MAJLIS PELUNCURAN KOMUNITI KOREKTIF KAMPUNG ANGKAT MADANI KAMPUNG SUNGAI NIPAH, BAGAN DATUK, PERAK 19 SEPTEMBER 2025 - Saifuddin Nasution
September 19, 2025

Yang Berhormat Datuk Haji Shamshul Anuar Nasarah, Timbalan Menteri Dalam Negeri,
Yang Berusaha Datuk Hj. Nordin, Ketua Pengarah Penjara Malaysia,
Seluruh pimpinan komuniti, agensi-agensi kerajaan, warga Kampung Sungai Nipah, hadirin yang saya hormati sekalian.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam Malaysia Madani.

Alhamdulillah, pada pagi yang mulia ini kita berhimpun dalam satu program yang cukup bermakna, bukan sahaja kerana pelancarannya, tetapi juga kerana semangat yang dibawa bersamanya. Program Komuniti Korektif Kampung Angkat Madani ini bukan sekadar satu inisiatif pentadbiran, tetapi mencerminkan komitmen sebenar kerajaan untuk menyemai semula nilai-nilai murni dalam masyarakat kita.

Program ini dirangka atas semangat bahawa pembangunan sesebuah negara bukan sahaja bergantung kepada kemajuan fizikal, tetapi lebih penting ialah kemajuan insaniah. Ia memberi tumpuan kepada nilai kasih sayang, hormat-menghormati, tolak ansur dan kerjasama dalam kalangan rakyat, selari dengan gagasan Malaysia Madani yang dipelopori oleh YAB Perdana Menteri.

Struktur pelaksanaan program ini melibatkan tiga komponen penting: komuniti setempat, “prospek” iaitu penghuni penjara yang diberi peluang kedua, serta badan-badan bukan kerajaan dan agensi berkaitan. Tiga komponen ini saling bergandingan, membentuk sebuah struktur sosial yang kukuh dan harmoni, ibarat binaan “bunyanun marsus” yang disebut dalam al-Quran, yakni binaan yang tersusun rapi dan saling memperkukuh.

Pemilihan Kampung Sungai Nipah sebagai lokasi pelancaran adalah amat signifikan. Kita memulakan hari dengan solat Subuh berjemaah, tazkirah dan sarapan pagi bersama penduduk kampung. Ini bukan sekadar simbolik, tetapi cerminan kepada integrasi nilai-nilai keagamaan dan sosial dalam program pembangunan komuniti.

Saya ingin mengumumkan bahawa kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta bagi pelaksanaan pelbagai projek di kampung ini. Antara projek yang telah dan akan dilaksanakan termasuklah pembinaan gelanggang serbaguna di sekolah, pemberian sumbangan kepada sekolah tahfiz dan pondok pengajian, pemasangan 24 unit lampu solar di seluruh kampung bagi tujuan keselamatan, baik pulih longkang dan sistem saliran bagi mencegah banjir, serta penubuhan ruang latihan kemahiran TVET khusus untuk prospek dan belia tempatan.

Latihan kemahiran ini merangkumi bidang-bidang seperti kimpalan, pastri, penyelenggaraan pendingin hawa, dan enjin bot. Tadi semasa saya berdialog dengan penduduk, mereka juga memohon agar tandas masjid dibaik pulih. Permintaan itu saya sahut, dan saya akan pastikan peruntukan disalurkan secepat mungkin.

Kita menyaksikan keberkesanan luar biasa program pemulihan prospek ini. Berdasarkan data, tanpa program intervensi, 13 daripada 100 bekas penghuni penjara berisiko mengulangi kesalahan. Namun melalui pendekatan komuniti korektif ini, hanya 1 daripada 800 yang mengulangi kesalahan. Ini membuktikan bahawa apabila diberikan peluang, prospek mampu berubah dan kembali menyumbang kepada masyarakat.

Malah ada antara mereka yang kini bekerja di kilang pemasangan badan motosikal, menyara keluarga, dan lebih membanggakan, ada yang berjaya menghafaz 30 juzuk al-Quran di dalam penjara. Inilah transformasi sebenar yang kita mahu lihat – bukan sekadar bebas dari penjara, tetapi juga bebas dari kegelapan masa lalu.

Saya juga telah mengarahkan semua Ketua Agensi di bawah KDN untuk melaksanakan program seumpama ini di kawasan masing-masing, jika boleh di kampung halaman mereka sendiri. Saya tegaskan, gunakan peruntukan bukan untuk mempercantik pagar pejabat, tetapi untuk menyantuni rakyat.

Hampir semua agensi telah dan sedang melaksanakan program ini, dan Jabatan Pendaftaran Negara akan menjadi agensi terakhir yang akan melancarkannya di negeri Terengganu tidak lama lagi. Ini menunjukkan bahawa seluruh jentera KDN bergerak seiring dengan hasrat Perdana Menteri untuk memastikan keselamatan dan kebajikan rakyat berjalan seiring.

Satu lagi pengumuman penting adalah berkaitan dengan penggunaan subsidi petrol. Mulai hujung Oktober atau awal November ini, semua rakyat Malaysia yang ingin mendapatkan petrol bersubsidi pada kadar RM1.99 seliter wajib menggunakan MyKad. Ini bertujuan untuk menyekat ketirisan subsidi kepada warga asing, dan seterusnya menjimatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak berbilion Ringgit.

Penjimatan ini tidak akan disia-siakan. Ia akan disalurkan semula kepada rakyat dalam bentuk bantuan kepada sekolah agama, pondok pengajian, warga emas, petani, nelayan dan pekebun kecil. Inilah semangat sebenar Madani – setiap sen peruntukan mesti turun kepada rakyat.

Akhir kata, saya ingin merakamkan penghargaan dan tahniah kepada semua yang terlibat – Jabatan Penjara Malaysia, Ketua Pengarah, pegawai-pegawai, agensi-agensi KDN, kepimpinan tempatan, serta seluruh warga Kampung Sungai Nipah.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Program Komuniti Korektif Kampung Angkat Madani bagi tahun 2025.

Wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Ruangan Komen:

Loading...