Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam Malaysia MADANI dan salam hormat kepada semua hadirin.
Terima kasih saudara pengacara majlis.
Yang saya hormati, Yang Berbahagia Datuk Seri Shuhami, Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Kementerian Dalam Negeri.Yang saya hormati, Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Saiful Lizan.
Yang saya hormati, Ketua Setiausaha Politik YAB Perdana Menteri, Tuan Azman Abidin.
Yang saya hormati, Datuk Madiyem, Setiausaha Politik YB Menteri Dalam Negeri.
Yang saya hormati, Datuk Azhar, Komander Maritim Negeri Sabah.
Yang saya hormati, barisan kepimpinan daerah Kota Belud, rakan-rakan dari agensi penguat kuasa, para pemimpin masyarakat serta semua hadirin yang saya hormati sekalian.
Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Sabah kerana telah memilih daerah Kota Belud sebagai lokasi pelaksanaan Program Jelajah Wira MADANI Peringkat Negeri Sabah pada hari ini.
Saya juga ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pihak APMM kerana telah berjaya menjayakan program ini dalam tempoh masa yang sangat singkat — hanya dua minggu perancangan dan pelaksanaan. Ini membuktikan semangat kerja berpasukan dan komitmen tinggi warga APMM di Sabah.
Saya dimaklumkan bahawa program pada pagi ini menghimpunkan lebih daripada 1,000 peserta yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk pasukan penguat kuasa, komuniti tempatan, pelajar, NGO serta pemimpin masyarakat. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan pada pagi ini adalah satu manifestasi semangat kekitaan dan solidariti dalam menjayakan agenda keselamatan negara dan pembentukan masyarakat MADANI.
Jelajah Wira MADANI ialah satu inisiatif Kementerian Dalam Negeri yang telah saya lancarkan pada bulan Februari lalu, bertujuan mendekatkan agensi-agensi penguat kuasa di bawah KDN dengan rakyat. Program ini membawa pendekatan dua hala — bukan hanya memperkenalkan fungsi dan peranan agensi penguat kuasa, tetapi juga mendengar sendiri denyut nadi rakyat.
Kita bukan sekadar datang memperkenalkan APMM atau agensi KDN, tetapi kita datang membawa manfaat langsung kepada rakyat.
Antaranya:
- Perkhidmatan perubatan percuma.
- Jualan rahmah bagi meringankan kos sara hidup.
- Perkhidmatan kaunter bergerak Jabatan Pendaftaran Negara dan agensi-agensi lain.
- Dan yang paling penting, kami bawa agensi-agensi ini keluar dari pejabat, turun ke lapangan.
Saya juga telah membuat pengumuman penting pagi ini, khususnya untuk penduduk Sabah:
- Peruntukan sebanyak RM300,000 telah diluluskan kepada APMM Negeri Sabah untuk melaksanakan program-program menyantuni rakyat sepanjang tahun ini, khususnya di kawasan pedalaman dan pesisir pantai.
- KDN akan mempercepatkan proses kelulusan bagi penambahan aset dan fasiliti APMM Sabah, termasuk bot pemintas, kenderaan 4WD dan aset sokongan lain yang diperlukan untuk memperkukuh pengoperasian.
- Dalam perbincangan bersama Ketua Pengarah APMM, saya telah setuju agar unit aset khas seperti Bot Peronda Kelas 2 ditempatkan di Sabah, memandangkan kawasan perairan Sabah memerlukan kawalan rapi bagi menangani isu penyeludupan, pemerdagangan orang dan pencerobohan.
KDN juga komited menambah baik sistem pemantauan di kawasan sempadan dan pelabuhan di Sabah melalui penambahan kamera litar tertutup (CCTV) dan pengukuhan peranan RELA sebagai mata dan telinga kerajaan di lapangan.
5. Program Jelajah Wira MADANI ini akan turut diperluaskan ke seluruh Sabah termasuk ke daerah-daerah seperti Semporna, Sandakan, Tawau dan lain-lain.
Ini bukan sekadar acara simbolik, tetapi komitmen berterusan kerajaan untuk memastikan setiap rakyat Sabah — termasuk yang tinggal jauh dari pusat bandar — mendapat akses kepada perkhidmatan kerajaan, merasa dilindungi dan dilayani seadilnya.
Saya percaya, dengan pendekatan mendekati rakyat, menyantuni komuniti dan mendengar keluhan mereka, kita dapat membina keyakinan rakyat kepada agensi penguat kuasa dan kerajaan keseluruhannya.
Sebelum saya mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengucapkan syabas kepada semua warga APMM Sabah yang telah bertungkus-lumus menjayakan program ini, serta kepada semua agensi yang turut serta memberikan khidmat dan sokongan.
Terima kasih juga kepada rakyat Kota Belud atas sambutan luar biasa pada pagi ini.
Insya-Allah, kita akan terus melangkah ke hadapan — mendekati rakyat, memperkukuh keselamatan dan membina negara MADANI yang adil dan sejahtera.
Sekian, wabillahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Ruangan Komen: