RUU Perlembagaan Mengenai Kewarganegaraan: Komitmen Kita Terhadap Masa Depan Negara - Saifuddin Nasution
November 28, 2024

Pada 17 Oktober 2024, saya berdiri di Dewan Rakyat untuk menggulung perbahasan mengenai Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 yang menyentuh isu kewarganegaraan.

RUU ini bukan sekadar dokumen perundangan biasa, tetapi ia juga melambangkan hasrat kita untuk menjadi sebuah negara yang menghormati hak asasi manusia, memperjuangkan kesaksamaan dan mengukuhkan asas perpaduan nasional.

Saya amat bersyukur dan menghargai sokongan yang diberikan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat terhadap pindaan ini, termasuk daripada blok Pembangkang. Keputusan ini membuktikan bahawa isu berkaitan hak asasi dan masa depan rakyat rakyat dan negara sebenarnya mampu menyatukan kita semua, tanpa mengira ideologi politik.

Ini sekali gus menggambarkan betapa demokrasi di negara kita kini semakin matang. Wakil rakyat dari blok Kerajaan dan pembangkang mampu untuk berhujah dengan baik dan akhirnya mencari titik tengah demi mengutamakan kemaslahatan rakyat secara keseluruhannya.

Dalam pindaan RUU Perlembagaan yang cukup bersejarah itu, salah satu daripada elemen pentingnya adalah pengiktirafan kewarganegaraan bagi anak-anak yang lahir di luar negara kepada ibu rakyat Malaysia. Sebelum ini, Perlembagaan kita hanya mengiktiraf kewarganegaraan secara automatik kepada anak-anak yang lahir di luar negara jika bapa mereka adalah rakyat Malaysia.

Peruntukan seperti ini yang kita warisi sejak daripada zaman British lagi jelas tidak adil, tidak relevan dan bertentangan dengan prinsip kesaksamaan gender yang kita junjung.

Ibu rakyat Malaysia yang berkahwin dengan warganegara asing sering terpaksa berhadapan dengan proses yang panjang dan rumit untuk mendapatkan kewarganegaraan bagi anak-anak mereka.

Proses ini bukan sahaja membebankan, tetapi juga memberikan kesan emosi yang mendalam kepada keluarga-keluarga ini. Dalam kes tertentu, ada anak-anak yang terpaksa membesar tanpa kewarganegaraan, yang akhirnya menjejaskan peluang mereka untuk mendapatkan pendidikan, pekerjaan, dan kehidupan yang stabil.

Pindaan ini mengiktiraf hak ibu sebagai warganegara penuh yang mempunyai kedudukan sama rata dengan bapa. Ia juga sejajar dengan prinsip Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), yang mana Malaysia adalah salah satu negara pihak.

Melalui pindaan ini, kita menunjukkan kepada dunia bahawa kita komited untuk memastikan wanita dilayan secara adil, tanpa diskriminasi. Langkah ini juga memberi mesej bahawa kita memandang tinggi sumbangan dan pengorbanan kaum ibu dalam membesar serta membentuk generasi akan datang.

Dalam prinsip keadilan, kewarganegaraan bukan sahaja soal status undang-undang, tetapi juga simbol ikatan yang mendalam antara rakyat dan negara. Seperti yang pernah dinyatakan oleh ahli falsafah terkemuka, Aristotle, Man is by nature a political animal. Ini sekali gus membawa maksud manusia adalah makhluk sosial yang memerlukan hubungan dengan negara dan masyarakat di sekelilingnya.

Dan kewarganegaraan adalah instrumen yang menyatukan individu dengan negara mereka. Ia memberikan mereka hak, identiti dan tanggungjawab yang membolehkan mereka mengambil bahagian dalam kehidupan sosial dan politik negara.

Dengan pindaan ini, negara kita mengambil satu langkah yang berani dalam memastikan bahawa setiap individu yang berhak mendapat kewarganegaraan tidak akan dinafikan hak mereka berdasarkan gender atau latar belakang keluarga mereka.

Ini juga pasti memberi keyakinan kepada semua rakyat Malaysia bahawa mereka dihargai tanpa mengira tempat kelahiran atau status perkahwinan ibu bapa mereka.

Selain daripada itu, pindaan ini juga mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai negara yang menghormati prinsip-prinsip kemanusiaan dan kesaksamaan. Sebagaimana yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat, setiap individu berhak untuk dikenali sebagai warganegara dan menikmati hak yang sama rata.
Dengan menjadikan deklarasi antarabangsa itu sebagai panduan, Malaysia terus bergerak ke arah matlamat untuk menjadi negara yang adil, inklusif dan berdaya saing sesuai dengan aspirasi Malaysia Madani yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, Dato’ Sri Anwar Ibrahim.

Apa pun, saya terpaksa akui bahawa perjalanan untuk menggubal dan meluluskan RUU ini bukanlah sesuatu yang mudah. Proses perundangan ini memerlukan perdebatan, perbincangan dan libat urus dengan semua pihak yang terlibat. Walaupun terdapat beberapa pandangan berbeza yang dikemukakan dalam Dewan Rakyat, saya yakin bahawa matlamat bersama untuk memastikan keadilan dan kesaksamaan dalam masyarakat akan sentiasa menjadi dasar asas kita.

Sebagai sebuah negara demokrasi, perbezaan pandangan adalah sesuatu yang sihat dan perlu. Namun, yang lebih penting adalah kesepakatan kita dalam memperjuangkan hak yang adil dan saksama untuk semua rakyat Malaysia. Proses ini membuktikan bahawa walaupun berbeza pendapat, kita dapat bersatu hati untuk memastikan negara ini terus maju dan berkembang.

Justeru, sebagai individu yang diberi amanah dan tanggungjawab untuk menggangotai Kabinet, saya sering bertanya kepada diri sendiri, apakah warisan atau legasi yang ingin kita tinggalkan untuk generasi akan datang? Apakah kita akan dikenang sebagai sebuah generasi yang mengambil langkah-langkah berani untuk memastikan negara kita adil, aman dan sejahtera? Atau adakah kita akan dikenang sebagai sebuah generasi yang gagal dalam memperjuangkan kesaksamaan dan keadilan?

Untuk itu, suka untuk saya menarik perhatian pembaca semua untuk menghayati kata-kata dari seorang tokoh falsafah Perancis iaitu Voltaire. Kata-kata beliau yang memberi kesan kepada saya ialah With great power comes great responsibility.

Sebagai seorang yang memegang tanggungjawab yang cukup besar untuk rakyat dan negara, kata-kata itu mengingatkan saya bahawa setiap tindakan serta keputusan yang diambil dalam menggubal undang-undang akan memberi impak langsung kepada kehidupan rakyat.

Sebab itulah, dalam mencadangkan pindaan RUU Perlembagaan ini, saya dan barisan kepimpinan serta pegawai KDN yang terlibat melakukannya dengan penuh berhati-hati dan teliti. Kami ambil kira dari segenap aspek dan ia tidak dilakukan secara semborono sahaja. Kami sedar bahawa, setiap keputusan yang dibuat hari ini akan membentuk masa depan negara.

Secara rumusannya, yakin dan percayalah bahawa kami di KDN telah berusaha melakukan yang terbaik. Niat serta matlamat kami dalam pindaan RUU Kewarganegaraan ini hanyalah untuk pastikah hak setiap rakyat terbela. Kami lakukan yang terbaik demi rakyat dan negara yang kami cintai ini.

Saya berpegang pada prinsip, dengan keberanian kita hari ini, kita akan membina asas untuk masa depan negara yang lebih baik, lebih adil dan lebih makmur. Keadilan yang kita perjuangkan hari ini akan menjadi asas kepada keamanan dan kemakmuran negara di masa hadapan.

Semoga usaha kita ini akan sentiasa mendapat keredhaan Allah Subhanahu Wa Ta’ala. Dan segala apa yang kita rancang ini akan mencapai matlamatnya untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang adil, saksama, aman dan makmur hari ini serta untuk generasi akan datang. Amin Ya Rabbal Alamin.

Saifuddin Nasution
12 November 2024

Ruangan Komen:

Loading...