TEKS VERBATIM UCAPAN
YB DATUK SERI SAIFUDDIN NASUTION BIN ISMAIL
MENTERI DALAM NEGERI
PERHIMPUNAN BULANAN KEMENTERIAN DALAM NEGERI
12 FEBRUARI 2026 (KHAMIS)
AUDITORIUM, ARAS 5, SETIA PERKASA 8,
KOMPLEKS SETIA PERKASA, PUTRAJAYA
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Yang Berhormat Datuk Seri Dr. Samsul Anuar Nasarah, Timbalan Menteri Dalam Negeri.
Yang Berbahagia Datuk Dr. Awang Alik Jeman, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri.
Yang Berbahagia Datuk Haji Abdul Halim Abdul Rahman, Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan).
Yang Berbahagia Datuk Haji Mahzan Mahyuddin, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan).
Yang Berusaha Tuan Fakhrul Razi Abdul Wahab, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan).
Yang Berbahagia Datuk Seri Muhammad Shuhaili Mazlan, Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia selaku tuan rumah majlis pada pagi ini.
Ketua-ketua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri.
Serta seluruh warga KDN yang saya hormati sekalian.
Terlebih dahulu, saya merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada AKPS atas penganjuran Perhimpunan Bulanan KDN pada hari ini. Video korporat yang dipaparkan tadi walaupun ringkas, namun mesejnya jelas — keselamatan sempadan dan pintu masuk negara merupakan tanggungjawab yang tidak boleh dipandang ringan.
Saya juga ingin menyentuh beberapa perkara yang dibangkitkan oleh Ketua Setiausaha dalam amanat ringkas beliau sebentar tadi. Teguran mengenai disiplin organisasi, penyampaian maklumat yang tepat dan berintegriti kepada pimpinan politik, serta tanggungjawab menjaga keadilan dalam pelaksanaan dasar adalah peringatan yang sangat wajar. Dalam konteks menjadikan kementerian ini berfungsi dengan cemerlang, kita harus menerima teguran tersebut secara terbuka dan profesional.
Mesej yang dibawa oleh YAB Perdana Menteri kepada pemukiman Ketua Setiausaha baru-baru ini juga amat jelas. Prinsip keadilan bermaksud sesuatu perkara dilaksanakan pada tempatnya. Jika seseorang dibantu kerana kemiskinan, maka bantuan itu diberikan atas dasar kemiskinan, bukan atas dasar warna kulit atau anutan agama. Cinta kepada agama dan bangsa adalah fitrah, namun ia tidak boleh membawa kepada ketidakadilan terhadap pihak lain. Inilah asas keadilan yang perlu kita fahami dan pegang teguh.
Dalam konteks Ramadan yang sedang kita lalui, saya tertarik dengan pengisian yang disampaikan oleh Ustaz Nabil dalam kuliah duha tadi. Ramadan digambarkan sebagai peluang “mega sale” pahala, iaitu ruang untuk melipatgandakan amalan dan kebaikan. Namun matlamat akhir seorang Muslim bukan sekadar mengumpul pahala, tetapi memperoleh rahmat dan keampunan Allah SWT.
Terdapat dialog antara Saidatina Aisyah RA dan Nabi Muhammad SAW mengenai doa terbaik yang wajar dipohon pada malam Lailatul Qadar. Jawapan Baginda jelas — mohonlah rahmat dan keampunan. Terdapat juga kisah seorang lelaki yang beramal ibadah dengan begitu banyak sehingga merasakan dirinya layak memasuki syurga atas dasar amalannya. Namun akhirnya disedarkan bahawa nikmat yang Allah kurniakan, termasuk nikmat penglihatan, jauh mengatasi timbunan amal yang dilakukannya. Maka jalan ke syurga bukan semata-mata melalui amal, tetapi melalui rahmat dan keampunan Allah SWT. Itulah pengajaran yang wajar kita renungkan.
Hadirin yang saya muliakan,
Berhubung peranan hakiki kementerian ini, saya ingin menyentuh mengenai Rang Undang-Undang berkaitan perkhidmatan sistem transit rel antara Bukit Chagar di Johor Bahru dan Woodlands di Singapura. Laluan sepanjang kira-kira empat kilometer ini dijadualkan beroperasi sekitar bulan September tahun ini dan dijangka mampu mengendalikan sehingga 10,000 penumpang sejam. Ini bakal menjadi antara laluan darat paling sibuk di rantau ini.
Proses imigresen bagi laluan ini dilaksanakan secara bersama di terminal berlepas, iaitu pemeriksaan imigresen Malaysia dan Singapura dilakukan sebelum menaiki tren. Untuk memastikan kelancaran operasi serta pematuhan terhadap kedaulatan undang-undang negara, KDN perlu menyediakan kerangka perundangan domestik yang jelas.
Saya mengucapkan tahniah kepada pegawai-pegawai yang telah bekerja keras menyiapkan draf rang undang-undang ini dalam tempoh masa yang singkat, menyelaras pelbagai agensi kawal selia, dan membolehkannya dibentangkan di Parlimen pada sesi ini. Bacaan kedua telah berlangsung dan perbahasan sedang diteruskan. Ini merupakan satu pencapaian penting dalam memperkukuh kawalan pintu masuk negara.
Hadirin sekalian,
Dalam masa yang sama, kita berdepan dengan isu-isu sensitif berkaitan kaum dan agama. Insiden yang melibatkan tindakan merobohkan sebuah rumah ibadat baru-baru ini memerlukan pengurusan yang amat berhati-hati. Isu seperti ini tidak boleh ditangani berdasarkan emosi atau sentimen. Ia mesti ditangani berasaskan kedaulatan undang-undang dan proses yang sah.
Jika berkaitan status tanah atau perancangan bandar, biarlah ia diputuskan melalui saluran undang-undang. Tidak boleh ada pihak yang mengambil tindakan sendiri atau mencetuskan provokasi. Malaysia ialah negara berbilang kaum dan agama, dan kebebasan beragama yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mesti dihormati dan dilindungi.
Dalam era maklumat di hujung jari, penyebaran maklumat tidak sahih dan naratif yang memecahbelahkan boleh berlaku dengan pantas. Oleh itu, peranan Polis Diraja Malaysia amat kritikal dalam mengurus dan menstabilkan keadaan. Saya telah meminta agar gambaran sebenar insiden disediakan untuk membolehkan kerajaan mengambil langkah yang sewajarnya.
Dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang lalu, YAB Perdana Menteri menegaskan kepada agensi penguat kuasa KDN — termasuk PDRM, APMM, Jabatan Imigresen dan AKPS — supaya mengekalkan momentum penguatkuasaan, memberi fokus kepada tugas hakiki, dan menangani isu integriti secara tegas.
Sebagai contoh, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM merekodkan nilai rampasan sekitar RM7 bilion pada tahun lalu. Kerjasama dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri pula membawa kepada kutipan cukai melebihi RM500 juta. Penghargaan telah diberikan oleh Perdana Menteri dalam mesyuarat mingguan Jemaah Menteri. Namun, mengekalkan momentum ini jauh lebih mencabar daripada mencapainya sekali.
Dalam konteks kawalan sempadan, kita tidak boleh membenarkan sebarang bentuk pengkhianatan dalaman. Mengawal sempadan bermaksud menjaga kedaulatan negara. Tidak boleh berlaku kecuaian atau kecurangan, sama ada dalam menangani penyeludupan migran, pemerdagangan orang, atau kemasukan secara tidak sah melalui laluan darat dan laut.
Semalam saya mengadakan pertemuan dengan wakil UNHCR di Kuala Lumpur. Peranan UNHCR adalah mendaftarkan pelarian dan mencari negara ketiga untuk penempatan semula. Dalam masa yang sama, KDN juga melaksanakan inisiatif pendaftaran sendiri berdasarkan undang-undang negara dan kriteria yang kita tetapkan.
Bagi kes penyeludupan migran dan pemerdagangan orang, kita tidak teragak-agak menggunakan peruntukan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau SOSMA. Walaupun terdapat kritikan, undang-undang ini masih relevan bagi kes yang memerlukan siasatan mendalam dan merentasi sempadan. Namun begitu, Jemaah Menteri telah bersetuju supaya beberapa seksyen dipinda bagi memastikan keseimbangan antara keselamatan negara dan hak asasi individu.
Hadirin yang saya hormati,
KDN ialah kementerian yang dinamik. Isu-isu di bawah tanggungjawab kita sentiasa menjadi tumpuan Parlimen dan masyarakat. Kita tidak boleh berada dalam keadaan selesa atau alpa. Kejayaan kita hanya boleh dicapai jika kita kekal sebagai satu pasukan yang mantap.
Saya dan Datuk Seri Dr. Samsul Anwar Nasarah akan terus mengamalkan kepimpinan yang terbuka — menyediakan hala tuju dan memfasilitasi pelaksanaan dasar. Ketua Setiausaha pula memainkan peranan penting memastikan hala tuju tersebut diterjemahkan dengan berkesan melalui bahagian dan agensi di bawah kementerian.
Akhirnya, saya ulangi tiga perkara utama dalam amanat kali ini: memahami konsep keadilan dalam pelaksanaan tugas; memastikan kesiapsiagaan undang-undang bagi projek pintu masuk baharu negara; dan mengekalkan momentum penguatkuasaan dengan integriti yang tidak berbelah bahagi.
Semoga segala usaha kita diterima sebagai amal soleh dan diberkati Allah SWT.
Sekian, wabillahi taufik walhidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.







Ruangan Komen: