Tan Sri Yang di-Pertua,
Ahli-ahli Dewan yang dimuliakan,
Pertamanya, saya rakamkan setinggi-tinggi rasa syukur, penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berhormat para Menteri kerana pada pembentangan belanjawan tempoh hari, Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah menerima peruntukan sebesar RM21.18 bilion. Ini menyaksikan peningkatan sebanyak RM1.73 bilion berbanding peruntukan tahun 2025.
Tan Sri Yang di-Pertua, sudah tentu jumlah peruntukan yang besar ini datang dengan tanggungjawab yang juga berat. Kita sedia maklum bahawa Kementerian Dalam Negeri mempunyai tugas hakiki memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara. Ini termasuk memperkukuhkan keselamatan sempadan dan pintu masuk antarabangsa negara, menangani jenayah siber yang semakin rencam dan kompleks, serta jenayah seksual yang kian meningkat.
Pada masa yang sama, KDN turut memberi tumpuan kepada aspek kebajikan pasukan-pasukan beruniform di bawah kementerian ini termasuklah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penjara, RELA, dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Tan Sri Yang di-Pertua, saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada 33 orang Ahli Dewan yang telah menyentuh tidak kurang daripada 53 isu. Tentunya tempoh masa 45 minit yang diperuntukkan ini ada hadnya. Oleh itu, saya akan memberikan penggulungan ini dengan terlebih dahulu merekodkan bahawa daripada jumlah peruntukan yang diterima oleh KDN, fokus kementerian ini tertumpu kepada beberapa inisiatif utama.
Perbahasan 33 Ahli Dewan tersebut sebenarnya berlegar di bawah tema-tema berikut:
- Peningkatan keupayaan aset dan penguatkuasaan PDRM serta badan beruniform di bawah KDN;
- Pembinaan dan naik taraf fasiliti baharu;
- Pengukuhan kawalan sempadan dan pintu masuk;
- Menangani jenayah siber dan seksual;
- Memperkasa program rawatan dan pemulihan (khususnya di bawah Jabatan Penjara dan AADK);
- Memelihara kebajikan anggota penguat kuasa dan menjamin hak asasi manusia.
Tan Sri Yang di-Pertua, tentunya input daripada 33 Ahli-ahli Yang Berhormat mengandungi teguran, kritikan, cadangan dan saranan penambahbaikan. Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih atas semua pandangan tersebut.
KDN mengulangi komitmen kami bahawa setiap hujah dan pandangan yang dikemukakan akan diberi perhatian serius. Ini juga dibuktikan dengan kehadiran penuh pegawai-pegawai kanan KDN di dalam Dewan pada saat ini — malah, kebetulan jumlah mereka lebih ramai daripada Ahli-ahli Parlimen yang hadir.
Tan Sri Yang di-Pertua, saya juga ingin mengulangi penghargaan kepada PDRM dan Jabatan Imigresen atas sumbangan signifikan mereka dalam memastikan kejayaan Malaysia menjadi tuan rumah kepada ASEAN Summit baru-baru ini. Sepanjang tempoh penganjuran yang melibatkan kehadiran 23 ketua negara antarabangsa, hampir tiada sebarang gangguan dari segi keselamatan direkodkan.
Isu: Buli dan Keselamatan Sekolah
Tan Sri Yang di-Pertua,
Saya mulakan penggulungan dengan isu buli di sekolah, seperti yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat dari Julau, Seri Aman dan Larut.
Saya ingin berkongsi terlebih dahulu statistik yang direkodkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) melibatkan tiga kategori kes iaitu buli, rogol dan pembunuhan: khususnya yang berlaku di kawasan sekolah. Statistik ini penting untuk kita memahami sejauh mana tahap serius insiden-insiden ini.
Kes buli, bagi tempoh 2022 hingga Jun 2025, mencatatkan sebanyak 687 kes.
Butirannya adalah seperti berikut:
- Tahun 2022: 205 kes
- Tahun 2023: 186 kes
- Tahun 2024: 191 kes
- Januari hingga Jun 2025: 105 kes
Tan Sri Yang di-Pertua, setelah pindaan Kanun Keseksaan yang memasukkan seksyen baharu 507B, 507C, 507D, 507E, 507F dan 507G, pihak polis telah membuka sebanyak 87 kertas siasatan kes buli dalam tempoh Ogos hingga September tahun ini sahaja.
Bagi kes rogol pula, dalam tempoh yang sama (2022–2025) dan hanya bagi insiden melibatkan kawasan sekolah, sejumlah 112 kes telah dilaporkan:
- 2022: 27 kes
- 2023: 22 kes
- 2024: 29 kes
- Sehingga September 2025: 34 kes
Tan Sri Yang di-Pertua, kes pembunuhan di kawasan sekolah juga direkodkan sebanyak dua (2) kes setakat ini.
Kes pertama melibatkan pelajar Kolej Vokasional Lahad Datu, yang telah berakhir dengan sabitan dan keputusan mahkamah.
Kes kedua pula adalah yang terbaru, di Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Utama Damansara, membabitkan pelajar berusia 14 tahun yang membunuh rakan sekolahnya berusia 15 tahun.
Selepas saya berkongsi angka-angka ini, langkah penting ialah meneliti apa tindakan kerajaan ke hadapan.
Saya difahamkan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah menerima peruntukan sebanyak RM8 juta untuk tujuan pemasangan CCTV di kawasan strategik sekolah. Dengan pemasangan ini, langkah keselamatan dan pemantauan dijangka dapat dipertingkatkan.
Ahli-ahli Yang Berhormat turut mencadangkan agar rakaman CCTV sekolah disambungkan secara langsung kepada sistem pemantauan PDRM. Saya menyambut baik idea ini kerana ia menyentuh aspek perkakasan, sistem dan jaringan. Saya akan meminta pihak KDN meneliti kemungkinan pelaksanaan supaya pengawasan masa sebenar (real-time) dapat dilakukan.
Pada masa yang sama, saya telah meminta PDRM meningkatkan pengawasan di sekolah melalui rondaan menggunakan MPV dan motosikal rondaan bagi memperkukuh kehadiran polis di kawasan sekolah. Kehadiran ini bukan sahaja meningkatkan keyakinan keselamatan pihak sekolah, malah dapat menghalang pihak yang berniat jahat daripada melaksanakan niat mereka.
Tan Sri Yang di-Pertua, isu buli dan keselamatan sekolah tidak boleh diselesaikan oleh KDN dan KPM sahaja. Ia memerlukan penglibatan semua pihak termasuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta komuniti setempat bagi memastikan keselamatan pelajar terus terjamin.
Isu: Counter-Setting dan Sempadan Negara
Tan Sri Yang di-Pertua,
Saya ucapkan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat daripada Pekan dan Kuantan yang membangkitkan isu counter-setting.
Isu ini menggambarkan tindakan tidak bertanggungjawab oleh segelintir pihak yang memberi kebenaran kepada kemasukan individu ke negara ini tanpa mengikut prosedur sah. Ia bukan sekadar kelemahan pentadbiran sempadan, tetapi mempunyai unsur yang boleh dianggap sebagai pengkhianatan kepada negara.
Untuk makluman Dewan, siasatan terhadap mereka yang terlibat dalam aktiviti counter-setting sedang dijalankan di bawah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Fokus siasatan adalah terhadap elemen rasuah dan salah guna kuasa.
Dalam masa yang sama, tindakan tatatertib di bawah Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 turut dikenakan kepada pegawai yang terlibat.
Namun begitu, sekiranya siasatan mendapati terdapat elemen jenayah terancang (organised crime), KDN tidak menolak kemungkinan untuk melaksanakan undang-undang yang lebih berat, tertakluk kepada nasihat Peguam Negara.
Isu: Jenayah Siber dan Penipuan Dalam Talian
Tan Sri Yang di-Pertua,
Isu penipuan kewangan dan jenayah siber turut dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Kepong dan beberapa Yang Berhormat lain.
Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM amat menyedari bahawa ancaman jenayah siber hari ini datang seperti gelombang besar — ia berlaku bukan sahaja di dalam negara, tetapi juga merentasi sempadan antarabangsa.
Dari segi perundangan, kerajaan telah memperkenalkan peruntukan baharu di bawah Seksyen 424A hingga 424C Kanun Keseksaan, yang memberi kuasa kepada polis untuk menyiasat dan mendakwa individu yang menggunakan atau membenarkan akaun mereka digunakan sebagai akaun kaldai (mule account).
Jika disabitkan kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara antara 3 hingga 10 tahun atau denda antara RM10,000 hingga RM150,000, atau kedua-duanya sekali.
Selain itu, KDN dan PDRM kini terlibat dalam sesi libat urus bersama Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bagi merangka Rang Undang-Undang Jenayah Siber. RUU ini akan meletakkan PDRM sebagai agensi penguatkuasaan utama, manakala NACSA akan berperanan sebagai agensi penyelaras.
Kementerian juga sedang membangunkan Pelan Tindakan Nasional Menangani Ancaman Jenayah Siber dengan kerjasama kumpulan penyelidik universiti awam. Pelan ini akan mengenal pasti dua kategori jenayah siber utama iaitu:
- Cyber-enabled crime; dan
- Cyber-dependent crime.
Tujuan utama pelan ini adalah untuk mewujudkan satu kerangka tindakan menyeluruh yang merangkumi aspek perundangan, penguatkuasaan, siasatan, program kesedaran, latihan, teknologi, dan kerjasama antarabangsa.
Tan Sri Yang di-Pertua, sewaktu saya mempengerusikan Mesyuarat Menteri-Menteri Dalam Negeri ASEAN di Melaka pada Ogos 2025, semua negara anggota bersetuju untuk memperkukuh kerjasama serantau dalam tiga perkara utama:
- Perkongsian risikan (intelligence sharing),
- Operasi bersama (joint operation), dan
- Perkongsian kepakaran (expertise exchange).
Malaysia juga tidak menolak kemungkinan untuk menandatangani Budapest Convention, satu perjanjian antarabangsa mengenai kerjasama menentang jenayah siber.
Tan Sri Yang di-Pertua, Ahli Parlimen Kuala Krai turut membangkitkan kebimbangan tentang peningkatan mangsa online scam dalam kalangan warga emas. Statistik menunjukkan bahawa dari Januari hingga September 2025, terdapat 4,390 kes melibatkan warga emas, meningkat 35% berbanding 3,268 kes pada tahun 2024.
Warga emas lazimnya menjadi sasaran kerana mereka menerima bayaran pencen atau ganjaran perkhidmatan dalam jumlah besar, dan sering menjadi mangsa helah kewangan dalam talian.
Sebagai langkah segera, Kabinet telah bersetuju supaya PDRM mengetuai National Scam Response Center (NSRC) — sebuah pusat operasi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, yang berfungsi untuk menerima aduan, bertindak segera meminta bank menyekat akaun mencurigakan, dan mengkoordinasikan siasatan bersama Bank Negara, MCMC, KPDN, dan NFCC.
Tambahan pula, pindaan kepada Kanun Keseksaan Seksyen 424A–424D dan Kanun Tatacara Jenayah Seksyen 116D telah diluluskan bagi memberikan kuasa yang lebih luas kepada PDRM untuk menyiasat, membekukan akaun, dan mendakwa pesalah jenayah siber termasuk pemilik akaun kaldai.
Bank Negara Malaysia juga telah memperkenalkan ciri keselamatan “cooling-off period” bagi melindungi pengguna daripada transaksi mencurigakan.
Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada Ahli Parlimen Stampin, yang mencadangkan agar semua bank memperkenalkan sistem pemantauan tambahan pada mesin ATM seperti rekod log transaksi, cap jari, lokasi GPS dan rakaman visual semasa pengeluaran tunai.
Sistem sebegini akan memudahkan analisis aliran tunai dan pemetaan rangkaian transaksi oleh PDRM, seterusnya membantu mengesan sindiket jenayah yang beroperasi di sebalik akaun-akaun kaldai.
Isu: Latihan APMM di Masjid Rusila
Tan Sri Yang di-Pertua,
Ahli Parlimen Kota Bharu membangkitkan persoalan berkenaan insiden di Masjid Rusila yang melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).
Saya ingin menegaskan bahawa insiden tersebut bukanlah serbuan atau serangan, tetapi merupakan sebahagian daripada latihan taktikal rasmi APMM. Agensi ini, sebagaimana agensi pertahanan lain, perlu sentiasa bersedia menghadapi pelbagai ancaman termasuk penyeludupan senjata, pencerobohan kapal asing, aktiviti nelayan haram, dan ancaman dadah di laut.
Latihan tersebut dikenali sebagai “Survival, Evasion, Resistance and Escape (SERE)” — satu latihan berkonsepkan ketahanan, penyamaran dan pengelakan. Ia dijalankan pada 16 hingga 22 September 2025, dengan pemberitahuan awal kepada pihak polis negeri.
Latihan seperti ini turut dilaksanakan oleh pasukan lain seperti PASKAL (Tentera Laut Diraja Malaysia), PASKAU (Tentera Udara Diraja Malaysia) dan unit komando polis. APMM perlu mempunyai tahap kesiapsiagaan dan kemahiran setanding dengan pasukan ini kerana tanggungjawabnya meliputi kawasan operasi yang luas iaitu hampir 600,000 kilometer persegi perairan negara.
Dalam latihan SERE tersebut, anggota APMM dikehendaki bergerak secara rahsia dan menyamar untuk mengelak dikesan oleh jurulatih mereka sendiri. Maka apabila mereka singgah sebentar di masjid berkenaan, tindakan mereka yang tergesa-gesa meninggalkan lokasi menyebabkan timbulnya kekeliruan dalam kalangan jemaah.
Pihak pengurusan masjid telah membuat laporan polis mengikut saluran betul. Polis kemudiannya menemui pihak terlibat termasuk wakil ADUN Batu Buruk dan Pejabat Ahli Parlimen Marang, dan memberikan penjelasan bahawa latihan itu adalah sah, rasmi dan dijalankan dengan tatacara keselamatan yang wajar.
Alhamdulillah, kedua-dua pihak terbabit menerima penjelasan tersebut dengan baik. Maka, tidak timbul sebarang elemen serangan atau percubaan mensabotaj mana-mana pihak seperti yang tular dalam sesetengah laporan awal.
Tan Sri Yang di-Pertua, saya menyeru agar semua pihak melihat perkara seperti ini dengan fikiran terbuka dan tidak membuat sebarang kesimpulan berlebihan sebelum mendapat penjelasan rasmi. Kementerian Dalam Negeri sentiasa terbuka memberi penerangan bagi mengelakkan kekeliruan awam.
Isu: Dadah dan Judi
Tan Sri Yang di-Pertua,
Ahli Parlimen Batang Sadong telah menyentuh secara khusus mengenai isu dadah dan perjudian.
Saya ingin memulakan dengan laporan terkini daripada United Nations Office on Drugs and Crime (UNODC) yang beribu pejabat di Vienna. Laporan tersebut menyatakan bahawa masalah dadah global masih serius, dan bagi rantau Asia Tenggara termasuk Malaysia, dadah sintetik kini menggantikan opium sebagai ancaman utama.
Strategi antarabangsa bagi tahun semasa memberi tumpuan kepada usaha menyekat bekalan dan laluan masuk dadah, khususnya melalui laluan laut. Ini menjelaskan mengapa Malaysia perlu memperkukuh aset maritim dan keupayaan kawalan sempadan laut.
Tan Sri Yang di-Pertua, dari Januari hingga September 2025, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) PDRM mencatatkan kejayaan besar dengan jumlah rampasan dadah bernilai lebih RM2 bilion, melibatkan pelbagai jenis dadah termasuk syabu, ganja, pil erimin dan ketamin.
Dalam tempoh sama, 16 makmal haram pemprosesan dadah berjaya dilumpuhkan, termasuk lima makmal di Selangor yang merupakan negeri paling tinggi aktiviti makmal haram. Sebanyak 44 suspek telah ditahan di seluruh negara.
PDRM telah membuka 174,134 kertas siasatan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952, dengan 189,451 individu ditangkap sepanjang tempoh sembilan bulan pertama tahun ini.
Antara kejayaan besar yang ingin saya kongsikan termasuk:
- Penahanan seorang warga Taiwan dengan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM54.5 juta.
- Rampasan 132 kilogram ketamin, 291 kilogram pil ekstasi dan serbuk erimin bernilai RM55 juta di Taman Industri Alam Jaya 2, Selangor.
- Rampasan besar di Pelabuhan Klang pada Januari 2025 membabitkan 33,200 kilogram syabu bernilai RM1.06 bilion yang disembunyikan dalam kontena.
- Di Bandar Damansara, Februari 2025, rampasan dadah bernilai RM24 juta melibatkan tiga warga China.
- Di Sri Petaling, April 2025, rampasan pil ekstasi, syabu dan ketamin bernilai RM13.6 juta melibatkan dua individu.
- Di Kelantan, 21 Jun 2025, rampasan 207 kilogram ganja bernilai RM642,000.
- Di Perlis, rampasan 409 kilogram ganja ditinggalkan dalam bot di perairan negeri itu.
Data ini menunjukkan negeri-negeri sempadan seperti Kelantan, Perlis, Kedah dan Terengganu menjadi laluan utama sindiket dadah antarabangsa.
Bagi mengawal sempadan, saya telah mengarahkan Polis Kelantan merobohkan lebih 200 jeti haram di sepanjang Sungai Golok bagi mengekang penyeludupan dan pergerakan haram. Langkah ini membolehkan hanya individu yang mempunyai dokumen sah menggunakan laluan sempadan tersebut.
Isu: Kes SPRM – Mohd Adlan Berhan
Tan Sri Yang di-Pertua,
Ahli Parlimen Jelutong membangkitkan persoalan mengenai individu bernama Mohd Adlan Berhan, yang dikaitkan dengan siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Untuk makluman Dewan yang mulia, kes ini berada di bawah bidang kuasa SPRM dan telah menjadi pengetahuan umum. Disebabkan individu tersebut berada di luar negara, SPRM telah memaklumkan kepada Kementerian Dalam Negeri melalui Jabatan Imigresen Malaysia untuk membatalkan pasport beliau, dan tindakan tersebut telahpun dilaksanakan.
Mengenai usaha pengesanan suspek, kerjasama antara KDN dan Interpol sedang dijalankan secara aktif. Saya sendiri telah bertemu dengan Ketua Interpol di China beberapa minggu lalu, dan beliau mengesahkan bahawa notifikasi rasmi Malaysia berada dalam rekod Interpol.
Selain itu, SPRM telah mengumumkan bahawa kertas siasatan kes berkenaan telah selesai dan kini berada di peringkat Pejabat Peguam Negara untuk menentukan tindakan selanjutnya — sama ada pertuduhan akan dibuat atau tidak.
Tugas Kementerian Dalam Negeri melalui Imigresen dan PDRM adalah membantu membawa pulang individu tersebut untuk berdepan dengan proses undang-undang di Malaysia.
Tan Sri Yang di-Pertua, kami turut menyedari bahawa terdapat cabaran diplomatik apabila sesetengah negara keberatan memberi kerjasama disebabkan perbezaan undang-undang seperti hukuman sebat. Namun, Malaysia kekal berhubung dengan Interpol dan negara-negara terlibat bagi memastikan kerjasama dapat diteruskan berdasarkan saluran perundangan antarabangsa yang sah.
Isu: Naturalisasi Pemain FIFA
Tan Sri Yang di-Pertua,
Isu terakhir yang ingin saya jelaskan ialah mengenai naturalisasi pemain bola sepak di bawah peraturan FIFA, seperti yang dibangkitkan oleh beberapa Ahli Yang Berhormat.
Perlu dijelaskan bahawa isu ini melibatkan dua proses berbeza:
- Proses permohonan kewarganegaraan Malaysia; dan
- Proses pendaftaran pemain di bawah Statut FIFA.
Bagi permohonan kewarganegaraan, ia diproses mengikut Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan serta Peraturan-Peraturan Kewarganegaraan 1964. Proses ini menggunakan kuasa budi bicara Menteri sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 21(1)(i).
Kuasa ini bukan hanya digunakan untuk atlet, tetapi juga bagi saintis, doktor, ketua pegawai eksekutif dan pakar asing yang membawa nilai tambah kepada negara.
Sementara itu, bagi urusan pendaftaran pemain, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bertanggungjawab meneliti dokumen kelahiran dan salasilah keluarga berdasarkan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian, khususnya Seksyen 10E dan Seksyen 10I.
Seksyen 10I memperuntukkan bahawa apabila Pendaftar Besar berpuas hati dengan semua dokumen yang dikemukakan, maka pendaftaran boleh diluluskan. Dokumen kelahiran tersebut kemudiannya digunakan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk tujuan pendaftaran pemain di bawah Statut FIFA.
Oleh itu, proses ini adalah selaras dengan Perlembagaan dan undang-undang negara, dan tidak timbul sebarang pelanggaran atau campur tangan dalam urusan sukan antarabangsa.
Penutup
Tan Sri Yang di-Pertua,
Sebagai penutup, saya ingin menegaskan bahawa Kementerian Dalam Negeri kekal komited dalam memastikan keselamatan negara, kestabilan awam, dan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
Segala teguran, pandangan dan cadangan daripada Ahli-ahli Yang Berhormat akan diberi perhatian serius oleh pihak kementerian untuk diteliti dan dilaksanakan sewajarnya.
Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua pegawai kanan KDN, PDRM, Jabatan Penjara, AADK, RELA, APMM serta semua agensi di bawah kementerian yang sentiasa menunjukkan dedikasi tinggi dalam melaksanakan amanah ini.
Sekian, terima kasih Tan Sri Yang di-Pertua.







Ruangan Komen: