SIDANG MEDIA MENTERI DALAM NEGERI SEMPENA MESYUARAT MENTERI-MENTERI ASEAN MENGENAI JENAYAH RENTAS SEMPADAN KE-19 (AMMTC) PADA 11 SEPTEMBER 2025, MELAKA - Saifuddin Nasution
September 11, 2025

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

1. Pendirian Kerajaan Terhadap Perhimpunan dan Insiden OCPD Dang Wangi

Saya ingin memulakan sidang media ini dengan merujuk kepada insiden Ketua Polis Daerah Dang Wangi yang cedera akibat lontaran batu dalam satu perhimpunan pagi tadi.

Kerajaan MADANI kekal komited kepada prinsip menghormati hak rakyat untuk berhimpun secara aman, sebagaimana dijamin dalam Perlembagaan. Berdasarkan rekod, hampir 98% permohonan berhimpun telah difasilitasi oleh pihak polis dalam tiga tahun kebelakangan ini.

Namun, kebebasan berhimpun mesti disertai tanggungjawab. Perbuatan mencederakan penjawat awam adalah satu jenayah. Saya mengecam insiden tersebut dan telah mengarahkan Ketua Polis Negara mengambil tindakan segera dan tegas. Jika terbukti wujud elemen politik oportunis yang menunggang isu ini untuk menghasut atau menyebar kebencian, tindakan akan diambil mengikut undang-undang.

 

2. Keputusan Utama AMMTC ke-19

Sidang AMMTC ke-19 telah membuat keputusan menggugurkan dua bidang keutamaan iaitu perlanunan maritim dan jenayah ekonomi antarabangsa. Sebaliknya, bidang jenayah siber diperluas, khususnya berkaitan penipuan dalam talian (online scam).

 

3. Pelan Tindakan ASEAN 2026–2035

Mesyuarat sebulat suara menerima dokumen ASEAN Plan of Action 2026–2035, yang menetapkan hala tuju serantau dalam menangani jenayah rentas sempadan untuk satu dekad akan datang.

 

4. Penubuhan SOMTC Working Group on Money Laundering

Malaysia telah mengusulkan dan kini menerajui penubuhan kumpulan kerja di bawah Senior Officials Meeting on Transnational Crime (SOMTC) berkaitan pengubahan wang haram. Inisiatif ini dilaksanakan bersama Bank Negara Malaysia, PDRM, UNODC, dan organisasi lain.

Mesyuarat pertama dijangka berlangsung pada tahun 2026.

 

5. Tiga Deklarasi Utama AMMTC

Sidang AMMTC ke-19 turut meluluskan tiga deklarasi berikut:

  • Melaka Declaration on Combating Transnational Crime
  • ASEAN Declaration on Countering People Smuggling in Southeast Asia
  • ASEAN Declaration on Combating Cybercrime and Online Scams    

 

6. Tiga Deklarasi Peringkat Pemimpin ASEAN

Tiga deklarasi akan dibawa ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 pada Oktober 2025:

  • ASEAN Leaders’ Declaration on Combating Money Laundering (Malaysia sebagai pencadang)
  • ASEAN Leaders’ Declaration on Enhanced Cooperation in Locating and Arresting Criminal Fugitives (dicadangkan Vietnam)
  • ASEAN Leaders’ Declaration on the Use of Sports for Preventing Violent Extremism (dicadangkan Indonesia)

 

7. Sesi Terbuka Bersama Rakan Dialog: UNODC, AIPA dan Meta

Tiga organisasi luar diundang menyertai Open Session AMMTC ke-19:

  • UNODC menyeru penglibatan lebih erat dengan “Lead Shepherd” dan rakan dialog ASEAN (Korea, Jepun, China), serta menyarankan perluasan platform pembangunan kapasiti.
  • AIPA (ASEAN Inter-Parliamentary Assembly) menyeru kerjasama legislatif-eksekutif dalam menggubal undang-undang berkaitan jenayah rentas sempadan.
  • Meta melaporkan bahawa kerugian global akibat penipuan dalam talian mencecah USD1 trilion setahun, dan mengaitkannya dengan jenayah pemerdagangan orang dan paksaan kerja.

 

8. Statistik Kerugian Penipuan Dalam Talian

Menurut UNODC (2023), jumlah kerugian di Asia Timur dan Asia Tenggara akibat penipuan dalam talian dianggarkan antara USD18 bilion hingga USD37 bilion. Di Malaysia, Majlis Sosial Negara melaporkan anggaran kerugian sekitar RM1.5 bilion.

 

9. Kerjasama ASEAN Plus Tiga: China, Jepun dan Korea

  • Malaysia dan China bersetuju menerima SOMTC Plus China Work Plan 2024–2028, dengan fokus kepada kepakaran China dalam AI, analisis data besar dan sistem pemantauan keselamatan.
  • Sidang bersama Jepun menumpukan kepada usaha menangani penyeludupan manusia.
  • Sidang bersama Korea menumpukan kepada tiga perkara: keselamatan awam, kerjasama maritim, dan pengurusan isu penyalahgunaan dadah.

 

10. Malaysia–Korea Selatan: Fokus Kerjasama Baharu

Tiga tonggak perbincangan Malaysia–Korea ialah:

  • Pengukuhan kerjasama keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang
  • Pemeteran Memorandum Persefahaman (MoU) khusus antara APMM dan agensi maritim Korea
  • Perbandingan strategi menangani penyalahgunaan dadah—Malaysia berkongsi pengalaman dalam pengalihan dari dadah konvensional kepada dadah sintetik

 

11. Rasional Pengguguran Isu Perlanunan dari Keutamaan

Perlanunan masih wujud tetapi tidak lagi menjadi ancaman utama berbanding penipuan dalam talian. Contohnya, sejak Januari 2020, tiada lagi insiden penculikan untuk tebusan di perairan Sabah. Justeru, keutamaan diberikan kepada ancaman yang lebih mendesak.

 

12. Konsensus ASEAN & Cadangan Perluasan Rakan Dialog

Kesemua deklarasi dan pelan tindakan ASEAN diterima melalui proses konsensus, prinsip utama dalam setiap keputusan ASEAN. Setiausaha Agung ASEAN turut mencadangkan agar keanggotaan rakan dialog ASEAN (kini hanya Korea, China dan Jepun) diperluaskan untuk memanfaatkan kepakaran serta sokongan kewangan dan teknikal negara-negara lain.

 

13. Penyerahan Kepengerusian kepada Filipina

Secara simbolik, saya telah menyerahkan kepengerusian AMMTC kepada Republik Filipina, dengan penyerahan tengkolo (headgear) sebagai simbol rasmi. Filipina akan menjadi tuan rumah AMMTC seterusnya pada tahun 2026.

 

Sekian, terima kasih.

Ruangan Komen:

Loading...