Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan Usul Menjunjung Kasih ke atas Titah Diraja. Segala pandangan, teguran dan cadangan yang dikemukakan mencerminkan keprihatinan bersama terhadap isu-isu keselamatan, tadbir urus dan kesejahteraan rakyat.
Berhubung isu kewarganegaraan, Kementerian Dalam Negeri ingin menegaskan bahawa ketika pentadbiran semasa mengambil alih pada Disember 2022, kementerian mewarisi tunggakan permohonan berjumlah kira-kira 49,000 kes. Melalui pendekatan yang lebih tersusun dan berfokus, sehingga kini sebanyak 52,444 permohonan telah diputuskan melibatkan kes baharu dan tertunggak, sama ada diluluskan atau ditolak.
Penyelesaian ini meliputi 11,711 kes pada tahun 2023, 20,701 kes pada tahun 2024 dan 20,032 kes pada tahun 2025. Setakat 31 Disember 2025, baki permohonan tertunggak telah berjaya dikurangkan kepada 3,738 kes. Kementerian turut komited untuk memastikan keputusan permohonan dapat dimaklumkan dalam tempoh satu tahun, berbanding kelewatan berlarutan sebelum ini.
Selaras dengan pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan kewarganegaraan, kementerian kini berada di peringkat akhir memuktamadkan pindaan kaedah-kaedah berkaitan, termasuk pelaksanaan sistem pra-pendaftaran secara dalam talian. Pelaksanaan penuh dijangka bermula pada 1 Jun 2026, tertakluk kepada perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, bagi memastikan hak kewarganegaraan anak kepada ibu warganegara Malaysia yang melahirkan anak di luar negara dapat dilaksanakan secara lebih cekap dan berkesan.
Isu berkaitan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) atau SOSMA turut diberi perhatian. Kementerian memaklumkan bahawa Jemaah Menteri telah memberikan persetujuan dasar untuk memulakan pindaan terhadap akta berkenaan. Proses libat urus, kajian dan perbincangan terperinci akan dilaksanakan dengan sasaran pembentangan pindaan di Parlimen pada persidangan Julai atau Ogos 2026. Antara fokus utama pindaan ialah peruntukan berkaitan ikat jamin di bawah Seksyen 13 serta tempoh menunggu prosiding di bawah Seksyen 30, bagi memastikan keseimbangan antara keselamatan negara dan prinsip keadilan.
Berhubung insiden tembakan di Durian Tunggal, Melaka, Kementerian menegaskan komitmen terhadap prinsip kesaksamaan di sisi undang-undang. Polis Diraja Malaysia telah menubuhkan Pasukan Siasatan Khas di bawah Jabatan Siasatan Jenayah yang diketuai oleh pegawai kanan berpangkat SAC. Kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dan siasatan kini berada di peringkat melengkapkan laporan teknikal termasuk patologi, balistik dan residu tembakan sebelum sebarang keputusan lanjut dibuat.
Dalam usaha membanteras jenayah penipuan pekerjaan dan penipuan dalam talian, Kementerian menekankan kepentingan kerjasama antarabangsa memandangkan jenayah ini bersifat rentas sempadan. Melalui pendekatan police-to-police, PDRM menjalinkan kerjasama strategik dengan pelbagai negara termasuk China, Australia, Singapura, Taiwan, Jepun, Hong Kong serta Biro Siasatan Persekutuan Amerika Syarikat. Pada masa yang sama, keupayaan domestik diperkukuh melalui penubuhan dan pengoperasian unit-unit khusus seperti National Scam Response Center dan Unit Siasatan Forensik Digital.
Hasil pendekatan bersepadu ini, laporan polis berkaitan penipuan pekerjaan menunjukkan penurunan sebanyak 42 peratus pada tahun 2025, manakala bilangan mangsa berkurang sebanyak 39 peratus berbanding tahun sebelumnya. Sejak tahun 2021 hingga Januari 2026, seramai 83 peratus mangsa telah berjaya diselamatkan dan dibawa pulang ke tanah air.
Berkenaan skim pelaburan MBI, kementerian menjelaskan bahawa siasatan melibatkan jenayah kolar putih yang kompleks dan berskala transnasional. Aset bernilai kira-kira RM6.65 bilion telah dikenal pasti dan proses pelucuthakan sedang dilaksanakan di bawah peruntukan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA), bagi memastikan kepentingan mangsa terus dilindungi.
Selain itu, kementerian menegaskan bahawa MyKad bukanlah alat pemantauan pergerakan rakyat, sebaliknya berfungsi sebagai dokumen pengenalan diri dan mekanisme pengesahan identiti yang dilindungi oleh sistem keselamatan dan penyulitan yang tinggi. MyKad memainkan peranan penting dalam pelaksanaan inisiatif kerajaan, termasuk program bantuan dan subsidi bersasar seperti BUDI95.
Sebagai penutup, Kementerian Dalam Negeri kekal komited untuk memperkukuh keselamatan negara, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta memastikan kedaulatan undang-undang terus dipelihara selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI dan kepentingan rakyat.
TONTON RAKAMAN PENUH
Rakaman penuh penggulungan oleh YB Menteri Dalam Negeri boleh ditonton melalui pautan berikut:
YouTube Bicara Saif Nasution







Ruangan Komen: