Minggu lalu, seperti lazim setiap bulan, saya telah menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri untuk bulan Januari. Namun, perhimpunan kali ini terasa lebih istimewa kerana ia merupakan perhimpunan warga KDN yang pertama bagi tahun 2025.
Setiap kali Perhimpunan Bulanan diadakan, saya sentiasa mengambilnya dengan penuh serius. Ini kerana saya melihatnya bukan sekadar platform untuk berhimpun sebagai sebuah keluarga besar KDN, tetapi juga sebagai peluang penting untuk menetapkan azam dan matlamat baharu yang akan memacu kejayaan kita sepanjang tahun ini.
Tahun 2024 yang telah berlalu mempunyai pelbagai cabarannya, namun kita berjaya menghadapinya bersama. Pelbagai kejayaan juga telah kita raih bersama dalam semangat kekeluargaan KDN.
Untuk itu, pada tahun 2025 ini, saya mahu ia menjadi tahun KDN terus melangkah lebih jauh, mengukuhkan usaha dan komitmen demi kesejahteraan serta keselamatan rakyat serta negara sesuai dengan aspirasi Malaysia Madani.
Bagi memastikan KDN merangka sebuah pelan perancangan yang komprehensif, satu program retreat telah diadakan pada Disember lalu di Pulau Mabul, Sabah bagi membincangkan hala tuju KDN dan agensinya untuk tahun mendatang.
Pada program itu, perbincangan mendalam telah dibuat, dan secara kolektifnya, kami telah sepakat bahawa semua agensi di bawah KDN perlu bergerak secara agresif dan aktif dalam menguasai teknologi kecerdasan buatan atau AI.
Ini adalah satu perubahan yang bukan sahaja perlu, malah mendesak. Sebagai kementerian yang memikul tanggungjawab besar dalam memastikan keselamatan negara, KDN tidak boleh ketinggalan dalam era revolusi teknologi ini. AI bukan sahaja dapat membantu meningkatkan kualiti perkhidmatan, malah ia juga mampu memperkukuhkan keberkesanan operasi keselamatan di negara ini
Sebagai contoh, teknologi AI telah mula kita manfaatkan dalam pengurusan kawalan sempadan negara. Dengan menggunakan sistem analitik pintar dan pengesanan automatik, kita mampu memantau pergerakan di sempadan dengan lebih efisien, mengenal pasti ancaman lebih awal, serta mengurangkan kebergantungan kepada sumber manusia secara berlebihan.
Saya ingin menegaskan bahawa saya mahu semua agensi di bawah KDN, tanpa pengecualian, termasuk PDRM, Jabatan Imigresen, Jabatan Penjara, dan lain-lain, terlibat sepenuhnya dalam usaha kita menguasai teknologi AI. Bagi saya, teknologi ini perlu diadaptasi oleh setiap agensi dalam bidang masing-masing untuk memastikan keberkesanan dan relevansi perkhidmatan yang diberikan..
Untuk tujuan itu, KDN akan adakan perbincangan bersama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi mengadakan satu kerjasama supaya universiti tersebut boleh membantu KDN untuk mencapai hasrat itu.
UKM dianggap sebagai rakan kerjasama strategik yang paling sesuai memandangkan ia memiliki fakulti kecerdasan buatan (AI) tersendiri. Oleh itu, kami melihat ini sebagai peluang yang tepat untuk dimanfaatkan sepenuhnya. Dengan segala kemudahan dan kepakaran yang dimiliki oleh UKM, KDN dapat mempelajari dan memperkukuhkan pengetahuan dalam bidang AI.
Usaha ini termasuk melatih pegawai dan anggota KDN secara berperingkat, bermula dari tahap asas (beginner), ke tahap pertengahan (intermediate), dan seterusnya, agar mereka mahir dalam teknologi ini dan dapat mengaplikasikannya secara efektif dalam bidang tugas masing-masing.
Apabila membincangkan mengenai teknologi AI ini, suka untuk saya kongsikan pengalaman saya semasa mengadakan lawatan rasmi ke UAE sebelum ini. Lawatan itu telah membuka mata saya mengenai potensi yang ada pada AI dan bagaimana ia boleh membantu memastikan pengurusan keselamatan negara dapat dilaksanakan dengan baik.
Saya kagum apabila UAE mempunyai Mohamed Bin Zayed University of Artificial Intelligence (MBZUAI), sebuah institusi khusus untuk pembangunan dan kajian dalam bidang AI. Ini membuktikan betapa seriusnya mereka dalam memastikan teknologi ini menjadi tonggak kepada masa depan negara mereka.
Kita juga perlu menjadikan AI sebagai salah satu keutamaan negara. Saya percaya dengan pelaburan dalam pendidikan dan penyelidikan AI, kita bukan sahaja dapat meningkatkan keselamatan negara, malah menjadi peneraju dalam bidang ini di rantau Asia Tenggara.
Saya cadangkan, mungkin selepas ini, jika kita perlukan penguasaan lebih lanjut dalam teknologi AI ini, KDN boleh untuk adakan kerjasama bersama MBZUAI pula di masa akan datang. Insya-Allah.
Pun begitu, saya sedar juga mengenai kebimbangan masyarakat mengenai kehebatan AI ini. Teknologi yang dianggap baharu ini telah mula meresapi di dalam cara kerja masyarakat kita. Boleh dikatakan ia banyak memudahkan kerja kita semua.
Persoalannya, adakah kecerdasan buatan (AI) akan menjadi ancaman kepada manusia pada masa hadapan? Adakah ia bakal menggantikan manusia sehingga menyebabkan kehilangan banyak peluang pekerjaan? Untuk menjawab persoalan ini, saya cenderung memilih pandangan sarjana yang menyatakan bahawa AI bukanlah pengganti manusia, tetapi alat yang dapat memperkasa kita.
Dalam hal ini, saya ingin menarik perhatian semua kepada kata-kata seorang ahli falsafah Eropah berbangsa Sweden, Nick Bostrom. Beliau pernah berkata:
“Machine intelligence is the last invention that humanity will ever need to make, but it doesn’t mean machines will replace us. They will amplify us.”
Petikan ini mengingatkan kita bahawa AI bukan untuk menggantikan manusia tetapi untuk memperkasakan kemampuan kita. Ia boleh menjadi alat untuk meningkatkan produktiviti, menyokong pengambilan keputusan yang lebih bijak dan menyelesaikan masalah yang kompleks. Namun, kebijaksanaan manusia tetap menjadi teras kepada kemajuan teknologi ini.
Justeru, secara kesimpulannya, jadikanlah tahun 2025 ini sebagai peluang serta permulaan untuk kita melangkah ke ke hadapan dengan tekad yang baharu. KDN akan jadikan tahun ini untuk persiapkan semua pegawai dan anggota di bawah agensi KDN untuk kuasai teknologi AI.
Peganglah kata-kata dan nasihat saya ini. Saya mahu semua warga KDN, tanpa mengira agensi, untuk terus belajar dan berusaha menguasai teknologi AI dengan sebaik-baiknya. Kepada pihak pengurusan tertinggi, usahakanlah pelbagai cara dan pendekatan agar warga KDN dapat diberikan latihan yang komprehensif dan sesuai dalam usaha memanfaatkan teknologi AI. Ilmu adalah asas segala kejayaan, dan melalui ilmu, kita mampu menguasai apa sahaja, termasuk AI. Sebagaimana kata-kata Albert Einstein:
“Intellectual growth should commence at birth and cease only at death.”
Maka, marilah kita bersama-sama berusaha mempelajari dan memanfaatkan teknologi AI dalam melaksanakan tanggungjawab kita menjaga keselamatan negara. Dengan menguasai AI, saya yakin kita dapat meningkatkan keberkesanan tugas kita dan memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada rakyat. Insya-Allah
Saifuddin Nasution
10 Januari 2025
Ruangan Komen: