Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Alhamdulillahi alladhi anzala ‘ala ‘abdihil kitab wa lam yaj’al lahu ‘iwaja. Arsalahu bil huda wa dinil haq, liyuzhirahu ‘ala ad-dini kullih, wa kafa billahi syahida.
Ampun Tuanku, beribu-ribu ampun, sembah patik mohon diampun menghadap Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafuddin Badlishah Ibni Al-Aminul Karim Sultan Salahuddin, Tuanku Raja Muda Kedah. Patik memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT atas limpah kurnia-Nya, dan seterusnya menjunjung setinggi-tinggi kasih atas perkenan Kebawah Duli Yang Teramat Mulia Tuanku berangkat mencemar duli ke majlis yang penuh makna ini serta berkenan menyempurnakan titah ucapan pembukaan Seminar Menangani Gejala Dadah dan Apresiasi Kepulihan AADK Tahun 2020–2025.
Daulat Tuanku. Patik mohon perkenan untuk mengalu-alukan tetamu kehormat serta sekaliannya yang hadir, dan seterusnya menyembahkan ucapan patik.
Yang Berhormat Datuk Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah.
Yang Berhormat Datuk Seri Haji Norizan Qazali, Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah.
Bagi pihak Kementerian Dalam Negeri pagi ini turut hadir Datuk Haji Abdul Halim Abdul Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN.
Yang Berbahagia Datuk Roslan Yusuf, Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan.
Sekalian tetamu kehormat dan hadirin yang dimuliakan.
Tuanku, patik memilih untuk tidak mengikuti teks sepenuhnya; memadai untuk patik menyampaikan tiga perkara utama.
Pertama, rasa syukur, hormat dan kasih patik atas kesediaan Tuanku hadir ke acara ini, susulan pertemuan patik menghadap Tuanku di Istana Kedah beberapa bulan lalu. Dalam perbincangan lebih dua jam itu, tiga perkara utama disentuh. Pertama, keprihatinan Tuanku untuk mengetahui keadaan keselamatan dalam negara. Kedua, isu kebajikan rakyat, khususnya bagaimana kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Kedah dapat memberikan manfaat kepada rakyat negeri Kedah. Ketiga, cadangan Tuanku agar satu perkara besar yang memberi kesan langsung kepada rakyat diketengahkan. Atas cadangan Tuanku juga, tema ancaman dadah dipilih sebagai fokus utama seminar ini.
Sejak jam 10 pagi sehingga saat ini, Tuanku berkenan berada di bilik sebelah bagi meneliti lima pembentangan serentak, di samping pengisian yang berlangsung di dewan ini. Semua pembentangan tersebut membawa mesej yang sama iaitu bagaimana kita dapat menangani persoalan dadah secara bersama.
Daripada aspek kawalan dan pembanterasan, Bukit Aman melalui Jabatan Narkotik telah membentangkan senario global, serantau ASEAN serta domestik, khususnya di negeri Kedah. Namun apabila bekalan terlepas, AADK di bawah kerajaan negeri memainkan peranan memulihkan mereka yang terjebak agar kembali ke pangkuan masyarakat. Bagi maksud itu, Parlimen memperuntukkan tidak kurang RM500 juta setahun kepada AADK untuk melaksanakan mandat utamanya.
Walau bagaimanapun, usaha ini tidak boleh digerakkan secara bersendirian. Hampir 55 pusat pemulihan swasta seluruh negara turut memainkan peranan penting. Sebab itulah pembentangan rakan-rakan daripada sektor swasta seperti Prof. Dr. Prem—sahabat baik Tuanku—dan kumpulan doktor profesional MEGA turut memberikan gambaran sebenar. MEGA telah menggerakkan program berasaskan institusi masjid sejak 2011 dan menerima pengiktirafan antarabangsa.
Tadi dicadangkan agar diwujudkan satu projek rintis pertama di Kedah dengan menggabungkan KDN, AADK, Kerajaan Negeri serta sokongan Tuanku. Patik percaya ramuan untuk melaksanakan projek ini sudah lengkap dan sekiranya diperkenankan, kita boleh mulakan seawal suku pertama tahun hadapan. Tuanku, sudah lebih empat dekad kita membincangkan masalah dadah. Yang dinantikan kini bukan lagi cerita masalah, tetapi ikhtiar baharu. Jika kita terus menggunakan kaedah yang sama tetapi mengharapkan hasil yang berbeza, ia mustahil berlaku. Kita perlu menawarkan kelainan.
Zaman “government knows best” sudah berakhir. Kini, masanya untuk kita berganding bahu. Sebab itulah patik amat menghargai keprihatinan tinggi Tuanku serta konsensus yang dicapai dalam perbincangan di Holding Room bersama Yang Amat Berhormat Menteri Besar.
Kedua, patik ingin merakamkan penghargaan atas pembentangan daripada Pusat Racun Negara, Universiti Sains Malaysia. Pembentangan tersebut membuka mata kita terhadap penemuan bahan dan racun baharu yang berkembang lebih cepat daripada kemampuan undang-undang mengawalnya. Jenayah, dadah dan racun baharu tidak statik; undang-undang juga tidak boleh statik. Tuanku mencadangkan agar pindaan undang-undang bersifat generik tetapi mencakupi maksud sebenar peraturan kerana sekiranya kita menunggu kesempurnaan, akan sentiasa wujud ruang untuk dibolosi.
Isu vape turut disentuh. Peranti vape itu sendiri tidak berbahaya, tetapi cecairnya merupakan industri bernilai berbilion ringgit dan berada dalam sektor yang tidak dikawal. Belum sempat isu vape reda, syarikat rokok dunia sudah mengeluarkan ICOS—produk tembakau tanpa pembakaran, hanya pemanasan. Tagline mereka: “If you don’t smoke, don’t start. If you smoke, try to quit. If you can’t, switch to our product.” Sama ada ia selamat atau tidak, belum kita ketahui. Ini satu cabaran baharu yang memerlukan kesiapsiagaan kementerian.
Ketiga, kepada semua pihak yang terlibat dalam seminar ini, patik berdoa agar segala usaha ini menjadi amal jariah yang diterima Allah SWT—dengan niat memperbetul masyarakat, keluarga dan negara agar menjadi negeri yang baik untuk didiami.
Patik akhiri dengan memetik firman Allah SWT:
“…Dan sekiranya penduduk sesuatu negeri itu beriman dan bertakwa kepada-Ku,” kata Allah, “nescaya akan Aku limpahkan keberkatan dari langit dan bumi.”
Demikianlah sembah ucapan patik. Sebelum mengundur diri, patik bagi pihak Kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri merafatkan sembah menjunjung setinggi-tinggi kasih atas limpah perkenan Tuanku mencemar duli berangkat ke majlis pada hari ini.
Semoga Tuanku serta seluruh kerabat diraja sentiasa berada dalam lindungan Allah SWT, dikurniakan kesihatan, rahmah dan keberkatan.
Wa bilahi taufiq wal hidayah.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.







Ruangan Komen: