Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Segala puji bagi Allah yang berfirman: “Dan sekiranya penduduk sesebuah kampung itu beriman dan bertakwa kepada-Ku, nescaya Aku limpahkan keberkatan dari pintu langit dan bumi.” Sadaqallahul‘azim.
Yang saya hormati Pengerusi Majlis, terima kasih. Izinkan saya memulakan dengan mengalu-alukan kehadiran kedua-dua Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Mahzan Mahyudin — terima kasih Datuk kerana bersama kita hari ini.
Saya turut mengalu-alukan saudara-saudara daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM). Tuan rumah kita hari ini, Datuk Zulfiqar, Pengarah JPPM, yang memilih Kampung Sindang sebagai lokasi penganjuran Program Kampung Angkat Madani bagi tahun ini.
Di meja utama, saya juga ingin memperkenalkan Datuk Roslan Yusof, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK). Beliau mengetuai usaha memulihkan klien terlibat penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang, dengan peruntukan hampir RM500 juta bagi memastikan mereka kembali ke pangkuan masyarakat.
Seterusnya, Datuk Abdul Aziz, orang Perak, Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia. Beliau bertanggungjawab menguruskan 41 buah penjara di seluruh negara dengan populasi sekitar 87,000 penghuni, termasuk 29,000 tahanan reman.
Saya juga mengalu-alukan Datuk Rosli Abdullah, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM). APMM menjaga keselamatan perairan negara yang luasnya hampir 600,000 kilometer persegi, meliputi pencerobohan nelayan asing, penyeludupan dadah, senjata dan pendatang tanpa izin.
Saya juga mengalu-alukan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Zainal, yang baru beberapa bulan ditugaskan semula ke negeri ini. Sebelum kembali ke Sarawak, beliau mengetuai siasatan kes Zara di Sabah yang membawa kepada arahan Peguam Negara untuk mengadakan prosiding inkues. Kita semua ingin mencari kebenaran dan keadilan, dan keduanya hanya boleh dicapai melalui proses undang-undang — bukan melalui TikTok atau Facebook.
Seterusnya, pegawai dan rakan-rakan daripada RELA turut hadir. Ketua Pengarah RELA sebelum ini melaksanakan Program Kampung Madani di sekolah lamanya di Hulu Terengganu. Kini beliau berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan) Imigresen, bertanggungjawab menjalankan operasi terhadap pendatang asing tanpa izin.
Hadirin yang dihormati,
Tujuan saya memperkenalkan pegawai dan agensi ini ialah kerana inilah tujuan sebenar Program Kampung Angkat Madani: untuk memperkenalkan kepada penduduk kampung apakah tugas hakiki Kementerian Dalam Negeri dan bagaimana setiap agensi menyumbang kepada masyarakat.
Hari ini, JPN menyediakan khidmat penggantian kad pengenalan — rosak atau hilang — secara langsung kepada penduduk. Di Sarawak, JPN bekerjasama rapat dengan kerajaan negeri untuk membantu penduduk tanpa dokumen rasmi, sehingga Premier Sarawak sendiri menawarkan bot, pacuan empat roda, komputer malah helikopter jika diperlukan.
Program AHRIS JPPM juga menjadi antara kebanggaan kami.
Tadi kita melaksanakan aktiviti simbolik mengecat pagar masjid, ziarah asnaf, menziarahi orang sakit dan melihat projek-projek pembangunan yang berjaya disiapkan. Saya juga berkesempatan bertemu dua murid sekolah ini — Haris dan Haziq — yang memenangi pertandingan inovasi antarabangsa di Beijing dan Vietnam. Pada usia Tahun 5 dan Tahun 6, mereka sudah mempunyai pandangan jauh ke hadapan.
Guru besar sekolah ini memikul amanah mendidik 1,700 pelajar dengan peranan sebagai murabbi, mu’allim dan mu’addib. Generasi yang baik lahir daripada asas didikan yang baik.
Program hari ini memberikan dua perkara utama kepada penduduk Kampung Sindang: pertama, memahami tugas dan perkhidmatan agensi KDN; kedua, membolehkan pihak KDN mengenali kampung ini, kelebihannya dan keperluannya.
Seterusnya, saya ingin menyentuh mengenai peranan JPPM. Segala persatuan — sukan, kebajikan, kebudayaan, rumah ibadat, malah parti politik — semuanya perlu berdaftar di bawah Akta Pertubuhan 1966. Hari ini, Datuk Zulfiqar menguruskan lebih 200,000 pertubuhan. Ada yang aktif, ada yang tidak.
Antara persatuan paling berkesan ialah persatuan pengurusan kematian: kepimpinan jelas, struktur jelas, komunikasi efektif dan setiap tugasan dilaksanakan sempurna. Ini contoh organisasi masyarakat yang berfungsi cemerlang.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Saya ingin merakamkan penghargaan kepada pihak sekolah kerana mengizinkan perkarangan sekolah digunakan untuk program hari ini. Terima kasih juga kepada ketua kampung, PERKIM, pasukan polis dan seluruh warga JPPM yang bekerja keras menjayakan penganjuran program ini.
Tahun ini, 11 agensi KDN telah melaksanakan Program Kampung Madani di seluruh negara. Perdana Menteri memperuntukkan RM1 juta kepada setiap Ketua Pengarah untuk melaksanakan projek pembangunan seperti membaiki masjid, mengecat dewan orang ramai, menaik taraf kompleks sukan dan sebagainya. Semua projek ini dilaksanakan bersama JPS, JKR dan ICU, dan Perdana Menteri telah bersetuju untuk meneruskan peruntukan ini pada tahun hadapan.
Saya bersyukur kerana sebagai Menteri Dalam Negeri, saya didukung barisan pegawai berdisiplin dan berdedikasi sehingga program seperti ini dapat dijalankan dengan baik.
Sekali lagi, terima kasih kepada semua. Jika ada permintaan tambahan yang kecil-kecilan, insya-Allah saya akan bantu melalui bahagian pembangunan.
Semoga Allah memberkati majlis kita.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Nama Program: MAJLIS PENYERAHAN PROJEK PROGRAM KAMPUNG ANGKAT MADANI JPPM 2025
Tarikh: 29 NOVEMBER 2025
Tempat: SK DATO MOHD MUSA, KOTA SAMARAHAN, SARAWAK.







Ruangan Komen: