Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh,
Salam sejahtera dan salam Malaysia MADANI.
Yang berusaha Pengetua, Cikgu Ridwan Abdul Rani, barisan guru, ibu bapa, para pelajar, pegawai-pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), serta semua hadirin yang saya hormati sekalian.
Terlebih dahulu, saya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas jemputan untuk bersama-sama dalam majlis sambutan Hari Pendaftaran Negara pada hari yang penuh bermakna ini. Saya berasa amat terhormat kerana dapat bersama warga sekolah yang hebat, dan seperti disebut oleh Cikgu Ridwan tadi — sekolah ini antara sekolah terbaik di negara ini. Tahniah diucapkan.
Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua warga Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) atas komitmen mereka dalam memastikan urusan pendaftaran negara berjalan dengan lancar dan berintegriti. JPN bukan sekadar jabatan yang mengeluarkan dokumen rasmi, tetapi merupakan institusi penting yang menjaga identiti, status kewarganegaraan, dan rekod sah warganegara Malaysia sejak lahir hingga ke akhir hayat.
Aspirasi Kepimpinan Negara
Hadirin sekalian,
Izinkan saya berkongsi sedikit aspirasi pimpinan negara, khususnya YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang kini menerajui pentadbiran negara dengan visi yang sangat jelas dan berpaksikan kepada empat impian besar:
- Menjamin kestabilan politik negara.
Tanpa kestabilan politik, negara tidak akan mampu merancang pembangunan, melaksanakan dasar, atau menarik pelaburan. Oleh itu, kerajaan MADANI memberi keutamaan kepada kestabilan politik yang kukuh supaya urusan pentadbiran dan ekonomi dapat berjalan dengan lancar. - Meningkatkan kemakmuran ekonomi.
Perdana Menteri berhasrat memastikan ekonomi negara bukan sahaja berkembang dari segi angka pendapatan nasional, tetapi turut meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat. Beliau menekankan konsep menaikkan “lantai” pendapatan rakyat agar tidak ada golongan yang tertinggal.
Malaysia sebagai negara perdagangan perlu kekal kompetitif dan menarik pelabur asing — sama ada di selatan melalui Johor-Singapore Economic Zone, di utara melalui Kulim High-Tech Park dan Bayan Lepas, mahupun di Lembah Klang yang menjadi nadi utama ekonomi negara.
- Memperkukuh tadbir urus dan integriti pentadbiran.
Kerajaan menegaskan bahawa perbelanjaan negara mesti telus, bebas daripada penyelewengan, pembaziran dan rasuah. Inilah maksud sebenar amalan good governance.
Hasil tata kelola yang baik, hanya dalam tempoh dua tahun (2024–2025), agensi penguatkuasaan seperti PDRM, SPRM, MyCC dan KPDN berjaya meningkatkan kutipan hasil kerajaan sebanyak RM15 bilion, tanpa perlu menambah cukai baru. - Mengagihkan kekayaan negara secara adil kepada rakyat.
Hasil daripada pengurusan fiskal yang baik, kerajaan memperkenalkan dasar subsidi bersasar (targeted subsidy) yang lebih efisien — memastikan bantuan sampai kepada yang benar-benar layak.
Hasil penjimatan RM15 bilion daripada reformasi subsidi dan tadbir urus, kerajaan menyalurkan kembali lebih RM30 bilion kepada rakyat melalui inisiatif tunai, subsidi elektrik, bantuan pendidikan dan program kebajikan rakyat.
Perdana Menteri turut mengarahkan setiap menteri turun padang, berinteraksi dengan rakyat dan mendengar sendiri keluhan mereka. Prinsip beliau jelas — pemimpin tidak boleh selesa di pejabat, tetapi mesti dekat dengan rakyat.
Malaysia dan Reputasi Antarabangsa
Hadirin sekalian,
Malaysia hari ini kekal dihormati di peringkat antarabangsa. Tahun ini, negara kita akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN, yang menghimpunkan 26 ketua negara dunia di Kuala Lumpur.
Selain 10 negara anggota ASEAN, kita juga bakal mengumumkan keanggotaan baharu iaitu Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN. Ini merupakan satu pengiktirafan kepada peranan Malaysia yang aktif dalam memperjuangkan keamanan dan kerjasama serantau.
Turut hadir nanti ialah pemimpin-pemimpin besar dunia seperti Presiden India dan Presiden Afrika Selatan, serta beberapa ketua negara lain termasuk Amerika Syarikat.
Hadirin sekalian, prinsip diplomasi Malaysia adalah jelas — kita tidak menyokong kezaliman, tetapi kita terbuka untuk berunding dan berbincang atas dasar kemanusiaan dan keamanan sejagat.
Sebagaimana firman Allah SWT kepada Nabi Musa dan Nabi Harun agar berdialog dengan Firaun secara berhikmah, begitu juga prinsip Malaysia dalam mendepani perbezaan di peringkat antarabangsa.
Kita berpegang kepada prinsip berunding bukan bererti berkompromi dalam prinsip.
Dalam hal isu Palestin dan Gaza, Malaysia tetap teguh mempertahankan pendirian bahawa penindasan mesti dihentikan, bantuan kemanusiaan mesti disalurkan, dan tawanan perang mesti dibebaskan.
Setiap kali wujud penahanan terhadap rakyat Malaysia oleh tentera Israel, Wisma Putra menggunakan saluran diplomatik rasmi untuk memastikan pembebasan segera — dan Alhamdulillah, dalam tempoh 48 jam, mereka berjaya dibebaskan.
Peranan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)
Tuan-tuan dan puan-puan,
Kita raikan hari ini bukan sekadar sebagai sambutan simbolik, tetapi sebagai penghargaan kepada peranan besar JPN dalam menjaga ketertiban identiti rakyat Malaysia.
Urusan pendaftaran kelahiran, perkahwinan, kematian, serta pengeluaran dokumen pengenalan diri semuanya di bawah tanggungjawab JPN. Jabatan ini memainkan peranan besar dalam memastikan setiap rakyat Malaysia mempunyai dokumen sah dan diiktiraf di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Dalam dunia global hari ini, perkahwinan campur semakin meningkat — rakyat Malaysia berkahwin dengan warga asing dari pelbagai negara seperti Amerika, Sudan, Arab Saudi, Australia dan sebagainya.
Sebelum pindaan dibuat, anak yang lahir di luar negara daripada ibu warganegara Malaysia tetapi bapa warga asing tidak secara automatik mendapat kerakyatan Malaysia.
Kini, kerajaan MADANI telah melaksanakan pindaan Perlembagaan supaya anak yang lahir daripada ibu rakyat Malaysia di luar negara secara automatik diiktiraf sebagai warganegara Malaysia.
Ini satu langkah penting bagi menegakkan keluhuran Perlembagaan dan prinsip keadilan kepada rakyat.
Bagi pasangan rakyat Malaysia yang berkahwin dengan warga asing dan menetap di Malaysia, Perlembagaan juga membenarkan permohonan kewarganegaraan —
- Untuk suami warga asing, permohonan dibuat di bawah Perkara 19;
- Untuk isteri warga asing, di bawah Perkara 15.
Semua permohonan ini mesti diproses mengikut undang-undang, iaitu Kaedah-Kaedah Warganegara 1964 dan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian.
Di KDN, kami berpegang pada prinsip mudah:
“Do the right thing — buat perkara yang betul, berpandukan Perlembagaan dan undang-undang.”
Kami tidak akan meluluskan sesuatu yang bercanggah dengan undang-undang. Jika sah, kita lulus; jika tidak, kita tolak. Begitulah prinsip kerja kita.
Peranan Agensi-Agenasi di Bawah KDN
Hadirin yang dihormati,
Selain JPN, Kementerian Dalam Negeri juga menaungi beberapa agensi besar lain:
- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM)
Bertanggungjawab mengawal pintu masuk negara dan menangani isu pendatang asing tanpa izin (PATI).
Setiap tahun, beratus ribu operasi dilaksanakan bagi menangani isu ini.
- Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)
Diterajui oleh Datuk Roslan, AADK bertanggungjawab memulihkan penagih dadah dan melaksanakan program komuniti.
Malah, ada antara penghuni penjara di bawah AADK dan Jabatan Penjara berjaya menghafaz Al-Quran 30 juzuk semasa menjalani hukuman.
- Jabatan Penjara Malaysia
Menempatkan lebih 87,000 banduan di 41 institusi penjara di seluruh negara.
Program pendidikan dan pemulihan dilaksanakan bagi memberi peluang kedua kepada mereka untuk kembali ke pangkuan masyarakat.
- Pasukan RELA Malaysia
Dipimpin oleh saudara Lokman Effendi, RELA ialah pasukan kesukarelawanan yang memainkan peranan penting dalam aktiviti keselamatan komuniti serta program kebajikan masyarakat di bawah semangat MADANI.
- Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Penerbitan (KDN)
Diterajui oleh Cik Nik, bahagian ini bertanggungjawab memastikan bahan bacaan dan penerbitan tidak melanggar nilai moral dan akidah.
Mereka turut memastikan al-Quran yang diterbitkan mematuhi standard semakan panel pakar dan filem yang ditayangkan tidak bercanggah dengan undang-undang negara.
Inilah keluasan tanggungjawab KDN. Dari pendaftaran rakyat, kawalan sempadan, pemulihan sosial, keselamatan komuniti hingga ke pemantauan penerbitan — semuanya berada di bawah satu kementerian.
Ia bukan tugasan kecil, tetapi satu amanah besar yang menuntut integriti, kebijaksanaan dan keikhlasan.
Penutup
Hadirin yang saya muliakan,
Majlis ini bukan sekadar perayaan sambutan Hari Pendaftaran Negara, tetapi juga lambang penghargaan kepada semua warga JPN, warga sekolah dan masyarakat yang sentiasa mendokong usaha kerajaan dalam membina negara yang berintegriti, inklusif dan berdaya saing.
Saya mengambil kesempatan ini untuk mengumumkan sedikit sumbangan bernilai RM25,000 kepada pihak sekolah sebagai tanda sokongan saya terhadap usaha mendidik dan membangunkan generasi berilmu dan berakhlak.
Cikgu, sila kemukakan surat permohonan rasmi sebelum bulan November ini untuk urusan saluran sumbangan tersebut.
Akhir kata, marilah kita terus bersama menjunjung amanah, mengukuhkan perpaduan, dan memperkasakan semangat Malaysia MADANI. Semoga Allah SWT memberkati segala usaha kita dalam memastikan keamanan dan kesejahteraan negara terus terpelihara.
Sekian, terima kasih.
Wabillahi taufiq wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.







Ruangan Komen: