Kedaulatan sempadan merupakan asas utama kepada keselamatan, kestabilan, dan kemakmuran sesebuah negara. Bagi Malaysia, yang memiliki sempadan darat, laut, dan udara, kawalan sempadan yang kukuh adalah kunci dalam memastikan keutuhan negara terus terpelihara.
Ini menjadikan pengurusan sempadan di Malaysia berhadapan dengan pelbagai cabaran kompleks yang perlu diuruskan dengan baik. Bagi tujuan itulah, Kerajaan telah mengambil langkah berani dan strategik dengan menubuhkan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) sebagai sebuah badan bersepadu untuk menyelaras dan memperkukuh pengurusan kawalan sempadan negara.
Langkah ini bukan hanya selari dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan kesejahteraan rakyat, keselamatan dan keberkesanan tadbir urus, tetapi juga mencerminkan komitmen kerajaan dalam melindungi kedaulatan negara serta memacu ekonomi dengan memastikan mobiliti barangan dan pergerakan rakyat lebih lancar serta cekap.
Idea untuk penubuhan AKPS ini didorong oleh beberapa asas yang dilihat penting. Pertama adalah untuk memastikan keselamatan sempadan kita lebih tersusun dan berkesan. Sebelum ini, urusan kawalan sempadan negara kita diuruskan oleh lebih daripada 20 agensi yang bekerja secara berasingan.
Hal ini sering kali menyebabkan berlakunya pertindihan kuasa, kelewatan dalam apa jua proses dan kekurangan koordinasi yang efisien. Dengan adanya AKPS ini, ia sedikit sebanyak menyatukan semua fungsi kawalan sempadan di bawah satu bumbung, sekali gus menyelesaikan isu silo mentality di mana agensi menjaga bidang masing-masing tanpa kolaborasi dan kerjasama.
Pendorong kedua adalah, ia bertujuan untuk memacu kecekapan sistem penyampaian. Dengan penubuhan AKPS ini, ia mampu untuk memudahkan lagi urusan di pintu-pintu masuk negara, baik untuk rakyat mahupun perniagaan.
Sebagai contoh, negara jiran seperti Singapura, melalui Immigration and Checkpoints Authority (ICA) telah memberikan testimoni yang meyakinkan bahawa sebuah agensi tunggal untuk menguruskan kawalan sempadan mampu memberikan hasil yang lebih efisien dan memudahkan keseluruhan proses pengurusan.
Ketiga adalah ia membantu mempercepatkan mobiliti barangan dan pergerakan rakyat. Sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, Malaysia bergantung kepada perdagangan dan pelaburan antarabangsa.
Apabila pengurusan sempadan kita menjadi lebih cekap dan efisien, ia membantu memastikan pergerakan barangan yang lancar serta mempercepatkan pengaliran perniagaan rentas sempadan. Hal ini penting untuk memastikan daya saing Malaysia terus terpelihara.
Keempat dan yang terakhir adalah untuk pastikan keselamatan negara terus terjamin. Di bawah AKPS, kawalan sempadan akan lebih mudah diselaraskan untuk menghadapi ancaman seperti penyeludupan, perdagangan manusia dan risiko keselamatan rentas sempadan. Keselamatan rakyat Malaysia adalah teras utama kepada keberhasilan agensi ini.
Sebagai permulaan, AKPS akan melancarkan fasa pertama operasi dengan mengambil alih lima pintu masuk strategik yang bermula secara berperingkat bermula bulan ini dan Februari depan. Lokasi berkenaan adalah Rantau Panjang, KLIA1 dan KLIA2 termasuk kompleks kargo, ICQS Bangunan Sultan Iskandar serta JB Sentral, Pelabuhan Tanjung Pelepas dan ICQS bukit Kayu Hitam.
Pemilihan lokasi ini mencerminkan pendekatan strategik kerajaan untuk menangani pelbagai bentuk cabaran, sama ada di sempadan darat, laut atau udara. Fasa pertama ini juga memberikan ruang kepada AKPS untuk menganalisis dan menambah baik sistem operasi sebelum melaksanakan kawalan sepenuhnya di 141 pintu masuk rasmi negara.
Kita tahu untuk memastikan penubuhan AKPS ini mencapai objektifnya, sumber manusia dan aset adalah elemen kritikal bagi memastikan keberhasilan AKPS. Setakat ini, AKPS hanya mempunyai kekuatan 78 kakitangan, tetapi sasaran jangka panjang adalah untuk menambah jumlah tersebut kepada 13,420 kakitangan. Proses ini akan dilaksanakan secara berperingkat dengan mengambil kira kekangan kewangan dan perjawatan kerajaan.
AKPS juga akan mengambil alih aset sedia ada daripada pelbagai agensi seperti kenderaan, mesin pengimbas dan bangunan. Pengambilalihan ini akan dilakukan secara bertahap kerana banyak aset masih terikat dengan kontrak atau perjanjian sewaan. Ini termasuk penggunaan teknologi canggih untuk mengimbas kargo dan barangan penumpang yang akan memastikan kawalan lebih cekap dan keselamatan lebih terjamin.
Semasa saya membentangkan mengenai AKPS ini di Dewan Rakyat pada 16 Oktober lalu, ada beberapa cadangan yang baik daripada rakan-rakan Ahli Parlimen baik Kerajaan mahupun Pembangkang. Antara cadangan yang menarik perhatian saya adalah untuk Kerajaan turut pertimbangkan penglibatan veteran, khususnya bekas tentera yang mempunyai kepakaran dalam bidang seperti teknologi maklumat dan kawalan sempadan.
Langkah ini bukan sahaja memberikan peluang pekerjaan kepada golongan ini tetapi juga memastikan pengalaman dan kepakaran mereka dimanfaatkan sepenuhnya. Apa pun, kita perlukan satu penelitian serta kaji selidik yang mendalam sebelum untuk laksanakan cadangan ini.
Apa pun yang bakal diperkenalkan oleh Kerajaan, sudah pasti idea AKPS ini juga mempunyai pelbagai cabaran yang perlu dihadapi. Namun, saya yakin dan percaya bahawa dengan sokongan semua pihak, AKPS akan berjaya mencapai matlamat yang ditetapkan.
Justeru, saya bersyukur ke hadrat Ilahi kerana selepas pengumuman mengenai penubuhan AKPS ini, saya menerima maklum balas yang amat positif, bukan sahaja daripada barisan pengurusan kanan Kerajaan, malah rakyat turut memberikan sokongan dan reaksi yang memberangsangkan terhadap inisiatif ini.
Oleh itu, dengan berpegang kepada semangat Malaysia Madani, saya yakin bahawa AKPS akan menjadi teras utama dalam memastikan kawalan sempadan yang lebih berkesan dan menyeluruh. Selain menjamin keselamatan negara, ia juga akan memastikan kedaulatan tanah air terus terpelihara. Insya-Allah.
Saifuddin Nasution
16 Januari 2025
Ruangan Komen: