TEKS VERBATIM UCAPAN
YB DATUK SERI SAIFUDDIN NASUTION BIN ISMAIL
MENTERI DALAM NEGERI
PERHIMPUNAN BULANAN (MEI 2026) KEMENTERIAN DALAM NEGERI (KDN)
04 MEI 2026
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Pengacara majlis yang dihormati.
Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, Timbalan Menteri Dalam Negeri.
Yang Berbahagia Datuk Dr. Awang Alik Jeman, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri.
Yang Berbahagia Datuk Seri Haji Mohd Khalid Haji Ismail, Ketua Polis Negara.
Yang Berbahagia Datuk Badrul Hisham Alias, Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara selaku tuan rumah majlis.
Timbalan-timbalan Ketua Setiausaha, khususnya Timbalan Ketua Setiausaha kita yang baharu, Puan Aina.
Ketua-ketua jabatan, ketua-ketua kanan kementerian, seterusnya hadirin dan hadirat yang dimuliakan.
Ada satu perkara saya nak sebut. Setiap hari sebenarnya Perdana Menteri akan berkongsi dengan saya satu hadis. Satu hari satu hadis. Biasanya saya baca dan kemudian saya cuba faham. Dia tak pernah putus. Yang semalam itu menarik dan saya pilih untuk berkongsi. Hadis ini tentang pemimpin dan pembantu yang jujur.
Daripada Aisyah r.a, Rasulullah SAW bersabda bahawa apabila Allah menghendaki kebaikan pada seorang pemimpin, maka Allah akan jadikan baginya pembantu yang jujur. Jika pemimpin itu terlupa, pembantu itu akan mengingatkannya, dan jika pemimpin itu ingat, pembantu itu akan membantunya. Sebaliknya, apabila Allah menghendaki keburukan kepada pemimpin, maka Allah jadikan baginya pembantu yang buruk. Jika pemimpin itu lupa, pembantu tidak mengingatkannya, dan jika pemimpin itu ingat, pembantu tidak membantunya.
Baik. Itu hadisnya dan mafhumnya. Syarahnya ada tiga. Pertama, kepimpinan yang berkesan bergantung kepada the right team, bukan individu semata-mata. Dalam konteks kepimpinan kontemporari, kejayaan pemimpin sangat bergantung kepada kualiti pasukan terasnya. Kalau Menteri Dalam Negeri, pasukannya dalam KDN. Kalau Ketua Setiausaha, pasukannya dalam kementerian. Kalau Ketua Pengarah JPN, pasukannya dalam JPN. Kalau Ketua Polis Negara, pasukannya dalam PDRM. Pemimpin seorang diri tidak boleh buat apa-apa tanpa dokongan pasukan.
Yang kedua, hadis ini mengingatkan tentang budaya check and balance. Kalau Allah nak jadikan pemimpin itu baik, Allah akan datangkan pembantu yang baik, yang akan mengingatkan pemimpin jika dia terlupa dan membantu apabila dia berada di landasan yang betul. Ini bermaksud pembantu yang baik bukan sekadar yes man, tetapi mempunyai keupayaan untuk menegur dan membetulkan kesilapan. Dalam istilah pengurusan moden, ini disebut sebagai constructive dissent, iaitu pandangan yang berbeza tetapi disampaikan secara konstruktif. Dalam masa yang sama, ketua pula mesti berlapang dada, melihat kepada isi teguran, bukan kepada siapa yang menegur.
Yang ketiga, hadis ini menyentuh tentang integriti dan kompetensi yang mesti berjalan seiring. Keupayaan untuk menegur, sikap terbuka menerima teguran, semua ini berkait rapat dengan integriti dan kompetensi. Jadi saya mulakan ucapan perhimpunan bulanan ini dengan berkongsi hadis tentang pemimpin dan pembantu, dan saya ulas dengan tiga perkara iaitu kepimpinan berkesan bergantung kepada pasukan, budaya check and balance, serta integriti dan kompetensi. Jika ini dapat kita hayati bersama, saya yakin Kementerian Dalam Negeri akan muncul sebagai kementerian yang lebih berkesan dan membanggakan.
Kedua-dua minggu kebelakangan ini saya habiskan masa untuk satu perkara sahaja, iaitu meninjau keadaan keselamatan sempadan. Kenapa saya pilih program ini? Kerana konflik di Asia Barat memberi kesan kepada dua perkara iaitu bekalan dan harga. Itu pasti akan sampai kepada kita. Saya selalu sebut, the pain is coming. Dalam keadaan ini, KDN menjadi sangat penting dalam system Kerajaan kerana KDN berada dalam Majlis Tindakan Ekonomi Negara dan Majlis Keselamatan Negara. Maka sumbangan segera kita (KDN) adalah memastikan keselamatan sempadan negara, khususnya daripada kegiatan penyeludupan.
Untuk lebih memahami perkara ini, jadi saya turun bersama agensi seperti PDRM, AKPS, APMM dan ESSCOM. Saya mulakan di Durian Burung, Bukit Kayu Hitam, Padang Besar dan Pengkalan Hulu. Kemudian saya ke Sabah, ke Pulau Gaya, Mantanani, Balambangan dan kawasan pantai timur Sabah. Di sana terdapat 14 pulau berpenghuni di pantai timur Sabah dan 48 pulau tidak berpenghuni, dan pulau paling hampir ialah Pulau Mangsi berhampiran Filipina.
Kekuatan utama kita dalam mengawal sempadan adalah radar. Radar di Mantanani, Pulau Gaya dan Balambangan memberi maklumat penting kepada bilik gerakan. Melalui data maklumat penting (keupayaan radar) ini, pasukan akan mengenal pasti sasaran curiga dan seterusnya menggerakkan aset untuk mengekang ancaman. Sebab itu saya tekankan kepada Ketua Setiausaha bahawa projek radar di Pulau Malawali tidak boleh ditangguhkan. Nilai bajet yang telah diluluskan RM88 juta di bawah RMK13, Rolling Plan 1. Kelulusan sudah ada, tetapi pelaksanaan radar di Pulau Malawali mesti disegerakan kerana ini adalah keutamaan nombor satu.
Selain itu, enam pos PGA tambahan juga telah diluluskan (bajet), tetapi pos belum siap. Ini tidak boleh berlaku. Projek berkaitan keselamatan tidak boleh dilaksanakan seperti projek pembangunan biasa kerana jika lewat, kita akan berkompromi dengan keselamatan negara (kawalan keselamatan sempadan). Saya juga ke Langkawi dan melihat radar kita masih mempunyai blind spot, khususnya di kawasan berhampiran Pulau Tarutao dan kawasan pendaratan pendatang. Ini menguatkan lagi keperluan radar.
Tapi sebelum saya lengkapkan jadual itu, saya singgah dulu ke Pelabuhan Klang. Saya ajak Datuk Suhaily dan pasukannya. Saya nak tengok sendiri operasi Op Hazard, Macam mana sisa buangan, sisa dari luar negara yang datang melalui lautan dan samudera luas berakhir di Pelabuhan Klang. Saya nak tengok bagaimana operasi AKPS bersama agensi kawasan yang lain, seperti Kastam, Jabatan Alam Sekitar dan KKM. Bagaimana prosesnya? Saya tengok sendiri sistem radar di Pelabuhan Klang. Dan apa lagi aspek penambahbaikan yang perlu kita atasi? Saya minta pegawai-pegawai saya susun lawatan bagi memberikan saya satu kefahaman yang tepat, satu kejelasan dalam memahami isu kawalan sempadan negara. Terutama kerana tugas berat ini sekarang dipertaruhkan kepada AKPS. Saya harap isu-isu yang berkaitan dengan perjawatan dapat diselesaikan dengan baik. Apa juga formula yang terbaik akan kami dokong. Tapi itu tak boleh kita jadikan sebagai alasan untuk melengahkan kerana negara mempertaruhkan harapan yang besar kepada kejayaan agensi. Itu tajuk yang kedua tentang keselamatan.
Fokus minggu ini masih lagi sempadan, tapi sistem pemeriksaan sempadan, kawalan ataupun pelepasan pelancong yang masuk ke negara kita dan saya ucap terima kasih kepada KSU sebab inisiatif ini terus di bawah KSU iaitu inisiatif MyNIISe. Saya tahu bahawa tahun ini juga, suku ketiga tahun ini (September 2026), kita akan take-off dan saya cuma nak pastikan semuanya berjalan seperti mana perancangan.
Saya pilih untuk berada dulu di KLIA pada minggu ini dan juga pada hujung minggu ini, saya memilih untuk berada pula di Johor, di RTS Bukit Cagar Woodland. Kerana komponen kita adalah komponen penting di situ, kita dah usaha jauh. Kita dah pun dapat kelulusan Parlimen berkenaan dengan RUU baharu. Kita dah siap pun sistem kita. Saya nak tengok bagaimana infrastrukturnya dan bagaimana cabaran terbesar integrasi sistem dengan infrastruktur itu berjalan dengan baik seperti mana dirancang. Sebab pada saya, ini sebagai satu KPI yang penting buat KDN pada tahun ini, lain daripada pelbagai bentuk sistem yang lain.
Sementara kita respon kepada krisis di Asia Barat dalam memastikan bahawa ketika tanggungan fiskal kerajaan tinggi bagi melegakan tekanan ekonomi dan kos sara hidup kepada rakyat, sempadan negara tak boleh bolos dengan pelbagai sindiket yang membelakangkan undang-undang. Tindakan keras dan tegas mesti diambil. Pada masa yang sama, kerana perancangan KDN itu sangat jelas dari sudut keselesaan pintu masuk, lancar (seamless) dari segi pergerakan manusia dan barangan, maka sekali lagi, kesemua perancangan yang kita susun hendaknya berjalan mengikut semua perancangan kita.
Sambil itu, saya percaya kita menunggu Jun ini sebagai tarikh penting, kerana Jun (2026) adalah tarikh di mana kita akan meluncurkan dokumen penting kita, sama ada IC ataupun pasport dengan menggunakan semua features, data ciri keselamatan yang baharu. Saya percaya JPN dan juga Imigresen sudah pun bersedia dengan pelan A, pelan B, dan saya menaruh keyakinan yang tinggi bahawa kita akan dapat melepasi saat bersejarah ini dengan baik pada bulan Jun (2026) kerana setiap satu tempoh kita perlu mengeluarkan dokumen yang baharu sifatnya dengan ciri keselamatan lebih baik dan kita telah berusaha sekian lama untuk ke arah itu dan sekarang masanya sudah sampai.
Di samping itu, Jun (2026) juga kita akan menunjukkan sistem di mana permohonan ataupun pengisian maklumat untuk kewarganegaraan yang kita luluskan dalam Perlembagaan Persekutuan pada dua tahun lepas. Kita sudah pun kita bergerak jauh dengan menyediakan semua prasyarat atau enabler terhadap sistem itu sebelum kita lancarkan.
Jadi kalau saya tengok balik satu persatu itu, saya berbangga kerana mempunyai satu pasukan yang sangat berdisiplin, kemas dari segi perancangannya dan kita sudah di penghujung. Menyaksikan setiap usaha reformasi dan perubahan yang kita buat itu sudah menuju ke penghujung untuk dapat dirasai oleh rakyat terbanyak. Dalam erti kata sistem penyampaian yang lebih baik dan kemudian dapat menyelesaikan selama ini yang menjadi rungutan ataupun aduan rakyat kepada kita.
Itu sahaja ucapan saya. Tiga perkara: saya berkongsi dua hingga tiga pengajaran hadis, kemudian saya kaitkan dengan konsep kepimpinan moden.
Yang kedua, saya laporkan tentang perjalanan jadual saya dua minggu lepas, meninjau khusus aspek keselamatan sempadan untuk memahami bagaimana pasukan kita berfungsi, sistem kita berjalan dan ancaman keselamatan yang kompleks yang kita depani.
Yang ketiga, saya sebut tentang fokus minggu ini masih lagi sempadan pintu masuk untuk melawat pelaksanaan sistem baharu Autogate kita di lapangan terbang, begitu juga di laluan yang penting, ia akan menjadi pemangkin perubahan di sebelah selatan. Satu sistem yang akan membawa hampir 10,000 penumpang pada satu jam dan kita juga tak mampu gagal dari segi sistem semakan Imigresen kita dan keselamatan kita di pintu masuk.
Di samping itu, saya katakan tadi bahawa kita menunggu Jun (2026), kerana Jun ini rakyat Malaysia akan mula memiliki dokumen pengenalan diri yang baharu. Kemudiannya sistem kewarganegaraan kita sesuai dengan permohonan kewarganegaraan, selaras dengan pindaan Perlembagaan tempoh hari.
Itu isu-isu yang saya pilih untuk diucapkan pada perhimpunan bulanan ini. Saya gembira setiap kali dapat berpeluang menyampaikan ucapan seperti ini dan mudah-mudahan pasukan KDN ini akan terus bergerak sebagai satu pasukan yang hebat dan efektif, insya-Allah.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.







Ruangan Komen: