terbaik daripada negara-negara lain, sama ada dari segi perundangan, teknologi, latihan, pengurusan sumber manusia mahupun penguatkuasaan. Namun semua ini mesti disesuaikan dengan realiti dan keperluan tempatan agar ia benar – benar berkesan.

Saudara-saudari sekalian,

Satu perkara yang ingin saya tekankan dengan jelas ialah soal integriti. Sejak kebelakangan ini, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah berulang kali mengingatkan semua agensi penguatkuasaan agar meningkatkan tahap integriti, mengawal ketirisan dan menutup ruang pembaziran. Peringatan ini bukan tanpa asas.

Hasilnya jelas. Dalam tempoh setahun lalu, negara berjaya menyelamatkan ketirisan bernilai RM15.5 bilion hasil daripada penguatkuasaan yang lebih tegas oleh pelbagai agensi. Ini dicapai tanpa memperkenalkan cukai baharu, sebaliknya melalui peningkatan kecekapan, pelaksanaan subsidi bersasar dan penguatkuasaan yang berintegriti.

Dalam konteks ini, AKPS mempunyai peranan yang sangat strategik kerana ia menggabungkan elemen keselamatan sempadan dan kutipan hasil negara. Justeru, kepercayaan yang diberikan kepada AKPS mesti dibalas dengan tahap profesionalisme dan integriti yang tertinggi.

Saya ingin merakamkan penghargaan kepada seluruh warga AKPS atas pencapaian tahun pertama agensi ini, termasuk nilai rampasan berjumlah RM82.1 juta. Angka ini bukan kecil bagi sebuah agensi yang masih di peringkat awal, dan ia membuktikan potensi besar yang ada sekiranya momentum ini diteruskan dan diperkukuhkan.

Sudah tentu, masih ada ruang untuk penambahbaikan, termasuk dari segi perundangan, pengoperasian dan penggunaan teknologi. Undang-undang bukan sesuatu yang statik. Ia perlu dinilai dan dipinda dari semasa ke semasa agar selari dengan keperluan semasa, termasuk dalam konteks pelaksanaan fungsi AKPS di Sabah dan Sarawak melalui perundingan yang berterusan dengan kerajaan negeri.

Saudara-saudari yang saya muliakan,

Tugas menjaga sempadan negara bukan tugas yang mudah. Ia mendedahkan anggota kepada pelbagai bentuk cabaran, ancaman dan ugutan daripada elemen jenayah dan sindiket. Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan anggota yang bertugas. Kementerian Dalam Negeri akan menggembleng seluruh keupayaan bagi memastikan anggota AKPS dilindungi dan diberi sokongan sewajarnya dalam melaksanakan amanah ini.

Kita adalah sebuah negara yang berdaulat, berteraskan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang. Tanggungjawab menjaga keselamatan dan ketenteraman awam adalah amanah besar yang mesti dilaksanakan dengan penuh integriti dan keberanian.

Sebagai penutup, saya ingin mengulangi keyakinan saya bahawa AKPS mempunyai masa depan yang cerah. Dengan kepimpinan yang jelas, sokongan kementerian, kepercayaan kerajaan dan komitmen seluruh warganya, saya yakin AKPS mampu berkembang menjadi sebuah agensi kawalan sempadan yang disegani, berintegriti dan berkesan.

Marilah kita terus bekerja sebagai satu pasukan, saling menyokong dan memperkukuh antara satu sama lain demi keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

Sekian, wabillahi taufik wal hidayah.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Ruangan Komen:

Loading...