SOAL JAWAB YB MENTERI DALAM NEGERI DI DEWAN RAKYAT PERSIDANGAN DEWAN RAKYAT – MESYUARAT KETIGA PENGGAL KEEMPAT 9 OKTOBER 2025 - Saifuddin Nasution
October 9, 2025

Soalan (Kangar)

Kangar meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan statistik pemain yang telah dinaturalisasikan sejak tahun 2018 hingga kini, serta apakah kelayakan dan kriteria yang digunakan oleh kerajaan atau Persatuan Bola Sepak Malaysia dalam proses penentuan seseorang pemain untuk dinaturalisasikan. Terima kasih.

 

Jawapan (Menteri Dalam Negeri – MDN)

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Selamat pagi, Tuan Yang di-Pertua.

Terima kasih kepada sahabat saya dari Kangar.

Berapa jumlah pemain bola sepak yang telah diberi taraf warganegara melalui jalur naturalisasi? Jawapannya: 23 orang.

Berapa banyak permohonan menjadi warganegara? 49,000.

Berapa banyak lagi permohonan yang belum dibuat keputusan? 6,000.

Sejak saya berada di sini, jumlah pemain bola sepak yang telah diberi taraf warganegara ialah 23 orang.

Baik. Bagaimana proses permohonan warganegara dibuat keputusan melalui naturalisasi?

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, Perkara 19, iaitu permohonan untuk menjadi warganegara Malaysia yang datangnya daripada warganegara asing.

Isu ini berbangkit kerana tindakan yang diambil oleh FIFA ke atas pemain-pemain bola sepak Harimau Malaya. Jadi saya jelaskan dahulu, bab KDN ini adalah berkaitan hal permohonan menjadi warganegara dan proses yang kita guna pakai.

Apakah jalurnya?

Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan membenarkan kerajaan untuk menimbangkan, memproses dan membuat keputusan tentang permohonan warganegara.

Untuk membuat keputusan mengikut jalur ini, ada tiga rukun utama:

  1. Pemohon itu sendiri perlu memohon — tidak boleh melalui ejen. JPN tidak pernah menggunakan khidmat ejen bagi urusan permohonan warganegara.
  2. Pemohon mestilah bermastautin di negara ini dalam satu tempoh tertentu.
  3. Pemohon mesti berkelakuan baik, bermaksud lulus tapisan keselamatan.
  4. Pemohon mempunyai pemahaman Bahasa Melayu yang memadai.

Kemudian, bila kita semak dan dapati semua perkara itu dipatuhi, permohonan itu akan diproses mengikut juga Kaedah-Kaedah Warganegara 1964, yang membawa kepada Borang C yang perlu diisi. Pemohon perlu ada pasport, dokumen pengenalan, dan semua syarat lengkap dipenuhi. Maka, permohonan warganegara boleh dipertimbangkan.

Selain itu, terdapat juga FIFA Statute — peraturan antara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dengan FIFA.

Dalam FIFA Statute disebut bahawa bagi seseorang yang ingin bermain dengan sesebuah negara, dia mesti memenuhi salah satu daripada empat syarat berikut:

  1. Dilahirkan di negara tersebut.
  2. Ibu atau bapa dilahirkan di negara tersebut.
  3. Datuk atau nenek dilahirkan di negara tersebut.
  4. Pemain telah menetap secara berterusan dalam negara itu untuk tempoh yang ditetapkan.

Jika mana-mana syarat ini dipenuhi, maka pemain itu layak untuk mewakili negara dan berdaftar dengan FIFA — itu urusan FAM.

Jadi saya jelaskan sekali lagi, Tuan Yang di-Pertua:

  • Permohonan warganegara yang diluluskan kepada pemain bola sepak ialah 23 orang, termasuk 7 pemain terbaru.
  • Jalur perundangan yang dirujuk ialah Perlembagaan Persekutuan dan Kaedah-Kaedah Warganegara 1964.
  • Permohonan mesti dibuat sendiri, bukan melalui ejen.
  • Prosesnya cukup teliti — kita ambil biometrik, temu bual dan semakan keselamatan lengkap sebelum warganegara diberikan.

Hal kelayakan pemain dengan FIFA pula ialah urusan FAM dan FIFA, yang kini sedang diuruskan di peringkat rayuan dan sebagainya.

Terima kasih.

 

Soalan (Jerlun)

Peraturan Dewan 24(5).

Yang Berhormat Menteri menyebut tadi tentang 19(1)(c), iaitu bila saya rujuk kembali, ia menyatakan “mempunyai pengetahuan yang memadai”, bukan “mencukupi”.
Jadi saya mohon diperbetulkan sebab ini terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sekian.

 

Soalan (Kangar)

Terima kasih, Yang Berhormat Menteri. Jawapan tadi nampak telus.

Baru-baru ini FIFA telah mendakwa bahawa Malaysia telah mengemukakan dokumen palsu dalam proses mendapatkan pemain warisan, dan ini dianggap bukan isu teknikal malah dianggap sebagai pemalsuan dokumen.

Difahamkan JPN di bawah Kementerian Dalam Negeri dikaitkan apabila didakwa telah mengeluarkan surat yang mengiktiraf kononnya datuk atau nenek pemain lahir di Pulau Pinang atau Melaka. Ini Yang Berhormat Menteri tentu faham, dan maklumat daripada FIFA sebaliknya.

Isu ini mencetuskan polemik dan menjejaskan imej Malaysia di peringkat antarabangsa.

Soalan saya:

  1. Berapa lama masa yang diambil oleh JPN untuk menyiapkan dokumen pemain-pemain sebelum diserahkan kepada FAM?
  2. Jika betul berlaku pemalsuan, siapakah pihak yang bertanggungjawab kerana isu ini amat memalukan negara?
  3. Apakah tindakan proaktif KDN dalam menyelesaikan isu ini?
  4. Setelah tamat proses rayuan dengan FIFA, adakah kerajaan bersedia menubuhkan RCI untuk menyiasat kes ini kerana ia dianggap skandal terbesar abad ini yang melibatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia dan agensi kerajaan?

Terima kasih.

 

Jawapan (Menteri Dalam Negeri – MDN)

Terima kasih, Kangar.

Empat perkara dibangkitkan. Saya sudah sebut tadi, perkara dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dipermainkan. Saya menjawab di Parlimen, bukan di luar. “Skandal terbesar abad ini” — apa maksudnya?

Bagaimana kita proses mengikut Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan? Saya sudah sebut semasa membahaskan isu kewarganegaraan — sama ada Jalur 15(1), 15(2), 16, 19 atau 30. Kita proses mengikut Perkara 19, semuanya mematuhi Perlembagaan.

Patuhkah kepada Kaedah-Kaedah Warganegara 1964 (19(4))? Ya.

Borang apa digunakan? Borang C.

Pemohon datang sendiri? Ya.

Semua proses dipatuhi.

Kemudian ditanya berapa lama prosesnya. Saya kata, ada tiga perkara utama termasuk syarat pemastautin. Syarat pemastautin ini termaktub dalam undang-undang yang diluluskan Parlimen.

Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian memberi kuasa kepada Menteri Dalam Negeri — saya dan menteri-menteri sebelumnya — untuk menggunakan Perkara 20(1)(c) bagi memberikan pengecualian terhadap syarat pemastautin, dan itulah yang saya gunakan.

Jadi, menjawab soalan:

Apakah proses pemberian warganegara terhadap tujuh pemain ini mematuhi semua peruntukan Perlembagaan, akta, dan kaedah warganegara?

Jawapannya: Ya.

Di sana ada FIFA Statute — itu soal pemain warisan dan kelayakan, bukan urusan KDN.
FIFA kata maklumat yang diberikan adalah palsu — itu pandangan FIFA.
FAM pula kata maklumat itu diberikan oleh pemain.
Jadi biar pertikaian itu mereka selesaikan.

Dari sudut Perlembagaan, sangat jelas — semua proses pemberian warganegara dilakukan mengikut undang-undang.

Terima kasih.

 

Soalan (Bangi)

Terima kasih, Puan Yang di-Pertua. Selamat kembali.

YB Menteri, saya mendengar dengan teliti apa yang telah dijelaskan. Mengikut Perkara 19, seperti yang dinyatakan oleh YB Menteri, ada beberapa perkara yang perlu dipenuhi oleh pemohon:

  1. Bermastautin di dalam negara untuk tempoh tertentu,
  2. Berkelakuan baik, dan
  3. Mempunyai pengetahuan yang memadai dalam Bahasa Melayu.

Untuk tujuh pemain yang menjadi pertikaian ini, adakah mereka telah memenuhi ketiga-tiga keperluan tersebut, terutama syarat pemastautinan dan keperluan Bahasa Melayu?

Kerana di luar sana, polemik yang timbul berkaitan sama ada mereka benar-benar memenuhi syarat-syarat ini. Harap Menteri dapat jelaskan supaya tidak ada lagi kekeliruan terhadap JPN dan KDN.

Terima kasih.

 

Jawapan (Menteri Dalam Negeri – MDN)

Terima kasih kepada sahabat saya dari Bangi.

Tadi saya sebut, dalam menggunapakai Perkara 19, ada tiga rukun yang mesti dipatuhi. Perkara ini bukan hanya terpakai untuk pemain bola, tetapi juga bagi atlet lain seperti gimnastik, perenang, atlet lumba jalan kaki negara Yuan Yufang, penembak Erina Maharani (yang kini jurulatih), pemain bola keranjang, jurulatih badminton, saintis, doktor, jurutera, dan CEO — semua melalui jalur ini.

Pemberian warganegara mengikut Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan dan syarat yang ditanya oleh Bangi tadi — khususnya tentang tempoh pemastautinan — juga disemak mengikut Seksyen 20(1)(e), di mana Menteri boleh menggunakan kuasa budi bicaranya.

Maksudnya, keberadaan pemohon di luar negara juga boleh dianggap sebagai pemastautinan dalam negara. Itulah bahasa perundangan yang digunakan.

Saya guna pakai Perkara 20(1)(e) ini bagi memenuhi syarat pemastautinan.

Berkenaan keperluan Bahasa Melayu — “mencukupi” atau “memadai” — maksudnya ialah boleh berkomunikasi dan memahami. Dalam Dewan ini juga pernah dibangkitkan cadangan agar syarat kelulusan Bahasa Melayu ini dipermudahkan, terutamanya bagi warga emas.

Sebelum ini markah penuh ialah 8, kini saya turunkan kepada 2 sebagai keperluan minimum untuk ujian asas. Tetapi dalam kes ini, saya menggunakan kuasa di bawah Seksyen 20(1)(e) Perlembagaan Persekutuan bagi memenuhi syarat tersebut.

Terima kasih.

Ruangan Komen:

Loading...