SIMPOSIUM KECERDASAN BUATAN TRANSFORMASI KESELAMATAN 2025 “AI MEMACU TRANSFORMASI KEAMANAN DAN KESELAMATAN” ,12 NOVEMBER 2025 - Saifuddin Nasution
November 12, 2025

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saudara Pengacara Majlis, saya mengalu-alukan kehadiran Datuk Mahzan Mahyuddin. Terima kasih juga kepada Timbalan KSU, Timbalan Ketua Polis Negara, seterusnya kepada semua penganjur, panel dan para peserta Simposium Kecerdasan Buatan Transformasi Keselamatan pada pagi ini.

Saya diminta untuk memberikan ucapan pembukaan. Tajuk besar simposium kita sangat menarik iaitu AI Memacu Transformasi Keamanan dan Keselamatan. Dalam konteks inilah saya memilih untuk mengajak kita melihat kembali kepada sejarah kerana dalam sejarah terdapat banyak pengajaran penting berhubung perubahan teknologi.

 

ISU 1: PENGAJARAN SEJARAH – TEKNOLOGI DISRUPTIF YANG MENGUBAH DUNIA

Saya memetik sebuah buku berjudul “Epic Disruptions: 11 Innovations That Shaped Our Modern World” oleh Profesor Scott D. Anthony. Beliau menyenaraikan inovasi yang mengubah peradaban dunia. Menariknya, terdapat dua teknologi transformatif yang boleh menjadi perbandingan kepada gelombang Artificial Intelligence hari ini.

  1. Serbuk Letupan (Gunpowder)

Serbuk letupan ditemui secara tidak sengaja oleh ahli kimia China yang pada waktu itu sedang mencari formula untuk panjang umur. Selama 100 tahun ia digunakan hanya sebagai bunga api. Kemudian ia diadaptasi untuk tujuan ketenteraan.

Dari China, ia berkembang ke dunia Islam dan membentuk Empayar Uthmaniyah, Safavid dan Mughal yang dikenali sebagai gunpowder empires. Kemudiannya serbuk letupan ini sampai ke Eropah. Kuasa yang menguasai teknologi letupan ini menjadi empayar besar kerana kemampuan artileri yang luar biasa.

  1. Mesin Cetak Gutenberg

Mesin cetak ciptaan Johannes Gutenberg di Jerman pada tahun 1440 mempercepatkan penyebaran ilmu. Teknologi ini menyumbang kepada tercetusnya Reformasi Protestan, Revolusi Sains dan Zaman Pencerahan.

Namun ironinya, Empayar Othmaniyah tidak menerima mesin cetak pada peringkat awal, dan hanya membuka diri 300 tahun kemudian. Pada ketika itu, Eropah telah berlari jauh ke hadapan. Keputusan tidak menerima satu teknologi telah menyebabkan satu empayar besar tertinggal berabad lamanya.

Pengajaran Penting

Daripada dua kisah ini, terdapat dua pengajaran besar:

  1. Kedatangan teknologi revolusi sering tidak dijangka dan berlaku secara tidak sengaja.
  2. Menerima satu revolusi tidak menjamin kejayaan pada revolusi seterusnya; menolak revolusi baharu pula membawa akibat buruk dan kemunduran panjang.

 

ISU 2: KEWAJIBAN KDN MEREBUT PELUANG REVOLUSI AI GENERATIF

Saya ingin menegaskan bahawa KDN tidak akan melepaskan peluang generasi yang dibawa oleh AI generatif. Kita akan menyambutnya dan memanfaatkannya sepenuhnya kerana:

  1. Jurang Kemahiran yang Sangat Kecil

Teknologi AI generatif tidak memerlukan penguasaan Bahasa Inggeris yang tinggi. Hasil kajian McKinsey 2025 menunjukkan syarikat-syarikat dunia baru mula menggunakan AI generatif setahun lalu. Ini bermakna jurang kemahiran antara kita dan negara maju hanya setahun, bukan 20 atau 30 tahun. Kita mempunyai peluang untuk bersaing.

  1. Mengubah Kelemahan Menjadi Kekuatan

AI generatif boleh mengatasi kelemahan komunikasi bertulis pegawai. Ia mampu menghasilkan draf pertama yang berkualiti tinggi dan lengkap. AI seperti ChatGPT mempunyai akses kepada 1.7 trilion bahan dan menghasilkan penulisan dengan tatabahasa sempurna. AI bertindak sebagai “co-pilot” yang membantu manusia menyusun idea sehingga manusia hanya perlu membuat keputusan terakhir.

ISU 3: LANGKAH DAN PENCAPAIAN AWAL KDN DALAM PEMAKAIAN AI

KDN telah melakukan beberapa langkah proaktif sejak awal:

  1. Penubuhan Pusat Sains Data KDN (Januari 2024)

Pusat ini ditubuhkan untuk memacu dasar KDN berasaskan data. KDN mempunyai kekayaan data melalui JPN, PDRM, APMM, AADK dan lain-lain.

Melalui analisis data:

  • Kesesakan Tambak Johor (BSI dan KSAB)

Ditemui bahawa 80% pengguna ialah penunggang motosikal dan penumpang bas. Penyelesaiannya ialah penggunaan autogate bagi kumpulan ini.

  • Jenayah Narkotik
    Dapatan menunjukkan 75% penghuni penjara terdiri daripada pesalah berkaitan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya. Ini bermakna menyelesaikan isu dadah akan menyelesaikan sebahagian besar jenayah.
  1. Dasar “AI for KDN, KDN for AI” (Disember 2024)

Dasar ini mempunyai tiga teras:

  1. Fokus Aplikasi – Menyelesaikan masalah spesifik melalui aplikasi AI.
  2. Pembangunan Modal Insan – Melatih setiap warga KDN.
  3. Pembangunan Ekosistem Tempatan – Kerjasama dengan universiti dan industri tempatan seperti MIMOS.
  1. Kejayaan Awal

Antaranya:

  • LPF menggunakan video-analitik AI untuk mengesan dialog dan adegan sensitif.
  • PDRM membangunkan prototaip AI untuk membantu siasatan jenayah komersial.
  • Bengkel mingguan diadakan untuk warga KDN mempraktikkan penggunaan alat AI generatif.

 

ISU 4: HALA TUJU MASA DEPAN DAN KOMITMEN KEPIMPINAN

  1. Kesediaan Pekerja

Kajian McKinsey 2025 mendapati pekerja sebenarnya lebih bersedia menerima AI generatif berbanding jangkaan pemimpin. Mereka hanya memerlukan latihan dan sokongan.

  1. Penyatuan Data KDN

Tumpuan tahun hadapan adalah membangunkan Pusat Data Bersepadu KDN – peti keselamatan digital yang menyimpan semua data secara domestik dan patuh kepada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

  1. Peranan Menteri

Saya menetapkan hala tuju, memudahkan pelaksanaan, meninjau kemajuan dan meraikan kejayaan warga KDN. Saya tidak akan membiarkan KDN terlepas peluang generasi ini.

 

PENUTUP

Akhir kata, AI generatif adalah peluang besar yang mesti direbut. KDN komited untuk memastikan setiap resolusi simposium hari ini dapat dilaksanakan dengan keberanian, inovasi dan kesediaan seluruh warga KDN.

Terima kasih. Wabillahi taufik wal hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

 

Ruangan Komen:

Loading...