Teks Ucapan Yang Berhormat Dato’ Sri Saifuddin Nasution Menteri Dalam Negeri Sidang Dewan Rakyat Parlimen Kelima Belas Penggal Ketiga Mesyuarat Ketiga (PENERANGAN MENGENAI GISB) - Saifuddin Nasution
November 28, 2024

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Speaker, Ahli-ahli Yang Berhormat, saya berdiri di sini untuk mengetengahkan satu isu yang sangat penting yang telah menarik perhatian seluruh negara yakni status siasatan yang sedang berlangsung terhadap Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) dan implikasi serius terutama terhadap kesejahteraan wanita dan kanak-kanak.

Penting untuk saya nyatakan bahawa ketika kenyataan Menteri ini diberikan dan nanti akan diikuti dengan perbahasan, adalah mustahak untuk kita berikan kepekaan bahawa siasatan masih berlangsung dan prosiding mahkamah juga sedang berjalan. Sudah ada Kertas Siasatan yang berakhir dengan pertuduhan dan masih ada lagi kertas siasatan yang sedang dilengkapkan.

Polis Diraja Malaysia dan beberapa buah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri sedang giat menjalankan siasatan menyeluruh. Sifat siasatan ini sangat kompleks kerana ikut melibatkan rangkaian syarikat yang beroperasi di dalam dan di luar negara, 18 buah negara luar.

Fokus adalah terhadap tujuan untuk menyembunyikan sifat sebenar operasi. Di depan wajah perniagaan, tetapi di sebaliknya seperti disebut oleh Menteri Agama ada elemen penyebaran ajaran yang menyimpang yang telah pun dibuat oleh keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan.

GISBH ini adalah inisiatif yang ketiga. Yang pertama adalah Pertubuhan Al-Arqam. Kedua adalah Rufaqa’ Corporation Sdn. Bhd. Kedua-dua ini statusnya adalah oleh kerajaan terdahulu telah pun dibuat pengharaman. Bukan sahaja gerakan pertubuhan ini, tetapi juga aktivitinya dan juga bahan penerbitan juga telah disenaraikan sebagai haram dari sudut undang-undang negara kita. Dalam konteks inilah PDRM memberi tumpuan kepada beberapa undang-undang penting yang berkaitan. Termasuklah terhadap operasi syarikat dan aspek kebajikan dan perlindungan terutama kanak-kanak dan wanita dengan mengguna pakai akta-akta yang di bawah kawal selia KDN khususnya Polis dan tentunya dalam siasatan itu tidak terhenti dengan pasukan Polis sahaja.

Untuk makluman Tuan Yang di-Pertua, siasatan ini ikut membabitkan sejumlah agensi termasuklah Kementerian Pendidikan, termasuk juga Kementerian Wanita, Keluarga dan Kanak-kanak mainkan peranan penting kerana di sana ada Jabatan Kebajikan Masyarakat. Kita juga ada Jabatan Peguam Negara, Kementerian Kesihatan, Kementerian Sumber Manusia, Jabatan Kimia, Jabatan Agama Islam Negeri-negeri, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Pendaftar Pertubuhan, Jabatan Imigresen, Jabatan Pendaftaran Negara dan senarainya panjang. Kenapa Akta Kanak-kanak ini di bawah Yang Berhormat Menteri Wanita sekejap lagi akan membuat Minister Statement nya.

Kerana ini akta yang menyediakan rangka kerja yang komprehensif untuk melindungi kanak-kanak daripada penderaan dan pengabaian serta tanggungjawab ibu bapa dan penjaga. Kita juga menggunakan Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 kerana ini undang-undang khusus menangani jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan memastikan bahawa pelakunya tidak lepas daripada tindakan undang-undang. ATIPSOM ini apabila melibatkan elemen pemerdagangan manusia ataupun buruh paksa. Kalau dalam siasatan ini mendapati bahawa adanya perbuatan di mana kanak-kanak di bawah umur ini diminta bekerja kemudian tanpa bayaran gaji dan sebagainya, itu antara spec siasatan yang kita teliti. Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957. Akta ini menghendaki menjadi tanggungjawab orang yang mengetahui tentang satu kelahiran, memaklumkan dan membuat pendaftaran.

Ini penting sebab ini akan membawa kepada identiti yang sah dan maklumat ibu bapa direkodkan dengan betul. Apabila Polis mengambil tindakan, pada satu bahagian kita panggil tangkapan. Ada satu bahagian panggil, kita panggil menyelamatkan.

Yang kita selamatkan adalah 625 orang kanak-kanak. Kita asingkan pula pecahan kanak-kanak yang sudah ada identiti diri. Ada Sijil Lahir, ada MyKad. Ada juga kanak-kanak yang tiada Sijil Lahir, tiada MyKad. Ada yang lambat daftar. Ada juga terdiri kanak-kanak yang kita kategorikan sebagai tidak sah taraf. Menjadi tanggungjawab kerajaan sementara siasatan dibuat untuk membetulkan keadaan ini, tetapi kerajaan juga harus memikirkan masa depan kanak-kanak ini, memberikan identiti yang betul, yang sah mengikut peraturan undang-undang dalam negara kita.

Kemudiannya, aspek kebajikan kanak-kanak ini akan diberi perhatian di bawah tanggungjawab kementerian yang lain. Misalnya selesai identiti diri itu akan memastikan kebajikan mereka terjaga. Kemudian, mereka dikembalikan kepada pendidikan arus perdana. Kita ke arah itu. Kita guna pakai Kanun Keseksaan. Tentunya pelbagai seksyen dalam kanun ini menangani kesalahan berkaitan dengan pelbagai aktiviti di dalamnya termasuklah kalaupun melibatkan jenayah terancang.

Jadi, ini antara asas kepada satu-satu tindakan siasatan dibuat. Ada juga Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-langkah Khas yang digunakan apabila satu perintah tahanan reman diberikan. Boleh jadi tujuh hari, campur tujuh hari atau tujuh campur lima atau tujuh campur tiga, tetapi kerana ramainya mereka yang ditahan, maka tempoh reman itu dianggap belum mencukupi.
Maka, kita guna pakai Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) untuk memastikan bahawa siasatan itu tuntas, lengkap. Akta Syarikat 2016. Akta ini menghendaki siasatan dibuat bahawa mana-mana syarikat yang ditubuhkan mengemukakan penyata kewangan yang tepat dan mengekalkan ketelusan dalam operasi mereka dan siasatan yang berjalan setakat ini ikut mengguna pakai akta ini.

Lalu ikut dilakukan juga penyiasatan di bawah Akta Anti Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 yang istilah biasa kita sebut sebagai AMLA. Dilakukan money tracking kemudian ke mana punca wang itu, di mana dibelanjakan dan tujuan apa wang itu dibelanjakan. Ketika kita membincangkan isu-isu ini, saya mengajak Ahli-ahli Yang Berhormat untuk mengiktiraf bahawa walaupun siasatan sedang dijalankan, perkara ini tetap merupakan satu isu kepentingan awam yang signifikan.
Perbincangan kita mesti mematuhi peraturan Parlimen sambil membenarkan siasatan yang bermakna ke atas kebimbangan-kebimbangan yang saya anggap mendesak ini. Adalah penting bagi kita untuk mendekati topik ini dengan sensitiviti memandangkan sifat ataupun elemen jenayah yang terlibat.

Kementerian dan kerajaan mengambil serius tuduhan-tuduhan ini. Namun adalah penting bahawa kita menjalankan siasatan secara menyeluruh berdasarkan undang-undang yang sedia ada sebelum membuat kesimpulan atau penilaian. Yang jelas, tiada motif politik sama sekali dalam kerajaan mengendalikan ke sini dan jenayah terhadap kanak-kanak berlaku.

Kes yang sudah disabitkan itu tertuduh membuat pengakuan. Sudah dipenjarakan 10 tahun. Itu melibatkan penderaan terhadap kanak-kanak. Ada kes yang sudah pun dituduh. 15 kes sudah dituduh setakat ini dan menunggu tarikh perbicaraan. Wujud pelanggaran terhadap banyak undang-undang dan kita perlu menjalankan siasatan dengan betul, bertanggungjawab dan membiarkan proses undang-undang mengambil tempat yang sewajarnya.

Datuk Yang di-Pertua, tentunya bergerak ke hadapan kita juga harus mengambil kira beberapa perkara lagi. Melanjutkan siasatan ke luar negara bukan satu tugas mudah. 18 buah negara. Kalaupun kenyataan awal Ketua Polis Negara turut menyebut kegagalan syarikat ini untuk membayar cukai pendapatan atau cukai perniagaan dengan Lembaga Hasil ataupun wujudnya perbuatan tidak membayar gaji misalnya.

Apabila Polis luaskan siasatan kepada entiti perniagaan ini di luar negara, 18 buah negara tidak membayar cukai dan tidak membayar gaji itu merupakan kesalahan yang serius di negara-negara berkenaan. Untuk itu, pihak Polis sudah pun memulakan langkah menghubungi negara-negara yang berkenaan dengan kita mengguna pakai MLA singkatan untuk Mutual Legal Agreement bagi memudahkan kerjasama itu dibuat. Sementara Yang Berhormat Menteri Agama sudah pun memberikan kenyataan.

Saya ingin mengesahkan bahawa siasatan Pasukan Polis setakat ini ikut mengesahkan ada pengakuan bahawa amalan terhadap ajaran Aurad Muhammadiah ini masih lagi dilakukan oleh kalangan yang kita tangkap dan disoal siasat. Masih juga berlaku. Jadi kalaupun ada kenyataan luar yang menyebut bahawa mereka sudah pun tidak lagi mengamalkannya itu, itu kenyataan.

Kita akan hanya bercakap berasaskan kepada butiran dan dapatan siasatan yang berlaku. Jabatan Pendaftaran Negara juga tidak selesai di sini. Kita akan membina family tree untuk mengesan susur jalur bagi mengelakkan masalah nasab ke depan nanti kerana kompleksnya apabila anak-anak ini ditinggalkan dalam keadaan tidak mengenali susur galur keluarga. Itu semua dilakukan secara telus oleh pakar-pakar psikologi kita.

Polis kita ada di Jabatan Kebajikan Masyarakat. Mereka inilah yang- ini melibatkan peranan yang besar bilangannya. Ribuan Anggota Polis dan juga pegawai kerajaan di peringkat kementerian kementerian memperhalusi isu ini satu persatu. Diasingkan setelah dilakukan apa yang kita panggil sebagai proses crisis intervention terhadap kanak-kanak ini. Ada elemen traumanya, ketakutannya, ada aspek penderaannya. Itu real.

Suatu yang nyata dan bukan mudah satu proses ini hendak diambil terutama kalau melibatkan kanak-kanak di bawah daripada had umur yang boleh bercakap dengan berani, berterus terang.

Itu lah proses yang sedang berjalan dan saya akhiri kenyataan ini kerana nantinya saya difahamkan bahawa akan dibuka kepada perbahasan dan kita akan memberikan maklum balas selepas itu. Terima kasih.

UCAPAN PENGGULUNGAN SELEPAS AHLI PARLIMEN BERBAHAS MENGENAI PENERANGAN GISB

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih Dato’. Kaedah saya begini. Sebahagian daripada isu perbahasan yang diutarakan Ahli-ahli Yang Berhormat, saya akan cuba ulas dalam kesempatan 10 minit dan saya berikan komitmen terhadap isu-isu yang tak dapat saya berikan maklum balas, saya akan berikan jawapan bertulis kepada yang telah mengambil bahagian dan menyentuh perkara-perkara tersebut.

Dato’ Yang di-Pertua, saya mulakan dengan menyebut bahawa fokus PDRM dalam mengambil tindakan terhadap isu ini adalah berdasarkan kepada 12 akta yang kita diberikan kuasa untuk melaksanakannya. Senarai 12 akta itu telah saya sebut semasa pembentangan termasuklah Akta Kanak-kanak 2001, ATIPSOM 2007, Akta Kesalahan Sosial Kanak-kanak 2017 Kanun Keseksaan, Akta Pertubuhan, Akta Syarikat dan segala macam.

Baik. Saya juga berkongsi angka bahawa ada 625 kanak-kanak, istilahnya kita selamatkan. Yang kita tangkap, 415. 625 kanak-kanak ini, keutamaan kita adalah kebajikannya, mengenal pasti identitinya. Langkah ke depan adalah bagaimana nak membawa mereka kembali kepada arus perdana pendidikan. Yang ini saya ucap terima kasih, sahabat saya Menteri Pelajaran yang sudah pun memulakan langkah berjumpa dengan kanak-kanak ini dan sudah pun merangka langkah ke depan untuk bawa mereka kepada arus perdana pendidikan. Itu sudah berjalan.

Dari hal identiti, saya telah sebutkan tadi bahawa 597 daripada 625 itu sudah pun secara sahih. Bila kita semak dengan Jabatan Pendaftaran, mempunyai dokumen pengenalan diri sama ada sijil lahir ataupun MyKad. Jadi, Dato’ Speaker, tumpuan kita baki 28 yang sedang kita buat semakan lagi. Angka ini mungkin nanti jadi kecil.

Di sana ada juga yang kita sudah kenal pasti sebagai jatuh dalam kategori anak tidak sah taraf. Tetapi kebetulan kita nanti ─ esok akan membahaskan tentang isu kewarganegaraan anak tidak sah taraf nanti. Kita proses di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan. Jadi, akhirnya identiti mereka ini tetap akan kita berikan.

Jadi, di atas beberapa saranan Ahli ahli Parlimen yang mengambil bahagian, yang memberikan keprihatinan terhadap isu identiti diri, kita ada jalan keluar, jalan penyelesaiannya. Baik. Ada juga disebut bahawa sebahagian daripada tangkapan itu kita buat di luar daripada premis.

Sebenarnya keseluruhannya, Dato’ Yang di-Pertua, operasi polis ini melibatkan 300 premis. Dia ada lebih kurang 60 buah rumah amal ataupun dipanggil rumah jagaan atau tempat asuhan. Ada dua klinik, ada 99 premis perniagaan, ada satu ladang, ada empat maahad, ada 134 rumah persendirian. Jadi, 300 premis ini kita sampai dan itu membawa kepada sejumlah 415 tangkapan yang ada kita buka kertas siasatan berdasarkan kepada akta-akta yang saya sebutkan tadi.
Jadi, mengulas Kota Bharu. Sememangnya daripada hari pertama lagi, asas tindakan itu berteraskan kepada prinsip undang-undang berdasarkan pada akta yang sedia ada. Kalau siasatan itu kita buat misalnya di bawah AMLA. Kita buat money trail. Dia ─ operasinya dia massive. Sebab source of revenue GISB ini adalah dia ada beberapa cluster. Maknanya komitmen setiap cluster itu dia mesti mencapai kutipan harian dan kutipan harian itu bila diperolehi, mesti dimasukkan dalam akaun individu pimpinan yang duduk dalam struktur ahli lembaga pengarah.

Jadi, dia ada Zon Kuala Lumpur, Zon Tengah, Zon Utara, zon dalam dan luar negara. Jadi, dia ada target kutipan ya. Dia ada target kutipan bagi setiap zon yang membawa anggaran lebih kurang RM70,000 sebulan kutipan minimum kena ada. Duit ini dia bukan masuk di bawah GISB yang didaftarkan dan ada akaun syarikat. Tidak. Dia pergi pada akaun individu. Ya, individu dan daripada situlah.

Sebab itu semua transaksi pembelian aset bila polis rampas, transaksinya bukan melalui pinjaman bank. Semua belian tunai. Jadi, kita buat. Jadi, kita hendak tengok ke mana akhirnya punca wang dan ke mana dibelanjakan. Itu yang saya sebut selepas ini polis akan melebarkan sayap siasatan kita ke luar negara pula sebab 18 negara. Negara itu ada undang-undangnya.

Sebab itu kita akan involve mutual legal assistants yang bila – kita juga akan dapat kerjasama INTERPOL. Jadi, dia massive proses ini yang semuanya itu tidak mungkin berlaku kalau kita membelakangkan undang-undang. Kita mesti mengikut lunas undang-undang. Kalau dikatakan siasatan di sini tidak mengikut lunas undang-undang, mustahil negara luar yang kita hendak dapat kerjasama akan bagi kerjasama. Itu sudah dianggap sebagai understanding di peringkat antarabangsa.

Kerana itu, kepatuhan terhadap perjalanan undang-undang itu harus dicermati oleh pasukan polis dalam menjalankan siasatan ini. Saya ucap terima kasih rakan saya dari Masjid Tanah yang menyebut tentang Konvensyen Hak Kanak-Kanak. Artikel 9. Artikel 9 itu daripada mula sebut bahawa State Parties shall ensure that a child shall not be separated from his or her parents against their will. Anak-anak ini hakikatnya selepas setahun, dua tahun, cerai susu, anak-anak ini dipisahkan daripada keluarganya. Sebab itu bila psychologists kita D11 di bawah pasukan polis atau di bawah Jabatan Kebajikan dekati mereka dan bertanya.

Mereka rindukan parents. Mereka tidak jumpa emak bapa dia. Mereka tidak jumpa. Anak dua tahun, tiga tahun tidak kenal emak bapa dia. Itu kita establish melalui siasatan. Ada juga yang mereka diletak di satu rumah, rumah amal ke pusat jagaan. Kemudian dipindahkan dan bila dipindahkan, diberi identiti berbeza pula. Nama lain pula.

Itu syarahnya panjang kalau saya hendak sebut di sini. Sebab itu saya katakan bahawa apabila melakukan siasatan itu, polis menemui perkara-perkara baharu dan itu membawa kepada kemungkinan kita akan lebarkan lagi tangkapan. Kita akan luaskan lagi akta-akta yang berkaitan. Tetapi pokok pangkalnya apa? Kebajikan kanak-kanak. Tidak boleh ada eksploitasi ke atas kanak kanak sebagai tenaga kerja. Disuruh bekerja di kilang, di kebun dan sebagainya tanpa bayaran.

Sebab itu dianggap sebagai sebahagian daripada proses latihan amali yang mereka terima. Dan kalau berlaku pelanggaran disiplin misalnya, berbaris ambil makanan tidak kena barisannya dan itu diambil tindakan. Ketuk ketampi bukan 100. 500 kali ya.

Hal-hal yang detail sebegini memadai kita minta supaya pihak polis diberikan kepercayaan untuk menjalankan siasatan. Apabila siasatan itu dilengkapkan dalam bentuk kertas siasatan diserahkan kepada Peguam Negara, di situ nanti diputuskan. Sebab itu sambil siasatan itu berjalan, sudah ada yang dibawa ke muka pengadilan. Sudah ada sabitan.

Ada 15 kertas siasatan berakhir pertuduhan. Masih banyak lagi yang perlu kita lengkapkan. Sebab itu ketika kita mengguna kaedah biasa. Sahabat saya Kota Bharu seorang peguam, faham kerana saiz tangkapan yang begitu ramai. Kita akan minta reman. Mahkamah akan bagi tujuh hari. Kita belum selesaikan lagi sebab kita hendak involve 12 akta. Kita minta tambahan. Mahkamah bagi tujuh. Kita minta tambahan, ada mahkamah bagi lima. Kita minta tambahan, ada mahkamah bagi tiga. Tidak sempat habis kerana jumlah yang ramai.

Kerana itu bila kita tengok, dia ada elemen yang dipanggil sebagai – ia dilakukan secara berkumpulan. Satu atau lebih. Kemudian, dia melibatkan jenayah yang dianggap serius. Kalau pemerdagangan orang itu serius. Misalnya ya. Kemudian, dia memberikan keuntungan dari segi material, kewangan, kuasa atau pengaruh. Jadi, ia fit untuk kita involve 130V Kanun Keseksaan bagi membolehkan selepas tamat tempoh reman, kita guna pakai SOSMA.

SOSMA, semua kita tahu adalah masa 28 hari, peguam boleh akses dan mereka mesti dibawa ke muka pengadilan. Proses itu sangat jelas dalam proses kita membuat keputusan ini. Dato’ Yang di-Pertua, saya ambil 11 minit.

Saya akhiri di sini supaya berlaku adil pada sahabat saya daripada Kementerian Wanita. Seperti saya ungkapkan tadi, sebahagian daripada yang tidak dapat saya berikan respons, saya akan berikan jawapan bertulis kerana pegawai-pegawai saya membuat catatan.

Buat Ahli Yang Berhormat yang mengambil bahagian, saya ucap terima kasih. Tetapi percayalah hal yang berlaku ini memerlukan kerjasama semua, kefahaman semua, sokongan semua. Kita sedang menguruskan satu perkara yang besar. Ada elemen penyelewengan akidah, ada aspek eksploitasi kanak-kanak dan wanita, ada elemen pemerdagangan, ada elemen soal perjalanan kewangan yang meragukan. Kesemuanya itu due proses akan mengambil tempat. Akhirnya dia mesti dibawa ke muka pengadilan. Terima kasih.

Ruangan Komen:

Loading...