MAJLIS PELUNCURAN KAMPUNG ANGKAT DAN SEKOLAH ANGKAT MADANI AGENSI ANTI DADAH KEBANGSAAN (AADK), 13 SEPTEMBER 2025 – KAMPUNG KELUANG, BESUT, TERENGGANU - Saifuddin Nasution
September 13, 2025
Alhamdulillahi alladzi hadana li hadza wa makunna linahtadiya laula an hadana Allah. Ashhadu an la ilaha illallah wahdahu la syarikalah, wa ashhadu anna Muhammadan abduhu wa rasuluh.

Terima kasih, saudara Pengerusi Majlis.

Saya mulakan kata aluan ini dengan meraihkan kehadiran yang saya kasihi, Saudara Fakhrul Razi, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri—yang kebetulan juga merupakan anak jati di sini, orang Besut.

Turut saya raikan, Yang Berusaha Dato’ Roslin, Ketua Pengarah AADK, yang menjadi teraju utama program Kampung MADANI dan Sekolah MADANI ini. Seperti biasa, lokasi program ini dipilih di kampung halaman sendiri—memang syaratnya begitu, “charity begins at home”. Jadi, Dato’ Roslin memilih Kampung Keluang. Pertama sekali, beliau bawa saya menziarahi masjid di sini.

Lawatan dan Penghargaan kepada Agensi

Ini sama seperti yang dilakukan oleh Dato’ Zakaria, Ketua Pengarah Imigresen minggu lalu di Baling—di mana semuanya bermula.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada wakil Pejabat Daerah, Tok Penghulu, dan ketua-ketua agensi KDN yang hadir hari ini. Turut saya raikan:

  • Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Dato’ Zakaria—kalau di kementerian, kita panggil Dato’ Zak; di kampung, dipanggil Pak Yah.
  • Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Encik Badrul Hisham—orang Terengganu juga.
  • Timbalan-timbalan Pengarah AADK.
  • Wakil APMM.
  • Tan Sri Mazlan, Pengerusi PBLT, yang sentiasa menyokong usaha kami.
  • Saudara Johan dari Yayasan Foodbank Malaysia.
  • Wakil FOMEMA—ramai tertanya apa kaitan FOMEMA dengan KDN. Sebenarnya, FOMEMA memainkan peranan penting dalam proses saringan kesihatan pekerja asing sebelum mereka masuk ke negara ini.

 

Asal-Usul Idea Kampung MADANI

Alhamdulillah, saya ingin berkongsi bagaimana terbitnya idea Kampung MADANI.

Segalanya bermula apabila Dato’ Seri Anwar Ibrahim pulang ke kampung halamannya di Machang Bubuk, Pematang Pauh, sejurus mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri. Di situ, beliau bertemu dengan pemimpin masyarakat, masjid, dan sekolah. Mereka meluahkan pelbagai isu. Beliau kemudian menyimpulkan bahawa sebagai Perdana Menteri, beliau harus menggunakan kuasa dan kedudukan yang ada untuk melakukan sesuatu yang bermakna, bermula dari kampung sendiri.

Beliau mencadangkan kepada Jemaah Menteri: setiap kementerian dan ketua agensi memilih satu kampung masing-masing, dan diperuntukkan RM1 juta secara langsung—tanpa birokrasi, tanpa sangkut di mana-mana peringkat—dengan syarat pelaksanaan cepat dan kesannya segera dirasai rakyat.

Pelaksanaan oleh KDN

Di KDN, kami mempunyai 11 agensi, maka 11 kampung dipilih. Ketua-ketua agensi bebas memilih kampung masing-masing:

  • KSU pilih kampung di Sabah.
  • Ketua Pengarah RELA pilih Kuala Berang.
  • Dato’ Zakaria pilih Baling.
  • Dato’ Roslin pilih Kampung Keluang.

Dana RM1 juta itu boleh digunakan mengikut keperluan komuniti—contohnya, membaik pulih gelanggang futsal ini yang sebelum ini tidak kondusif dan pernah menjadi tempat gejala sosial. Kini, ia diperbaharui dengan pencahayaan yang baik, menjadi tempat untuk belia dan masyarakat.

Peranan Rakan Strategik

Kami juga mendapat bantuan daripada rakan strategik:

  • PBLT, syarikat menteri kewangan diperbadankan, yang turut terlibat dalam projek pembinaan IPK dan kemudahan KDN.
  • Yayasan Foodbank Malaysia—mereka kumpulkan lebihan makanan dari pasar raya dan sumbangan tunai. Barang disusun jadi bakul makanan, dan diagihkan dalam program seperti ini.

Saya bangga kerana Yayasan Foodbank ini bermula pada 1 Mei 2017, semasa saya masih Menteri. Hari ini ia diteruskan oleh Johan dan rakan-rakan.

Masalah Penagihan Dadah

Dato’ Roslin juga menyebut tentang penagihan dadah. Saya maklumkan kepada Pengerusi Masjid, Tuan Haji Ridwan, agar kita semua beri perhatian serius.

Kami kumpulkan data dari empat sumber:

  1. Kementerian Kesihatan
  2. AADK
  3. Bahagian Narkotik Bukit Aman
  4. Pusat Pemulihan Swasta

Berdasarkan nisbah 100,000 penduduk (seperti yang diguna pakai oleh PBB), daerah paling tinggi kadar penagihan ialah:

  1. Pendang
  2. Kuala Krai
  3. Bachok
  4. Pasir Mas
  5. Besut

Kerajaan telah memperuntukkan hampir RM500 juta setahun kepada AADK. Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk pembinaan pusat pemulihan dan pindaan undang-undang yang membolehkan penagih sukarela tidak direkodkan sebagai pesalah.

Namun begitu, peranan kita sebagai pemimpin masyarakat tetap penting. Jangan hanya harap agensi kerajaan—imam, wakil rakyat, ahli masyarakat juga perlu terlibat. Kita boleh mula dengan program komuniti masjid, walau sekadar kacau bubur Asyura, asalkan mendekatkan anak muda.

Sumbangan dan Doa

Saya juga singgah di kaunter AADK sebentar tadi—lebih 200 klien hadir. Saya bangga kerana mereka datang sendiri, menunjukkan mereka ingin berubah. Kalau mereka lihat kita cakna, mereka akan rasa dihargai dan terdorong untuk pulih.

Pengalaman ASEAN Ministerial Meeting

Semalam saya baru tamat menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN berkenaan jenayah rentas sempadan—melibatkan Thailand, Kemboja, Vietnam, Laos, Filipina, Indonesia, Timor-Leste, Singapura, Korea, Jepun dan China.

Selama 3 hari, dari 8.30 pagi hingga 5.00 petang setiap hari, kami membincangkan keperluan perkongsian maklumat risikan, operasi bersama, latihan, dan pembangunan kapasiti. Hari ini, saya terus turun padang—dari sidang antarabangsa ke kampung halaman rakyat.

Saya berterima kasih kepada semua yang menjayakan majlis ini. Tahniah atas kerjasama erat semua pihak.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan gembira dan penuh rasa syukur, merasmikan:

Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI di bawah kendalian Ketua Pengarah AADK, Dato’ Roslin.

Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Ruangan Komen:

Loading...