TEKS VERBATIM DIPERKEMAS
SIDANG MEDIA
YB DATUK SERI SAIFUDDIN NASUTION BIN ISMAIL
MENTERI DALAM NEGERI
SIDANG MEDIA SELEPAS MAJLIS MENANDATANGANI KONTRAK PEROLEHAN MULTI-PURPOSE MISSION SHIP (MPMS) KEDUA BAGI AGENSI PENGUATKUASAAN MARITIM MALAYSIA (APMM)
21 APRIL 2026
PUSAT PAMERAN DAN PERDAGANGAN ANTARABANGSA MALAYSIA (MITEC), KUALA LUMPUR
Baik, terima kasih rakan-rakan media.
Saya ditemani Yang Berbahagia Datuk Dr. Awang Alik Jeman, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, dan juga wakil daripada syarikat Desan Shipyard, Cenk İsmail Kaptanoğlu. Turut bersama Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah, Ketua Pengarah APMM, dan Yang Berbahagia Datuk Haji Abdul Halim Abdul Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan).
Hari ini kita menyaksikan majlis menandatangani kontrak perolehan multi-purpose mission ship yang kedua untuk digunakan oleh APMM.
Ini sebahagian daripada usaha kita untuk memperkukuhkan keupayaan APMM dalam mengawasi keselamatan maritim negara kita.
Perolehan kapal MPMS ke-2 ini telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, Rolling Plan ke-5 pada tahun 2025 dan dianugerahkan kepada Desan Shipyard yang berpengkalan di Istanbul dengan nilai 83.75 juta dolar Amerika.
Melalui kontrak perolehan ini, Desan berjanji untuk melaksanakan projek ini dalam tempoh 24 bulan bermula 1 Februari 2026. Mereka dah pun buat upacara steel cutting dan mereka punya masa sehingga 31 Januari 2028.
Kementerian Dalam Negeri mempunyai keyakinan tinggi bahawa Desan berupaya untuk menyudahkannya berasaskan kepada MPMS yang pertama yang sedang dalam pembinaan. Saya diberi faham bahawa ia telah melalui progres yang sangat baik, maknanya mendahului jadual.
Bahkan sasaran kami adalah pada penganjuran LIMA yang akan datang, MPMS yang pertama itu akan menjadi satu mercu tanda kebanggaan kerana ia siap mengikut jadual dan boleh dipamerkan.
Baik, hari ini kontrak ditandatangani oleh Datuk Ketua Setiausaha bersama dengan Desan Shipyard yang diwakili oleh Cenk İsmail Kaptanoğlu. Pada masa yang sama, Ketua Pengarah APMM turut hadir.
Surat setuju terima bagi perolehan ini sebenarnya telah kita serahkan pada 7 Januari semasa lawatan rasmi Perdana Menteri ke Ankara. Itu penyerahan surat setuju terima, kemudian kita susuli dengan menandatangani kontrak perolehan pada hari ini.
Saya sebut tadi, upacara steel cutting telah dilakukan pada 11 Februari di Desan Shipyard di Turki dan kita hantar wakil melalui telesidang. Bukan kehadiran fizikal, tetapi kita ikuti melalui dalam talian.
Baik. Saya sebut tadi, pembinaan kapal MPMS yang pertama sekarang ini sedang menunjukkan prestasi kemajuan sebanyak 70 peratus, mendahului jadual sebanyak 3 peratus. Kalau kita nak terjemah dalam bilangan hari, maknanya sekitar 21 hari mendahului jadual.
Jadi kerana prestasi ini, Kementerian Dalam Negeri optimis bahawa kapal pertama dan kapal kedua mampu disiapkan mengikut jadual.
Dan kita pun sudah maklum bahawa pemilihan syarikat dari Turki ini adalah berdasarkan pengalaman mereka dalam industri pembinaan kapal. Desan ini mempunyai tradisi pembinaan kapal yang panjang, bermula dengan membaiki kapal sebelum berkembang kepada pembinaan kapal.
Jadi kita percaya kepada keupayaan mereka untuk membantu menyiapkan aset kita.
Dan meningkatkan aset APMM ini sangat penting.
Pertama, untuk menjaga keselamatan dan juga kedaulatan perairan negara kita sebab luas. Saya selalu guna angka 590,000 kilometer persegi. Sangat luas.
Dan kita berdepan dengan pencerobohan, baik kapal asing ataupun nelayan asing. Kalau nelayan asing, maka hasil laut kita akan terjejas. Kalau kapal negara asing, itu ancaman terhadap keselamatan dan kedaulatan.
APMM ini sebab wilayah operasinya dari pantai sampai 200 batu nautika Zon Ekonomi Eksklusif.
Jadi keupayaan aset ini bermaksud keupayaan rondaan, keupayaan radar, keupayaan komunikasi, termasuk laluan Selat Melaka yang merupakan laluan penting perdagangan dunia.
Ini semua di bawah tanggungjawab APMM.
Jenayah rentas sempadan juga semakin kompleks. Penyeludupan, terutama dalam keadaan krisis global sekarang, bila bekalan terhad, harga meningkat.
Bila kita kekalkan subsidi, berlaku shifting. Misalnya diesel pada harga RM6, nelayan menikmati subsidi RM1.65, perbezaan harga itu menyebabkan bahawa kadang-kadang aktiviti penyeludupan di laut menjadi begitu meningkat.
Jadi bukan sahaja soal ancaman keselamatan dan kedaulatan, tetapi juga operasi mencari dan menyelamat atau SAR ini, itu pun tanggungjawab APMM juga.
Jadi dengan latar belakang itu, maka keputusan untuk membuat perolehan MPMS ini, yang pertama kita panggil mothership yang sepanjang 99 meter itu, ia akan menjadi aset kita yang terbaru, yang paling canggih, menyusul selepas kita siapkan KM Tun Fatimah di Pulau Indah tempoh hari.
Bila siap nanti, dua unit kapal MPMS ini akan menjalankan fungsi rondaan, pemantauan, penguatkuasaan, pencegahan termasuk operasi mencari dan menyelamat.
Jadi skop tugasannya sangat luas.
Di mana ia akan beroperasi? Seluruh kawasan maritim negara kita.
Terutama APMM punya keupayaan sebab pengalaman mereka melakukan penguatkuasaan membolehkan mereka mengumpul dan melakukan pemetaan terhadap kawasan-kawasan maritim yang terdedah kepada kegiatan jenayah dan penyeludupan.
Jadi kapal ini boleh belayar lebih lama, ada keupayaan helikopter mendarat di dek, dan dengan saiz 99 meter, kapasiti kru juga lebih besar.
Kelebihan ini meningkatkan keupayaan berbanding aset sedia ada.
Di mana ia akan ditempatkan, itu akan disusun oleh APMM berdasarkan data operasi mereka.
Misalnya kawasan yang berpotensi mudah dibolosi oleh sindiket penyeludupan.
Sebagai contoh, dalam masa terdekat saya akan ke Sabah untuk melihat sendiri kawasan sempadan maritim kita.
SOALAN MEDIA
Soalan: Adakah KDN bersetuju untuk sistem pengurusan pekerja asing baharu digunakan?
Jawapan: Apabila perkara itu dibawa ke Jemaah Menteri, KDN akan memberikan pandangan pada ketika itu.
Soalan: Berkaitan DSA?
Jawapan: DSA adalah peluang di mana pemain industri keselamatan dan pertahanan membawa produk terbaharu mereka.
Berbanding kita pergi mencari satu persatu, di sini mereka berkumpul dalam satu tempat.
Kementerian Dalam Negeri akan menilai berdasarkan perancangan strategik jangka panjang dan bukan secara ad hoc.
Soalan: Status mangsa tanpa dokumen?
Jawapan: Mangsa yang terlibat melebihi 9,000 orang dan lebih 1,000 rumah.
Kerajaan negeri Sabah bersama agensi pusat sedang menjalankan proses pendaftaran.
Keutamaan kita adalah menyediakan pusat pemindahan sementara terlebih dahulu.
Dalam proses itu, jika terdapat individu tanpa dokumen, kita akan tangani satu persatu.
KDN akan membantu mereka yang benar-benar mempunyai status warganegara termasuk menggantikan dokumen yang hilang, tetapi tidak secara pukal.
Soalan: Isu tindakan polis?
Jawapan: Sebarang tindakan penguatkuasaan oleh polis adalah berdasarkan SOP.
Saya telah menghubungi Ketua Polis Kedah untuk menyegerakan siasatan.
Kita tidak boleh membuat kesimpulan hanya berdasarkan video pendek.
Perlu dilihat keseluruhan konteks sebelum dan selepas kejadian.
Jika terdapat keperluan, Jabatan Integriti akan menilai pematuhan terhadap SOP.
Biarkan polis menjalankan siasatan terlebih dahulu.
Terima kasih.







Ruangan Komen: