Tarikh 11 September 2001 merupakan satu tarikh yang menjadi igauan penduduk dunia. Ia berlaku selepas Amerika Syarikat diserang oleh pengganas dan pelampau agama hingga mengorbankan ribuan manusia yang tidak bersalah di negara paling berpengaruh itu.
Menerusi serangan itu, tiga pesawat komersil milik American Airlines telah diceroboh oleh penyerang yang akhirnya melanggar dan memusnahkan kedua-dua bangunan di menara ikonik Pusat Dagangan Antarabangsa atau WTC di Washington selain merosakkan hampir separuh bangunan Pentagon yang menempatkan ibu pejabat Kementerian Pertahanan Amerika Syarikat.
Sejak daripada itu, geopolitik dunia berubah 360 darjah. Amerika Syarikat mula menggunakan pengaruhnya dengan negara-negara maju yang lain misalnya United Kingdom, Perancis, German dan beberapa lagi untuk melakukan tindak balas yang boleh dianggap keterlaluan atas dasar kononnya mahu memerangi keganasan di seluruh dunia.
Pada ketika itulah gelaran Islamophobia mula dipopularkan oleh golongan barat kerana mereka mengaitkan pengganas tersebut yang diketuai oleh Al-Qaeda dengan Islam. Walhal, kita yang Islam sendiri pun tidak setuju apa yang dilakukan oleh Al-Qaeda dan tindakan yang mereka lakukan jauh menyimpang daripada ajaran Islam sebenar.
Rentetan daripada tindak balas Amerika Syarikat yang mula menekan negara-negara Islam seperti Afghanistan, Iraq dan Libya kononnya untuk memerangi kegasan secara sedar atau tidak sedar menyebabkan lebih ramai kumpulan pelampau agama melancarkan beberapa serangan lain yang akhirnya memberi kesan tidak baik kepada manusiawi.
Amerika Syarikat dan sekutunya melancarkan serangan ketenteraan di negara-negara itu manakala puak pelampau agama ini pula menganjurkan serangan berani mati di beberapa tempat termasuk di Bali. Yang menjadi mangsa, adalah manusia yang tidak bersalah. Mereka dibunuh dan cedera parah akibat daripada serangan yang tidak sepatutnya itu.
Pada hari ini, iaitu 23 tahun selepas kejadian 11 September, Malaysia menerusi agensi penguatkuasaannya seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan lain-lain agensi berkaitan telah mengambil pelbagai langkah pencegahan supaya negara kita ini tidak menjadi mangsa kepada serangan pengganas. Bukan itu sahaja, kita juga tidak mahu Malaysia menjadi negara sarang yang menjadi tempat perlindungan kepada pengganas-pengganas yang merosakkan kestabilan serta keamanan dunia.
Bertindak daripada semangat itu, Kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri telah meluncurkan satu inisiatif pada 30 September yang lalu iaitu satu Pelan Tindakan Bagi Mencegah Dan Menangani Fahaman Pelampau Keganasan. Ia telah dilancarkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Dato’ Sri Anwar Ibrahim.
Semasa berucap pada majlis peluncuran Pelan Tindakan itu, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dilihat maklum akan perlunya satu inisiatif tegas diambil bagi menyekat penularan fahaman pelampau di negara kita. Beliau nyatakan di dalam ucapannya bahawa Kerajaan sedar akan perlunya Akta yang melibatkan keselamatan negara ditambahbaik supaya negara kita tidak menjadi sarang kepada penularan fahaman pengganas.
Komitmen Yang Amat Berhormat Perdana Menteri diteruskan apabila beliau menyatakan komitmen untuk mengangkat agenda mencegah dan menangani fahaman pelampau ini untuk dibincangkan di peringkat ASEAN. Sokongan daripada ASEAN ini penting, kerana memerangi fahaman keganasan memerlukan dokongan daripada negara antarabangsa khususnya jiran-jiran kita di Asia Tenggara.
Oleh kerana itulah, peluncuran pelan tindakan yang secara singkatan adalah MyPCVE atau Malaysia Action Plan On Preventing And Countering Violent Extremism bertepatan pada waktunya. Ini kerana, pada tahun hadapan, Malaysia akan menjadi negara Pengerusi kepada mesyuarat ASEAN sepanjang 2025. Jadi, mudahlah untuk tentukan hala tuju kepengerusian kita di peringkat ASEAN itu nanti.
Untuk mendapatkan gambaran kepada semua, MyPCVE ini merupakan manifestasi jelas kerajaan dan KDN yang sentiasa komited memastikan keselamatan negara berada pada tahap tertinggi.
Lebih penting, pelan ini selaras dengan saranan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mencadangkan setiap negara anggota memiliki pelan tindakan tersendiri, khususnya dalam menangani isu fahaman pelampau dan keganasan.
Usaha kita untuk memperkenalkan Pelan Tindakan ini merupakan bukti kepada bahawa Malaysia sentiasa berada di hadapan dalam memperkukuhkan keselamatan serta memastikan rakyat dapat hidup dalam suasana aman dan harmoni.
Dan ini sekali gus selari dengan aspirasi Malaysia Madani ilham Perdana menteri yang mementingkan bukan sahaja pembangunan fizikal tapi juga aspek nilai kasih sayang, murah hati, hormat menghormati, kepercayaan dan mengasihani.
Menerusi semangat itu, MyPCVE yang diperkenalkan ini kami rangkumkan ia kepada empat teras utama yang menggunakan pendekatan soft approach dan hard approach iaitu pencegahan, pemulihan dan pengukuhan. Dan setiap daripada teras ini mempunyai fokus strategik yang perlu dilaksanakan oleh semua pihak.
Yang saya maksudkan sebagai semua pihak itu adalah agensi penguatkuasa negara, penggubal dasar dan badan pelaksana dengan usaha kolaboratif bersama pertubuhan masyarakat sivil seperti ahli akademik, pertubuhan bukan Kerajaan (NGO, institusi penyelidikan dan masyarakat setempat.
Dengan terlancarnya pelan tindakan ini, ia sekali gus merupakan satu komitmen daripada Kerajaan yang serius serta fokus dalam memastikan keselamatan dan keamanan di negara ini sentiasa terjaga dengan baik. Kita mahu terus negara ini dikenali bukan sahaja dengan kepimpinannya yang bertaraf dunia, tetapi juga aspek menguruskan keselamatan negara turut menjadi contoh di peringkat antarabangsa.
Saya yakin, dengan sokongan serta komitmen daripada semua pihak yang terlibat, pelan tindakan iaitu MyPCVE ini dapat dilaksanakan dengan baik sekali gus mencapai hasrat serta aspirasi perlaksanaannya. Insya-Allah.
Saifuddin Nasution
Oktober 2024
Ruangan Komen: