Ampun Tuanku,
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang,
Tuanku Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah;
Tuanku Ampuan Pahang,
Tengku Ampuan Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah;
Tengku Mahkota Pahang,
Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah,
Sembah takzim dan junjung kasih patik merafak sembah atas limpah perkenan Kebawah Duli Tuanku berangkat mencemar duli ke Majlis Penutupan Jelajah Pahang Teguh Dadah Terkawal sempena Peringatan Hari Antidadah Peringkat Negeri Pahang Tahun 2025 ini.
Ampun Tuanku,
Keberangkatan Tuanku pada pagi ini merupakan azimat semangat kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha membanteras gejala dadah. Ia menjadi lambang dokongan padu institusi diraja terhadap usaha memerangi dadah, yang merupakan antara ancaman terbesar kepada keselamatan dan kesejahteraan negara.
Patik juga menjunjung kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang yang hadir dan sentiasa menunjukkan komitmen yang tinggi dalam menjayakan keputusan-keputusan Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah Peringkat Negeri.
Ampun Tuanku,
Gejala dadah adalah musuh nombor satu negara. Ia merosakkan akal, mengheret manusia ke arah kebinasaan, dan menghancurkan institusi keluarga serta masyarakat. Penularannya pula tidak mengenal umur, kaum mahupun latar belakang.
Statistik terkini (sehingga Jun tahun ini) menunjukkan terdapat 134,966 individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah di seluruh negara. Di Pahang sahaja, seramai 9,452 orang telah dikenal pasti terlibat, menjadikan kadarnya sebanyak 567 penagih bagi setiap 100,000 penduduk, satu kadar yang membimbangkan mengikut piawaian antarabangsa. Bagi rawatan dan pemulihan pula, sebanyak 53,008 klien sedang mengikuti program rawatan di 28 pusat pemulihan narkotik serta 108 pejabat AADK daerah. Selain itu, 1,917 klien menerima rawatan di 47 pusat pemulihan persendirian.
Ampun Tuanku,
Faktor demografi yang paling terdedah adalah golongan muda, berumur antara 15 hingga 35 tahun. Mereka merupakan tenaga produktif negara, tetapi jika terjebak dengan dadah, maka masa depan negara juga akan terancam. Jenis dadah yang paling banyak disalahgunakan pada masa ini adalah dadah sintetik seperti methamphetamine dan ketamin, yang memberi kesan jauh lebih parah daripada dadah tradisional. Kami juga amat prihatin dengan situasi di kawasan Felda. Ketiadaan aktiviti sosial, kekurangan pemantauan komuniti, serta cabaran dalam aspek pendidikan dan kebajikan menyebabkan komuniti di Felda lebih mudah terdedah kepada gejala ini.
Ampun Tuanku,
Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Dalam Negeri memperuntukkan hampir RM500 juta setahun bagi membanteras gejala dadah. Peruntukan ini merangkumi tiga teras utama:
- Penguatkuasaan undang-undang terhadap pengedaran dan penyalahgunaan dadah.
2. Pencegahan yang berterusan melalui kempen kesedaran dan pendidikan masyarakat.
3. Rawatan dan pemulihan secara holistik yang menekankan aspek kemanusiaan dan pemulihan nilai diri.
Pihak AADK juga melaksanakan pelbagai pendekatan strategik bersama komuniti, NGO, institusi pendidikan, dan agensi lain bagi memastikan kesedaran serta sokongan berterusan dapat dilaksanakan di peringkat akar umbi.
Ampun Tuanku,
Jelajah PTDT ini adalah manifestasi komitmen kolektif seluruh pemegang taruh. Ia bukan hanya milik AADK atau kerajaan semata-mata. Untuk berjaya, kita mesti melibatkan semua pihak – kerajaan pusat, kerajaan negeri, masyarakat sivil, pemimpin tempatan, badan agama, dan institusi pendidikan. Kita perlu jadikan usaha memerangi dadah ini satu gerakan nasional yang bersifat menyeluruh. Kita juga amat mengharapkan sokongan idea, cadangan serta teguran daripada pelbagai pihak untuk memperkukuh strategi yang ada.
Ampun Tuanku,
Menjunjung kasih atas keberangkatan Tuanku ke majlis ini. Semoga kehadiran Kebawah Duli Tuanku menjadi pembakar semangat kepada semua pihak untuk terus berjuang tanpa lelah. Jika terdapat sebarang kekurangan dalam penganjuran majlis ini mahupun dalam ucapan patik, patik mohon ampun dan maaf.
Patik panjatkan doa ke hadrat Ilahi agar Kebawah Duli Tuanku, Tuanku Ampuan, Tengku Mahkota, dan seluruh usrah diraja sentiasa berada dalam naungan rahmat, sihat walafiat, dan dipanjangkan usia memerintah negeri ini dengan penuh kebijaksanaan dan keadilan.
Sekian, wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Ruangan Komen: