Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Salam sejahtera dan salam Malaysia MADANI.
Yang dihormati Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Ketua Pengarah Jabatan Integriti dan Tadbir Urus, pegawai-pegawai kanan, warga Kementerian Dalam Negeri, dan semua hadirin yang saya hormati sekalian.
Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita dapat berhimpun pada hari ini bagi menyambut Hari Integriti Kementerian Dalam Negeri.
Sambutan ini amat bermakna kerana ia memperingatkan kita tentang asas penting dalam tadbir urus kerajaan — iaitu integriti.
Isu 1: Integriti sebagai Teras Perkhidmatan Awam
Hadirin sekalian,
Kementerian Dalam Negeri menaungi pelbagai agensi utama seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).
Kesemua agensi ini memainkan peranan penting dalam menjaga keselamatan, ketenteraman, dan kedaulatan negara.
Integriti dalam setiap agensi ini adalah teras yang menentukan sejauh mana rakyat mempercayai kerajaan.
Jika penjawat awam memegang teguh prinsip integriti, kepercayaan rakyat akan meningkat — bukan sahaja kepada agensi, tetapi juga kepada kementerian, kerajaan dan negara.
Namun, jika sebaliknya berlaku, ia akan menjejaskan imej keseluruhan pentadbiran.
Bayangkan, APMM mengawal lebih 600,000 kilometer persegi sempadan laut. Jika integriti longgar, potensi ancaman seperti penyeludupan senjata, dadah dan pencerobohan boleh meningkat dengan dahsyat.
Begitu juga dengan Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM) yang masih muda — baru setahun beroperasi tetapi memikul tanggungjawab besar menjaga sempadan negara.
Integriti mereka adalah benteng pertama keselamatan tanah air.
Jabatan Imigresen pula mesti terus memperkukuh reputasinya.
Kita tidak mahu lagi mendengar berita tentang “counter setting”, “pasport terbang” atau tangkapan pegawai sendiri. Insiden seperti ini menjejaskan imej ribuan pegawai yang jujur dan berdedikasi.
Begitu juga dengan PDRM — integriti adalah nadi utama kepada kekuatan pasukan ini.
Isu 2: Kestabilan Politik dan Kepercayaan Antarabangsa
Hadirin yang saya hormati,
Saya kini masuk tahun ketiga menerajui Kementerian Dalam Negeri.
Sepanjang tempoh ini, saya berpeluang menghadiri banyak mesyuarat dua hala (bilateral meetings) bersama negara-negara jiran seperti Thailand, Singapura, Indonesia, Brunei dan Filipina.
Biasanya, kami membincangkan isu G2G (Government to Government), isu tertunggak serta perkara-perkara seperti harga air, sempadan, laluan udara dan tenaga kerja.
Apa yang dapat saya rasakan ialah, penghormatan dan kepercayaan rakan-rakan serantau terhadap Malaysia kini amat tinggi, termasuk dari Singapura, di bawah kepimpinan Lawrence Wong.
Kenapa?
Kerana mereka melihat Malaysia kini mempunyai halatuju yang jelas di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
Kerajaan ini komited mengekalkan kestabilan politik.
Sebabnya mudah — kerajaan yang sering bertukar akan membawa dasar yang tidak menentu.
Pelabur tidak gemar dengan ketidaktentuan (uncertainty).
Mereka mahu kepastian dan kestabilan, dan itulah yang sedang kita tunjukkan kepada dunia.
Isu 3: Kemakmuran Ekonomi dan Keadilan Sosial
Kerajaan juga menekankan bahawa kestabilan politik mesti diterjemahkan kepada kemakmuran ekonomi (economic prosperity).
Hanya dengan pertumbuhan ekonomi yang mampan, barulah kita mampu menjamin keadilan sosial dan kebajikan rakyat.
Dalam ucapan bajet baru-baru ini, Perdana Menteri telah mengucapkan tahniah kepada semua agensi penguat kuasa — termasuk PDRM, APMM, SPRM, MyCC, AMLA, dan KPDN — kerana berjaya menyelamatkan hasil negara bernilai RM15 bilion yang sebelum ini bocor akibat kelemahan integriti.
Penjimatan besar ini disalurkan kembali kepada rakyat dalam bentuk bantuan tunai kepada imam, bilal, guru takmir, tok siak dan penjawat awam.
Sebanyak RM35 juta diperuntukkan kepada 70,000 pengurus masjid di seluruh negara, dan RM500 bantuan khas kepada penjawat awam berpendapatan bawah RM5,600.
Segala ini tidak memerlukan cukai baharu — tetapi hasil daripada kecekapan, integriti dan tadbir urus baik (good governance).
Inilah makna sebenar integriti dalam tindakan.
Isu 4: Amanah, Pertanggungjawaban dan Kepercayaan
Hadirin yang saya hormati,
Integriti bukan sekadar slogan.
Ia bermaksud tidak ada jurang antara kata dan perbuatan.
Sebagai ketua kementerian, saya mesti memiliki kepercayaan yang tinggi terhadap semua ketua agensi.
Tanpa kepercayaan, saya tidak boleh bekerja dengan berkesan.
Keyakinan itu mesti disertai pertanggungjawaban (accountability) yang boleh diukur — melalui kejayaan operasi, jumlah tangkapan, pendakwaan, dan penambahbaikan sistem.
Dalam konteks antarabangsa, Malaysia kini berada pada kedudukan ke-13 Global Peace Index dan disasarkan untuk mencapai ranking ke-9 menjelang RMK-13.
Ini adalah ukuran yang menunjukkan keyakinan dunia terhadap kestabilan dan keselamatan negara.
Begitu juga dalam aspek kewangan kerajaan.
Kini wujud Akta Perolehan Kerajaan baharu yang menghadkan kuasa menteri kewangan, memastikan kelulusan projek dinilai oleh jawatankuasa khas (KSUC) dan dilaporkan kepada Parlimen.
Semua ini memperkukuh prinsip integriti dalam pentadbiran awam.
Isu 5: Cabaran Sosial dan Peranan KDN
Tuan-tuan dan puan-puan,
Integriti juga berkait rapat dengan tanggungjawab sosial dan keamanan awam.
Baru-baru ini kita digemparkan dengan kes pelajar ditikam hingga mati di Damansara, kes rogol di Melaka, dan pelajar jatuh bangunan di Sabah dan Sarawak.
Siasatan menunjukkan antara faktor utama ialah pengaruh media sosial dan permainan dalam talian (game) yang berlebihan.
Anak-anak seawal umur sembilan tahun terdedah kepada keganasan digital, bahasa kasar dan unsur tidak sihat.
Fenomena ini membimbangkan.
Negara seperti Australia, UK, Norway dan beberapa negeri di Amerika Syarikat sudah mengambil langkah mengehadkan akses media sosial kepada kanak-kanak.
Kita juga sedang meneliti dasar serupa di Malaysia demi melindungi kesejahteraan mental generasi muda.
Sebagai kementerian yang bertanggungjawab terhadap keamanan dan ketenteraman awam, KDN mesti memimpin usaha memastikan keseimbangan antara kebebasan digital dan keselamatan sosial.
Penutup
Hadirin sekalian,
Integriti bukan hanya tanggungjawab Jabatan Integriti semata-mata.
Ia tanggungjawab kita semua — daripada menteri hingga ke peringkat pelaksana.
Seperti yang disebut oleh Pengarah Integriti Bukit Aman, “Polis tangkap polis.”
Begitulah ertinya integriti — kita menegakkan kebenaran walaupun terhadap diri sendiri.
Kepada pegawai integriti KDN, walaupun bilangan kecil — hanya sepuluh orang — namun peranan anda amat besar dalam memastikan nilai integriti sentiasa hidup dalam kementerian ini.
Akhir sekali, marilah kita menanamkan dalam diri bahawa segala usaha kita bukan sekadar untuk kecemerlangan duniawi, tetapi juga untuk memperoleh keberkatan (barakah) daripada Allah SWT. Kerana keberkatan itulah yang menjadikan usaha kecil membawa hasil besar, dan kehidupan berdisiplin disertai dengan kesejahteraan jiwa.
Sekian, terima kasih.
Wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.







Ruangan Komen: