December 13, 2025

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Salam sejahtera dan salam Malaysia Madani.

Pengerusi majlis, terima kasih.

Saya mulakan dengan mengalu-alukan saudara Ridwan Abdul Ghaffar, Timbalan Pengarah Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Negeri Kedah. Dimaklumkan Pengarah berada di Langkawi dan menyampaikan salam kepada semua hadirin dengan lafaz Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Saya juga mengalu-alukan Pegawai Daerah Kulim, Tuan Yazlan Sunardi Yahya, wakil-wakil daripada Pejabat Daerah dan Tanah, Jabatan Kerja Raya, Pejabat Kewangan Negeri Kedah, rakan-rakan agensi kerajaan, pemimpin masyarakat, para guru, ibu bapa, dan anak-anak yang saya kasihi sekalian. Terima kasih kepada Cikgu Madi, Cikgu Samsol, serta semua pihak yang bertungkus-lumus menjayakan program ini.

Hadirin yang saya muliakan,

Sekolah akan mula bercuti pada 18 bulan ini dan akan dibuka semula pada 13 bulan 1 tahun hadapan. Setiap kali menjelang pembukaan sekolah, ibu bapa berhadapan dengan keperluan menyediakan pakaian, kasut, beg, dan kelengkapan persekolahan. Jika seorang anak, mungkin masih terkawal, tetapi jika anak ramai, bebannya sangat besar. Sebab itulah program seperti ini sangat penting. Ia bukan sekadar bantuan fizikal, tetapi satu isyarat bahawa masyarakat dan kerajaan tidak membiarkan ibu bapa berjuang sendirian. Dalam konteks ini, saya ingin mengingatkan diri saya dan kita semua kepada pesan Nabi Muhammad SAW yang sangat jelas dan tegas:

“Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap kamu akan dipertanggungjawabkan atas apa yang dipimpinnya.”

Seorang bapa adalah pemimpin kepada keluarganya. Seorang ibu adalah pemimpin kepada anak-anaknya. Guru memimpin murid. Kerajaan memimpin rakyat. Maka tanggungjawab memastikan anak-anak mendapat pendidikan yang sempurna adalah amanah bersama yang akan dipersoalkan kelak.

Hadirin sekalian,

Program ini dapat dilaksanakan kerana empat perkara utama.

  1. Pertama, kerajaan yang adil dan bertanggungjawab. Keamanan dan kestabilan negara membolehkan kita merancang masa depan anak-anak dengan tenang. Kita bersyukur kerana negara kita berada dalam keadaan aman, tidak seperti sesetengah negara jiran yang sedang berdepan konflik sehingga ratusan ribu rakyat kehilangan tempat tinggal dan peluang pendidikan.
  2. Kedua, golongan berkemampuan yang murah hati dan dermawan. Saya merakamkan penghargaan kepada Pasar Raya Sakan dan Datuk Umar, yang tampil menyumbangkan kelengkapan persekolahan. Apabila rezeki dikongsi, ia menjadi asbab keberkatan, bukan sahaja kepada penerima tetapi juga kepada pemberi.
  3. Ketiga, orang berilmu yang berkongsi ilmu. Kita mendapat manfaat daripada pengisian yang disampaikan oleh PU Rahmat, yang mengingatkan anak-anak tentang nilai amanah, disiplin dan akhlak. Ilmu bukan sekadar untuk lulus peperiksaan, tetapi untuk membentuk peribadi dan sahsiah.
  4. Keempat, rakyat yang mendoakan kebaikan. Apabila kerajaan menjalankan amanah, orang kaya berkongsi rezeki, ilmuwan menyampaikan ilmu, dan rakyat mendoakan kebaikan, maka lahirlah sebuah masyarakat yang kuat dan seimbang.
  5. Saya ingin menegaskan dengan jelas: tidak boleh ada seorang pun anak di Kulim, di Kedah, atau di mana-mana sahaja yang tercicir daripada persekolahan hanya kerana tidak mampu. Jika ada keluarga yang menghadapi kesukaran, maklumkan kepada guru, JPKKP, pemimpin setempat, atau pusat khidmat. Kita akan cari jalan penyelesaian bersama.

Ini bukan ihsan semata-mata. Ini adalah tanggungjawab. Sebagaimana pesan Nabi SAW lagi:

“Tidak beriman seseorang itu sehingga dia mengasihi saudaranya sebagaimana dia mengasihi dirinya sendiri.”

Mengasihi anak-anak orang lain dengan memastikan mereka berpeluang belajar adalah sebahagian daripada iman dan nilai kemanusiaan. Ke hadapan, kita bukan sahaja mahu membantu dari segi kelengkapan persekolahan, tetapi juga memastikan anak-anak yang cemerlang selepas SPM tidak terhalang melanjutkan pengajian kerana masalah kewangan. Prinsip kita jelas: jangan ada anak yang terkandas pendidikan kerana kemiskinan. Akhir kata, saya merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat, kepada ibu bapa yang terus berusaha, para guru yang mendidik tanpa jemu, dan anak-anak yang akan memulakan sesi persekolahan baharu.

Dengan lafaz bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan Program Kembali ke Sekolah 2026. Semoga Allah SWT mengurniakan rahmah, barakah dan keampunan kepada kita semua.

Sekian,
Wabillahi taufik wal hidayah,
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Ruangan Komen:

Loading...