TEKS VERBATIM UCAPAN
DATUK SERI SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
PELANCARAN JENTERA PILIHAN RAYA PAKATAN HARAPAN NEGERI JOHOR 2026
Sabtu, 6 Jun 2026
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.
Saudara-saudara sekalian,
Malam ini program kita adalah untuk melancarkan Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan kerana Dewan Undangan Negeri Johor akan menghadapi pilihan raya. Seperti yang telah disentuh oleh rakan-rakan sebelum ini, politik negara kita hari ini berada dalam keadaan yang stabil. Kita menikmati kemakmuran ekonomi dan pada masa yang sama kerajaan memberikan fokus yang bersungguh-sungguh untuk menjaga kebajikan rakyat.
Dari sudut kemakmuran ekonomi, kerajaan telah memperkenalkan pelbagai dasar yang berjaya meyakinkan pelabur dan pemodal. Johor merupakan antara negeri yang paling banyak menerima manfaat daripada kejayaan dasar-dasar ekonomi yang diperkenalkan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Saya masih ingat antara arahan awal Datuk Seri Anwar kepada saya ialah berkaitan pengurusan pintu masuk negara, khususnya di Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar. Bukan sahaja Tambak Johor, malah seluruh pintu masuk negara sedang bergerak ke arah menggantikan sistem pengurusan keluar masuk sempadan dengan teknologi baharu.
Johor adalah negeri yang akan menerima manfaat paling besar daripada perubahan ini. Proses pelaksanaannya sedang berjalan dan menjelang hujung tahun ini, keseluruhan sistem baharu itu dijangka siap dilaksanakan.
Tuan-tuan dan puan-puan masih perlu memiliki pasport, tetapi untuk melepasi sempadan, pasport tidak lagi perlu dicop seperti dahulu. Anda hanya perlu menggunakan pengenalan iris mata, pengecaman wajah dan sistem biometrik. Kita sudah pun bergerak ke arah itu.
Melepasi sempadan nanti hanya mengambil masa sekitar empat hingga lima saat. Kisah beratur panjang dan kesesakan yang berlarutan selama ini akan menjadi sejarah. Bukan itu sahaja. Pembukaan laluan antara Woodlands dan Bukit Chagar melalui projek RTS Link sepanjang kira-kira enam kilometer merupakan satu lagi projek besar yang sedang berjalan. Projek bernilai berbilion ringgit ini akan membawa sehingga 10,000 penumpang sejam.
Persoalannya ialah bagaimana kita hendak menguruskan penyuraian penumpang yang begitu ramai? Sebab itu kita mengadakan pelbagai perjanjian dengan Singapura. Mereka meluluskan undang-undang domestik mereka dan kita juga meluluskan undang-undang yang sama di Parlimen Malaysia. Sistem baharu yang akan mula beroperasi sekitar bulan September nanti akan menjadi satu game changer kepada rakyat Johor yang berulang-alik mencari rezeki di Singapura.
Saudara-saudara sekalian,
Masalah kesesakan ini telah berlaku selama berdekad-dekad. Kerajaan bertukar ganti, tetapi hanya sekarang di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kerajaan Persekutuan berani menetapkan satu hala tuju yang jelas. Saya bersama Saudara Anthony Loke diberikan tanggungjawab untuk menguruskan pelaksanaannya.
Pendekatan kerajaan hari ini ialah pendekatan menyelesaikan masalah rakyat. Ini bukan drama politik. Ini adalah tekad politik yang diterjemahkan dalam bentuk tindakan.
Apabila masalah kesesakan sempadan dapat diselesaikan dan Johor-Singapore Special Economic Zone dapat dibangunkan sepenuhnya, apabila pergerakan manusia dan barangan berjalan lancar tanpa gangguan, maka negeri Johor akan menjadi lebih maju dan lebih makmur.
Johor akan menawarkan prasarana yang lebih baik, sistem pengurusan sempadan yang lebih cekap dan jaminan keselamatan yang lebih kukuh. Inilah kelebihan apabila rakyat memilih sebuah kerajaan yang betul. Dan inilah yang akan kita tawarkan kepada rakyat Johor dalam pilihan raya akan datang.
Saudara yang saya hormati sekalian,
Ada satu perkara yang belum disentuh oleh mana-mana pemidato sebelum saya.
Di negara kita hari ini, politik identiti dan politik perkauman telah menjadi semakin toksik. Kita sentiasa ditakut-takutkan dengan pelbagai naratif yang menimbulkan keresahan.
Saya ingin tegaskan bahawa pilihan raya Johor bukan semata-mata soal politik perkauman. Pilihan raya Johor adalah tentang pekerjaan, pendapatan, pelaburan dan masa depan anak-anak kita.
Kejayaan Johor tidak akan ditentukan oleh siapa yang paling berjaya menimbulkan ketakutan dalam kalangan rakyat. Sebaliknya, kejayaan Johor akan ditentukan oleh siapa yang mampu memberikan hasil dan pencapaian terbaik kepada rakyat.
Dan itulah komitmen Pakatan Harapan.
Saudara-saudara sekalian,
Ingatlah bahawa politik kita adalah politik kebersamaan. We are all together.
Jangan berikan ruang kepada kempen yang menakutkan rakyat dengan dakwaan bahawa hak akan hilang, agama akan tergugat atau bangsa akan tercabar.
Melayu, Cina dan India adalah kebanggaan kita. Kita tidak memilih untuk dilahirkan sebagai Melayu, Cina atau India. Itu adalah fitrah yang telah ditentukan kepada kita.
Kerana itu pendekatan Pakatan Harapan ialah pendekatan politik yang berasaskan prinsip we are all together, bukannya politik us versus them. Saya mahu menegaskan perkara ini kepada semua.
Saudara-saudara yang saya hormati,
Ini baru majlis pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan. Apabila wisel pilihan raya dibunyikan, apabila hari penamaan calon bermula dan kempen memasuki fasa sepenuhnya, kita akan turun menjelajah ke seluruh negeri Johor.
Saya ingin memaklumkan bahawa petang tadi kita telah berjaya menyelesaikan rundingan melibatkan semua kerusi antara parti-parti dalam Pakatan Harapan.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Abang Mat Sabu dan Saudara Anthony Loke atas kerjasama yang sangat baik. Tinggal beberapa perkara terakhir yang perlu dimuktamadkan oleh kepimpinan tertinggi negeri dan gabungan.
Setakat petang tadi, kita telah berjaya menyelesaikan keseluruhan rundingan. Oleh itu, tidak perlu lagi ada kegelisahan. Tidak perlu lagi ada keraguan. Fokus kita sekarang ialah kepada jentera. Fokus kita ialah menyampaikan mesej dan maklumat kepada rakyat.
Demikianlah ucapan saya. Saya hanya mengambil masa sekitar sepuluh minit.
Selepas ini pentas akan menjadi lebih segar dengan pidato Abang Mat Sabu.
Saya masih ingat ketika zaman universiti dahulu. Setiap kali cuti semester, Abang Mat akan datang ke asrama saya dengan van Nissan C20. Saya akan bertanya, “Kita hendak ke mana, Abang Mat?”
Beliau akan menjawab, “Ceramah di pekan.”
Saya tanya lagi, “Di mana?”
Beliau jawab, “Padang Polo.”
Saya tanya, “Siapa tuan rumah?”
Beliau jawab, “Ustaz Rusli Arif.”
Lalu kami pun pergi berceramah di Padang Polo. Di hadapan kami hanya ada sekitar tiga puluh orang. Kami pasang sistem pembesar suara, letakkan rostrum dan terus berucap.
Keesokan harinya saya bertanya lagi, “Ke mana pula, Abang Mat?”
Beliau jawab, “Kuala Pilah.”
Begitulah kehidupan kami ketika itu.
Saya belajar pidato daripada Abang Mat seperti belajar berenang. Dia bawa saya ke tepi titi dan kemudian dia tolak sahaja. Janji timbul, jangan tenggelam. Itu sahaja.
Alhamdulillah, sehingga hari ini kami masih istiqamah bersama. Saya menganggap Abang Mat sebagai saudara saya sendiri. Kami jatuh dan bangun bersama.
Terima kasih banyak kepada Abang Mat Sabu, Saudara Anthony Loke dan semua rakan-rakan yang hadir pada malam ini.
Majlis ini diadakan atas arahan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diberikan hanya kira-kira 48 jam yang lalu. Beliau mahu kita melancarkan Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan dan saya sangat menghargai kehadiran yang begitu ramai pada malam ini.
Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua yang hadir, sama ada di bahagian hadapan pentas mahupun yang memenuhi khemah dan kawasan sekitarnya.
Selesai di Johor, pada 12 Jun nanti kita akan melancarkan pula Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan di Negeri Sembilan.
Insya-Allah, kita akan bertarung habis-habisan dan kita berdoa mudah-mudahan dulang kemenangan akan menjadi milik kita.
Sekian.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.







Ruangan Komen: